Skip to main content

Dunia

Angin kencang marakkan kebakaran hutan Korea Selatan; 24 terkorban

Pasukan bomba bertungkus lumus pada Rabu (26 Mac) untuk mengawal siri kebakaran hutan yang melanda wilayah tenggara Korea Selatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Angin kencang marakkan kebakaran hutan Korea Selatan; 24 terkorban

Kebakaran di Korea Selatan telah memusnahkan sekitar 17,000 hektar hutan. (Gambar: Bernama melalui Yonhap)

Diterbitkan : 27 Mar 2025 10:58AM Dikemas Kini : 27 Mar 2025 10:59AM
SEOUL: Pasukan bomba bertungkus lumus pada Rabu (26 Mac) untuk mengawal siri kebakaran hutan yang melanda wilayah tenggara Korea Selatan.

Kebakaran tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang, namun keadaan angin kencang dan cuaca kering terus menyukarkan usaha memadamkan kebakaran, lapor Agensi Berita Yonhap.

Puluhan helikopter pemadam kebakaran, kira-kira 5,000 anggota, serta sekitar 560 unit peralatan dikerahkan, tetapi kebakaran yang bermula di daerah Sancheong, wilayah Gyeongsang Selatan pada Jumaat lalu telah merebak ke timur laut wilayah itu.

Kebakaran tersebut, yang mejejas Uiseong, kini menuju ke Andong, Cheongsong, Yeongyang dan Yeongdok.

Menurut data Ibu Pejabat Langkah Pencegahan dan Keselamatan Bencana Pusat, 20 daripada mangsa yang terkorban ditemui di Uiseong, manakala empat lagi di Sancheong.

Dalam pada itu, angin kencang meningkatkan risiko kebakaran merebak ke kawasan pantai utara. Perkara tersebut menimbulkan kebimbangan kebakaran boleh sampai ke daerah Uljin, yang merupakan lokasi bagi sebuah loji kuasa nuklear utama.

Seorang pegawai perhutanan memberi amaran mengenai faktor tidak menentu seperti perubahan mendadak pada arah angin, dengan mengatakan bahawa meskipun kebakaran di Uiseong pada awalnya merebak ke arah timur, angin dari selatan dan barat daya dikesan pada Selasa dan Rabu.

Pada Rabu, Pemangku Presiden Han Duck-soo menggesa usaha secara habis-habisan bagi menghalang kebakaran hutan tersebut daripada terus merebak, menyifatkannya sebagai "kebakaran hutan terburuk pernah berlaku di negara itu."

Setakat ini, kebakaran itu telah memusnahkan 17,000 hektar hutan serta 209 rumah dan kilang, kata Encik Han.

Kebakaran turut memusnahkan Kuil Goun di Uiseong, sebuah kuil purba yang dibina pada tahun 681 semasa Dinasti Silla.

Bagaimanapun, khazanah negara yang disimpan di kuil itu telah dipindahkan ke lokasi lain.

Awal Rabu, sebuah helikopter pemadam kebakaran yang dikendalikan seorang juruterbang terhempas di Uiseong ketika bertugas memadam kebakaran besar di kawasan itu, mengorbankan juruterbang berkenaan.

Wilayah Gyeongsang Utara dan Gyeongsang Selatan merupakan lokasi bagi pelbagai aset sejarah dan budaya, termasuk khazanah negara.

Dengan kebakaran semakin menghampiri, kebimbangan kembali meningkat di sekitar Kampung Rakyat Hahoe di Andong.

Menurut pihak berkuasa, kebakaran mara sehingga hanya lima kilometer dari Kampung Hahoe dan merancang untuk mengerahkan dua helikopter pemadam kebakaran sebagai langkah pencegahan awal.

Terletak kira-kira 190 kilometer ke tenggara Seoul, Hahoe merupakan satu daripada kampung rakyat paling terkenal di Korea Selatan. Ia juga diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2010.

Kampung itu mengekalkan rumah-rumah serta tradisi dari zaman Dinasti Joseon (1392–1910).
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita