Angka korban cuaca ekstrem di Korea Selatan meningkat kepada 21
Seramai 21 orang terkorban akibat penyakit berkaitan cuaca panas ekstrem di Korea Selatan setakat tahun ini ketika negara itu berdepan gelombang haba melampau.
Agensi cuaca Korea Selatan mengeluarkan amaran gelombang haba ekstrem tambahan bagi kawasan metropolitan Seoul pada 5 Ogos 2026, dengan 43% wilayah berkenaan kini diletakkan di bawah tahap amaran tertinggi. (Gambar: REUTERS/Kim Hong-Ji)
Agensi berita Yonhap pada Rabu (5 Ogos) melaporkan angka itu berdasarkan data pihak berkuasa kesihatan.
Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, seramai 2,441 pesakit menerima rawatan di bilik kecemasan akibat masalah berkaitan cuaca panas ekstrem setakat Selasa (4 Ogos).
Angka itu dicatatkan sejak pertengahan Mei, apabila pihak berkuasa mula melaksanakan sistem pemantauan penyakit berkaitan haba.
Meskipun jumlah pesakit yang mengalami penyakit berkaitan cuaca panas ekstrem tahun ini lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu, angka korban sudah melebihi 20 kematian yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.
Kematian terbaharu melibatkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang berada di luar rumah ketika bekerja di sebuah ladang di Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, pada Selasa (4 Ogos).
AMARAN GELOMBANG HABA
Daripada keseluruhan pesakit yang dilaporkan tahun ini, 61.7 peratus mengalami kelesuan haba.
Strok haba pula merangkumi 16.8 peratus kes, manakala kekejangan otot akibat haba membentuk 11.5 peratus.
Agensi kaji cuaca negara itu mengeluarkan amaran gelombang haba tahap serius tambahan bagi kawasan metropolitan Seoul pada Rabu (5 Ogos).
Ini menyebabkan 43 peratus kawasan berkenaan berada di bawah tahap amaran tertinggi.
Suhu di Seoul dijangka mencecah sehingga 39 darjah Celsius pada Khamis (6 Ogos).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.