Skip to main content

Dunia

Angka korban banjir Texas meningkat kepada 50; operasi cari 27 kanak-kanak hilang diteruskan

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban banjir Texas meningkat kepada 50; operasi cari 27 kanak-kanak hilang diteruskan

Pemandangan dalam kabin Camp Mystic, tapak di mana sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak perempuan hilang selepas banjir kilat di Hunt, Texas pada 5 Jul 2025. (Foto: AFP/Ronaldo Schemidt)

Diterbitkan : 06 Jul 2025 08:45AM Dikemas Kini : 06 Jul 2025 02:51PM
HUNT: Pasukan penyelamat pada Sabtu (5 Jul) mencari 27 kanak-kanak perempuan yang hilang dari perkhemahan musim panas di tepi sungai di Texas selepas hujan lebat menyebabkan banjir dahsyat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 50 orang - dengan lebih banyak hujan melanda wilayah itu.

"Sejauh ini, kami telah menemui 50 individu yang meninggal dunia di Kerr. Antara mereka yang meninggal dunia adalah 28 orang dewasa dan 15 kanak-kanak," kata Syerif Daerah Kerr Larry Leitha.

Encik Leitha sebelum ini meletakkan jumlah orang yang dipindahkan seramai 850, termasuk lapan yang dilaporkan cedera.

Bercakap semasa sidang media sebelum ini, Gabenor Texas Greg Abbott berkata beliau sedang memperluaskan pengisytiharan bencana dan meminta sumber persekutuan tambahan daripada Presiden Donald Trump.

Ketua Jabatan Pengurusan Kecemasan Texas, Nim Kidd berkata pasukan udara, darat dan laut sedang menyelusuri Sungai Guadalupe untuk mencari mangsa yang terselamat dan mayat mangsa.

“Kami akan meneruskan operasi pencarian ini sehingga semua yang hilang ditemui,” katanya lagi.

Banjir bermula pada Jumaat (4 Jul) apabila hujan berbulan-bulan mencurah dalam masa beberapa jam, menyebabkan paras air Sungai Guadalupe meningkat 8 meter dalam masa 45 minit.

Perkhidmatan Cuaca Nasional memberi amaran bahawa lebih banyak curahan hujan diramalkan, dan ia boleh mengakibatkan banjir sungai, anak sungai dan lokasi rendah dan mudah dilanda banjir".

Di Kerrville pada Sabtu (5 Jul), Guadalupe yang biasanya tenang mengalir deras, airnya yang keruh dipenuhi serpihan.

"Air mencecah puncak pokok. Kira-kira 10m atau lebih," kata penduduk tempatan Gerardo Martinez, 61 tahun. "Kereta, seluruh rumah dihanyutkan air bah."

Banjir kilat, yang berlaku apabila tanah tidak dapat menyerap hujan lebat, bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Para saintis mengatakan bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perubahan iklim yang didorong oleh manusia telah menjadikan kejadian cuaca ekstrem seperti banjir, kemarau dan gelombang haba lebih kerap dan lebih dahsyat.
 
Sumber : AFP/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita