Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angka korban COVID-19 seantero Eropah mungkin jangkaui 2.2 juta jelang Mac 2022

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pada Selasa (23 Nov) bahawa lagi 700,000 individu mungkin terkorban angkara COVID-19 di Eropah pada Mac, menjadikan jumlah keseluruhannya melebihi 2.2 juta, sedang ia menggesa lebih ramai orang supaya mendapatkan suntikan vaksin dan dos penggalak.

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban COVID-19 seantero Eropah mungkin jangkaui 2.2 juta jelang Mac 2022

Seorang pesakit COVID-19 terlantar di sebuah hospital di Eropah (Gambar: AFP/Thomas Kienzle)

Diterbitkan : 24 Nov 2021 07:58AM Dikemas Kini : 24 Nov 2021 07:59AM

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pada Selasa (23 Nov) bahawa lagi 700,000 individu mungkin terkorban angkara COVID-19 di Eropah pada Mac, menjadikan jumlah keseluruhannya melebihi 2.2 juta, sedang ia menggesa lebih ramai orang supaya mendapatkan suntikan vaksin dan dos penggalak.

Keseluruhan angka korban COVID-19 di 53 negara rantau Eropah WHO sudahpun menjangkaui 1.5 juta, dedah badan dunia itu, dengan kadar harian meningkat seganda sejak lewat September lalu kepada 4,200 setiap hari.

Rantau Eropah WHO turut meliputi Rusia dan bekas republik Soviet yang lain serta Turki.

"Jumlah kematian terkumpul yang dilaporkan diramalkan melebihi 2.2 juta menjelang musim panas tahun depan, berdasarkan trend semasa," dedah WHO sambil menambah bahawa COVID-19 kini punca kematian utama di rantau itu.

Tekanan tinggi di unit jagaan rapi (ICU) dijangka mencengkam 49 daripada 53 negara menjelang 1 Mac, menurut WHO.

Perancis, Sepanyol dan Hungary merupakan antara negara yang dijangka mengalami tekanan tinggi dalam kegunaan ICU pada awal 2022, menurut data yang dinukil oleh WHO Eropah.

Belanda sudah mula memindahkan para pesakit COVID-19 ke Jerman pada Selasa sedang hospital semakin tertekan dengan jumlah kes melonjak ke paras rekod. Austria pula sudah mula melaksanakan perintah berkurung yang keempat pada Isnin (22 Nov).

WHO menyatakan sejumlah besar individu belum divaksin dan "perlindungan daripada vaksin yang berkurangan" merupakan antara faktor yang mencetuskan jangkitan tinggi di Eropah di samping kemunculan varian Delta dan pelonggaran langkah-langkah kebersihan.

Pengarah WHO Eropah Hans Kluge menggesa orang ramai supaya mendapatkan vaksin dan juga dos penggalak "jika ditawarkan kelak".

Para pegawai WHO di ibu pejabat Geneva sebelum ini menasihatkan dos penggalak COVID-19 tidak seharusnya diambil sehingga lebih ramai orang di seluruh dunia sudah mendapatkan kedua-dua dos asas. Para pegawai WHO tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas tentang sama ada kenyataan itu adalah satu perubahan pada garis panduan rasmi.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan