Angka korban COVID-19 Amerika Latin, Caribbean lepasi 1 juta
Lebih sejuta orang telah meninggal dunia akibat COVID-19 di Amerika Latin dan Caribbean sejak pandemik koronavirus bermula, menurut data AFP berdasarkan perangkaan rasmi sehingga pagi Sabtu (22 Mei), waktu Singapura.
Bantahan di Brazil pada Mac 2021 ekoran jumlah tinggi kes COVID-19 di negara itu (Gambar: AFP/EVARISTO SA)
MEXICO: Lebih sejuta orang telah meninggal dunia akibat COVID-19 di Amerika Latin dan Caribbean sejak pandemik koronavirus bermula, menurut data AFP berdasarkan perangkaan rasmi sehingga pagi Sabtu (22 Mei), waktu Singapura.
Rantau itu juga sudah mencatat lebih 31.5 juta kes jangkitan.
Lebih 90 peratus kematian dicatatkan di lima negara yang membentuk 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di rantau tersebut: Brazil (446,309), Mexico (221,080), Colombia (83,233), Argentina (73,391) dan Peru (67,253).
Brazil terus mencatat jumlah tertinggi kematian dalam sehari pada purata hampir 2,000 minggu ini. Sungguhpun begitu, jumlah tersebut adalah kemerosotan satu pertiga berbanding enam minggu lalu apabila ia melepasi 3,000.
Mexico malah menyaksikan kemajuan lebih baik dengan angka korban hariannya merosot daripada 1,300 orang pada hujung Januari kepada 170 secara purata.
Mexico melaporkan 2,604 kes baru jangkitan COVID-19 dengan lagi 176 kematian, membawa jumlah keseluruhan kes jangkitan kepada 2,392,733 dan 221,256 kematian, menurut data yang dikeluarkan kementerian kesihatan pada Jumaat (21 Mei)
Pemerintah negara itu menyatakan jumlah sebenar kes kemungkinan jauh lebih tinggi dan data berasingan yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan bahawa angka korban sebenar sekurang-kurangnya 60% lebih tinggi daripada perangkaan yang disahkan.
ARGENTINA UMUM SEKATAN PERJALANAN SELURUH NEGARA
Presiden Argentina Alberto Fernández pada Khamis (20 Mei) mengumumkan sekatan perjalanan ketat seluruh negara buat pertama kalinya tahun ini.
Pengumuman itu dibuat selepas lebih 35,000 kes jangkitan koronavirus dilaporkan di Argentina buat hari ketiga berturut-turut sementara angka korban melonjak dengan mendadak.
Langkah-langkah itu akan dikuatkuasakan dari Sabtu (22 Mei) hingga 30 Mei dan akan menghadkan pergerakan, serta menggantung kegiatan-kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan dan sukan.
Para pekerja khidmat penting dikecualikan daripada langkah tersebut.
Pada permulaan pandemik COVID-19 pada 2020, Argentina menguatkuasakan tempoh kuarantin paling lama antara Mac dengan Julai, apabila ia mula melonggarkan sekatan-sekatan.
Pada Selasa (18 Mei), negara Amerika Selatan itu menjangkaui rekod hariannya bagi kes jangkitan dan kematian akibat COVID-19 dengan 35,543 kes baru dan 745 kematian.
Kadar jangkitan yang tinggi itu terus disaksikan untuk beberapa hari berikutnya. Secara keseluruhannya, Argentina menyaksikan 3.4 juta kes positif COVID-19 dan lebih 72,000 kematian.
Encik Fernández berkata selepas 30 Mei, langkah sekatan perjalanan akan dikembalikan kepada tahap sekarang: perintah berkurung dari 8 malam hingga 6 pagi, larangan kegiatan sosial, riadah dan komersil di tempat tertutup dengan perintah berkurung ketat dikembalikan pada hujung minggu 5-6 Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.