Skip to main content

Dunia

Angka kematian gempa Jepun cecah 35 sedang kilang automotif dan cip gantung pengeluaran

Anggaran Waktu Membaca:
Angka kematian gempa Jepun cecah 35 sedang kilang automotif dan cip gantung pengeluaran

Angka kematian gempa Jepun cecah 35 sedang kilang automotif dan cip gantung pengeluaran

Diterbitkan : 31 Jul 2026 06:08PM Dikemas Kini : 31 Jul 2026 06:09PM
KUMAMOTO: Anjing pengesan di Jepun membantu pasukan penyelamat pada Jumaat (31 Jul) untuk membuat pemeriksaan terakhir di sebuah pusat beli-belah yang musnah akibat letupan berikutan gempa bumi kuat, ketika angka korban akibat gempa bumi tiga hari lalu meningkat kepada 35 orang.

"Di pusat membeli-belah Aeon, 11 orang dikeluarkan setakat malam semalam, termasuk tujuh yang terkorban. Bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terperangkap di dalam, kami sedang melengkapkan pengesahan dengan bantuan anjing yang dilatih khas," kata jurucakap pemerintah, Minoru Kihara.

Media tempatan memetik pengendali pusat beli-belah itu - yang dipindahkan sebelum rosak teruk akibat letupan gas kira-kira sejam selepas gempa bumi pada Selasa - sebagai berkata semua pekerjanya kini selamat dikesan.
Related article image
Wartawan berkumpul di luar Aeon Mall Kumamoto yang rosak di Kashima, Wilayah Kumamoto, pada 29 Julai 2026, selepas gempa bumi melanda barat daya Jepun. (Gambar: AFP/Philip Fong)
Related article image
Pasukan polis berkumpul di kawasan tempat letak kereta sebelum memulakan operasi di Aeon Mall Kumamoto di Kashima, Wilayah Kumamoto pada 31 Julai 2026. (Gambar: AP/Kyodo News)
Di satu lagi lokasi bencana utama berikutan gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter itu, iaitu sebuah kilang kertas, sembilan mayat kini ditemui dan operasi mencari serta menyelamat telah ditamatkan, kata Encik Kihara.

Dua mangsa yang terselamat turut dikeluarkan dari lokasi di mana cerobong asap runtuh, katanya, sekali gus menjadikan keseluruhan angka korban akibat gempa bumi di wilayah barat daya Kumamoto kini mencecah 35 orang.

Gempa bumi tersebut menyebabkan kerosakan meluas, meruntuhkan rumah, merosakkan jambatan, mencetuskan kebakaran, serta menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik dan air di tengah-tengah suhu yang dijangka menghampiri 40 darjah Celcius pada hujung minggu ini.

Setakat Jumaat, kira-kira 4,500 isi rumah di seluruh Kumamoto masih tiada bekalan elektrik dan 79,000 isi rumah terputus bekalan air, kata Encik Kihara, dengan sekitar 5,100 anggota tentera dikerahkan untuk membantu.

Ribuan penduduk, yang sebahagian besarnya merupakan warga emas, kini berlindung di pusat pemindahan bagi mengelakkan cuaca panas.

Satu berita gembira ialah 25 ekor kucing dari sebuah "kafe kucing" di dalam pusat membeli-belah berkenaan telah berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke Hiroshima, sekali gus membawa kelegaan luas di media sosial.
Related article image
Seorang wanita dan anak perempuannya berehat di bawah khemah selepas gempa bumi melanda wilayah Kumamoto di selatan Jepun, di tengah-tengah gangguan bekalan air semasa gelombang panas, di Yatsushiro, Jepun, 30 Julai 2026.(Gambar: Reuters/Issei Kato)
Related article image
Seorang wanita meletakkan beg ais pada Miru, anjing peliharaan neneknya, di pusat pemindahan untuk mereka yang rumahnya rosak akibat gempa bumi di Uki, Kumamoto pada 30 Julai 2026. (Gambar: Reuters/Kim Kyung-hoon)
KILANG-KILANG TERPAKSA DIHENTIKAN

Gempa bumi itu juga menyebabkan kilang-kilang automotif dan cip mikro terhenti, sekali gus mendedahkan kerentanan rantaian bekalan pembuatan Jepun, genap dekad selepas gempa bumi dahsyat di rantau yang sama mencetuskan gangguan industri secara meluas.

Kumamoto amat penting kepada industri automotif Jepun dan turut dikenali sebagai "Silicon Valley" negara itu kerana tumpuan syarikat-syarikat semikonduktor di sana.

Meskipun pakar ekonomi tidak menjangkakan gangguan berskala besar seperti yang berlaku selepas gempa bumi 2016, masalah mungkin berlarutan bagi pengeluar kenderaan, di mana kekurangan bekalan komponen boleh mengganggu pengeluaran di pelbagai tempat.

Toyota, sebagai contoh, menggantung pengeluaran di tiga kilangnya di Fukuoka, utara Kumamoto, sehingga 5 Ogos, manakala salah satu kilangnya di Aichi -lebih 600km dari lokasi bencana - turut digantung operasinya minggu depan.

Jurucakap Toyota berkata keputusan penggantungan itu dibuat demi keselamatan serta mengambil kira situasi di syarikat pengedaran dan pembekal.

Beberapa pembekal tahap dua dan tiga yang membuat komponen untuk pembekal utama "Tier 1" nampaknya turut terjejas akibat gempa bumi tersebut, menurut seorang eksekutif industri kepada Reuters.

Denso, pembuat komponen kenderaan kedua terbesar di dunia, berkata salah satu pembekalnya di kawasan itu telah melaporkan kesannya daripada gempa bumi dan 13 yang lain sedang menilai keadaan.

Melihat kepada kedudukan Jepun yang berisiko mengalami bencana, para pengilang berusaha selama berdekad-dekad untuk memperkukuh daya tahan bekalan komponen. Gempa bumi terbaharu ini bakal menjadi ujian sejauh mana keberkesanan usaha mereka.

Pembuat cip kontrak terbesar di dunia, Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC), memindahkan kakitangannya dari kilang Kumamoto sejurus selepas gempa bumi pada petang Selasa, tetapi beberapa jam kemudian menyatakan ia telah mula beroperasi semula.

Syarikat lain mengambil masa lebih lama.

Pembuat cip Renesas berkata ia hanya akan dapat memulakan semula operasi di salah satu kilangnya di Kumamoto - yang mengalami panel siling jatuh, keretakan pada dinding, serta kebocoran air - secara berperingkat bermula 5 Ogos.
Related article image
Pemandangan dari udara menunjukkan pekerja penyelamat di kilang Nippon Paper Industries selepas gempa bumi dengan keamatan awal 7.1 melanda wilayah Kumamoto di selatan Jepun, di Bandar Yatsushiro, Wilayah Kumamoto, Jepun, pada 29 Julai 2026. (Gambar: Reuters)
Related article image
Pintu Torii yang runtuh selepas gempa bumi melanda wilayah Kumamoto di selatan Jepun, di Yatsushiro pada 29 Julai 2026. (Gambar: Reuters/Kyodo)
Jepun merupakan antara negara yang paling aktif secara seismik di dunia, terletak di atas empat plat tektonik utama di sepanjang pinggir barat "Lingkaran Api" Pasifik.

Kumamoto sendiri pernah dilanda dua gempa bumi dahsyat pada tahun 2016 yang mengorbankan 273 orang dan mencederakan lebih 2,800 yang lain.

Kepulauan yang dihuni kira-kira 125 juta penduduk itu biasanya mengalami ratusan gegaran setiap tahun dan menyumbang sekitar 18 peratus daripada gempa bumi di seluruh dunia.

Sebahagian besarnya adalah ringan, walaupun kerosakan yang dialami berbeza mengikut lokasi dan kedalaman di bawah permukaan bumi.

Jepun masih terbayang kenangan pahit gempa bumi dasar laut berukuran 9.0 pada tahun 2011, yang mencetuskan tsunami hingga mengorbankan atau menyebabkan sekitar 18,500 orang hilang, serta memusnahkan loji nuklear Fukushima.
Sumber : Agensi berita/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita