Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angka korban COVID-19 seantero dunia jangkaui 10,000 dalam tempoh 24 jam lalu

Saintis kanan pemerintah Amerika Syarikat Dr Anthony Fauci berkata pada Khamis (12 Nov) bahawa penawar COVID-19 akan ditemui tidak lama lagi, sedang dunia melaporkan angka korban yang mencecah paras rekod dengan lebih 10,000 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban COVID-19 seantero dunia jangkaui 10,000 dalam tempoh 24 jam lalu

Seorang kakitangan jagaan kesihatan menjalankan ujian swab di Lapangan Terbang Munich. (Gambar: Christof Stache/AFP)

Diterbitkan : 13 Nov 2020 03:38PM Dikemas Kini : 13 Nov 2020 03:43PM

LONDON: Saintis kanan pemerintah Amerika Syarikat Dr Anthony Fauci berkata pada Khamis (12 Nov) bahawa penawar COVID-19 akan ditemui tidak lama lagi, sedang dunia melaporkan angka korban yang mencecah paras rekod dengan lebih 10,000 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Pakar terkemuka di dunia mengenai penyakit berjangkit itu berkata demikian selepas berita mengenai vaksin hasil kerjasama gergasi farmaseutikal Pfizer dari Amerika Syarikat dan BioNTech dari Jerman dilaporkan 90 peratus berkesan, dengan satu lagi vaksin bakal diumumkan.

"Penawarnya semakin tercapai, jangan berhenti berjuang," kata Dr Fauci menerusi pautan video kepada sebuah badan pemikir di London, sedang syarikat bioperubatan Moderna dari Amerika Syarikat di ambang tahap percubaan vaksin, yang akan membolehkannya untuk memohon para pengawal selia Amerika Syarikat supaya meluluskan penggunaannya.

Saintis itu, yang menjadi terkenal kerana tidak gentar menentang Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung langkah COVID-19, menggesa orang ramai supaya terus mematuhi langkah-langkah kesihatan awam seperti memakai pelitup dan mencuci tangan.

Berita tentang hasil ujian yang memberangsangkan itu membawa harapan yang sangat diperlukan sedang dunia bergelut untuk membendung pandemik COVID-19 yang tidak menunjukkan tanda-tanda mereda, dengan statistik suram dilaporkan saban hari.

Perangkaan AFP yang menukil sumber-sumber rasmi mendapati semalam (12 Nov) bahawa angka korban harian di seluruh dunia sudah melepasi tahap simbolik seramai 10,000 orang dalam tempoh 24 jam lalu, buat julung-julung kalinya sejak pandemik COVID-19 mula menular, dengan 10,010 korban jiwa dilaporkan semalam.

"TIDAK PEDULI LANGSUNG"

Perancis pada Khamis melaporkan jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di hospital kini lebih tinggi daripada paras tertinggi sebelum ini iaitu pada bulan April lalu.

Menteri Kesihatan Serbia Zlatibor Loncar sementara itu memberi amaran bahawa tiada lagi katil hospital untuk menampung jumlah pesakit COVID-19 yang begitu ramai di ibu negara Belgrade.

Di sebalik amaran yang dikeluarkan, terdapat bukti yang semakin meningkat yang menunjukkan ramai orang mengabaikan sekatan-sekatan yang dikuatkuasakan oleh pemerintah bagi mengurangkan risiko penularan.

Di Perancis, dapatan tinjauan mendapati lebih separuh penduduk negara itu mengingkari peraturan perintah berkurung separa yang dikuatkuasakan pemerintah.

Ia turut menunjukkan bahawa 60 peratus penduduk melanggar peraturan sekurang-kurangnya sekali, sama ada dengan memberikan alasan palsu untuk keluar rumah ataupun untuk berjumpa dengan keluarga dan rakan-rakan mereka.

"Gelombang kedua penularan sangat dahsyat," kata Perdana Menteri Jean Castex sambil memberi amaran semasa satu persidangan media maya. "Satu daripada empat kematian kini berlaku akibat COVID-19.

India mencatat jumlah jangkitan COVID-19 kedua paling tinggi di dunia selepas Amerika Syarikat dan terdapat kebimbangan perayaan Deepavali mungkin akan menyebabkan lonjakan kes di bandar-bandar besar di merata India yang mempunyai seramai 1.3 bilion penduduk.

"Mereka langsung tidak peduli," kata Tanisha, seorang pelajar berusia 19 tahun. "Mereka berkeras mahu keluar rumah."

"Saya juga rasa terlalu bosan di rumah sehingga saya tidak takut untuk keluar membeli-belah."

KEPRIHATINAN TERHADAP VAKSIN

Memburukkan lagi keadaan, satu laporan yang dikeluarkan oleh sebuah badan bukan untuk mencari untung yang mengenal pasti maklumat yang salah, menerbitkan berita yang membimbangkan semalam, melaporkan teori-teori konspirasi tentang vaksin COVID-19 yang boleh menjejas keberkesanannya.

Banyak catatan yang dianalisis oleh para pengkaji First Draft mengaitkan vaksin-vaksin dengan teori konspirasi seperti tanggapan bahawa suntikan vaksin COVID-19 yang bakal diberikan mungkin akan digunakan untuk memantau pergerakan seseorang individu, sekali gus mewujudkan sistem pemantauan penduduk secara besar-besaran.

Beberapa catatan lain mendakwa bahawa penggunaan teknologi mRNA yang baru, seperti yang dibangunkan oleh Pfizer, BioNTech dan Moderna - mungkin "mengubah DNA seseorang," atau mengaitkan mereka dengan usaha mengurangkan jumlah penduduk atau program kejuruteraan manusia yang berniat jahat".

Terdapat juga kebimbangan tentang akses negara-negara lebih miskin kepada vaksin-vaksin yang bakal dihasilkan.

Dengan mengambil kira semua perkara itu, persidangan antarabangsa Forum Keamanan Paris dijangka mengumpul lebih AS$500 juta untuk menubuhkan mekanisme yang diterajui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bertujuan untuk memastikan ujian virus korona, rawatan dan vaksin dapat diakses oleh semua negara.

Sumber : AFP/AY/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan