Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angka kematian kebakaran kelab malam Thailand naik kepada 15

Anggaran Waktu Membaca:
Angka kematian kebakaran kelab malam Thailand naik kepada 15

(Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

BANGKOK: Angka kematian akibat kebakaran pub di Thailand meningkat kepada 15 orang pada Sabtu (6 Ogos), selepas seorang lelaki berusia 36 tahun meninggal dunia di Hospital Rayong, Bangkok. 

Kematian terkini itu disahkan oleh Pasukan Penyelamat Sattahip. 

Dalam kejadian 1.00 pagi pada Jumaat (5 Ogos), 13 pengunjung - sembilan lelaki dan empat wanita maut - manakala 35 yang lain cedera dalam kebakaran di kelab malam Mountain B yang sesak di wilayah Chonburi, tenggara ibu kota Bangkok.

Timbalan Pengarah Hospital Tentera Laut Queen Sirikit Dr Nongluck Singhakowin berkata, 16 daripadanya cedera parah, kebanyakannya mengalami luka melecur tahap tiga di lebih 60 peratus badan mereka, dan masih menggunakan alat pernafasan di unit rawatan rapi.

Menurut saksi, kebakaran bermula semasa persembahan muzik secara langsung, dengan penonton yang panik cuba melarikan diri melalui pintu depan apabila api merebak dengan pantas.

Video di media sosial menunjukkan asap hitam tebal berkepul-kepul muncul dari pintu ketika beberapa pengunjung dilihat berlari keluar dengan pakaian mereka terbakar.

Sementara itu, Komander Polis Daerah Chonburi Pol. Mej Jen Atthasit Kitchahan mengarahkan pemindahan segera lima pegawai kanan polis termasuk ketua di balai polis Phlu Ta Luang berikutan kebakaran itu.

Pemindahan itu didakwa berkaitan dengan kegagalan mereka bertindak ke atas pub yang telah beroperasi secara haram.

Berikutan kebakaran itu juga, Ketua Pegawai Daerah Sattahip, Chatchai Sripoon, dipindahkan ke Institut Pembangunan Pentadbiran di bawah Jabatan Pentadbiran Wilayah.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan