Anggun Gamelan satukan anak muda pelbagai kaum menerusi seni warisan Melayu
Kumpulan Anggun Gamelan Universiti Malaya menghimpunkan pemain daripada pelbagai kaum yang berkongsi minat terhadap seni muzik tradisional. (Gambar: Afifitri Muhammad/Bernama)
- Anggun Gamelan UM menghimpunkan pemain pelbagai kaum, termasuk Melayu dan Cina, yang berminat mendalami muzik gamelan sejak penubuhannya pada 2014.
- Kumpulan ini membuka peluang kerjaya dalam muzik tradisional dan memberi ruang kepada ahli menonjolkan bakat di pentas besar.
- Selain membuat persembahan, mereka aktif menjalankan projek kebudayaan seperti program musim panas untuk pelajar antarabangsa dan merancang konsert pada tahun depan.
- Pusat Kebudayaan UM menyokong usaha memperluas seni gamelan melalui penubuhan kelab, bengkel, dan pendedahan kepada pelajar pelbagai latar belakang demi memelihara warisan budaya.
Namun, di sebalik instrumen tradisional yang sarat dengan identiti Melayu itu, seni gamelan turut membuktikan keupayaannya merentasi batas kaum dan menarik minat generasi muda daripada pelbagai latar belakang.
Ia dapat dilihat menerusi kumpulan Anggun Gamelan Universiti Malaya (UM), yang bukan sahaja menghimpunkan pemain Melayu malah turut disertai anak muda berbangsa Cina yang mendalami keunikan muzik gamelan.
Antaranya pensyarah muzik UM Nur Diana Woon Muhammad Noor Woon, pemain saron barung Ong Li Yang dan pemain saron pekin Ng Jing Yi.
PELUANG KEMBANG KERJAYA DALAM MUZIK
Nur Diana Woon, 26 tahun, berkata muzik gamelan membuka peluang baginya untuk mengembangkan kerjaya dalam industri muzik.
Beliau melihat bidang itu menawarkan ruang lebih luas untuk menonjolkan bakat berbanding bidang muzik arus perdana yang mempunyai persaingan lebih sengit.
"Jika seseorang itu tidak berada di tahap terbaik, pilihan kerjaya yang ada biasanya agak terhad dan berasaskan arus perdana seperti menjadi guru piano.
"Menerusi gamelan, saya melihat lebih banyak peluang dan ruang untuk menonjolkan bakat serta membuat persembahan di pentas-pentas besar," katanya kepada Bernama.
Beliau, yang turut bermain kemarong, berkata latar belakangnya dalam muzik klasik Barat banyak membantu dalam menguasai instrumen gamelan.
Nur Diana Woon menyertai Anggun Gamelan pada 2023.
Bagi Ong, 26 tahun, penglibatannya dalam gamelan pula membantu memperluas pengetahuan muziknya sebagai pemuzik bebas yang pakar dalam instrumen gendang Barat.
"Sebagai seorang pemuzik, kita tidak boleh hanya terikat pada satu genre klasik.
"Gamelan adalah budaya tradisional kita, jadi penting untuk mempelajarinya sebaris dengan genre muzik pop atau jazz untuk menjadi seorang pemuzik yang versatil," katanya.
Beliau menyertai kumpulan itu sejak dua tahun lalu.
Sementara itu, Ng, 26 tahun, yang merupakan guru piano, mula meminati gamelan selepas mengambil kursus elektif muzik tersebut di UM.
Pengalaman itu membuatkannya tertarik dengan keunikan bunyi dan cara memainkan instrumen tradisional tersebut sebelum beliau memutuskan untuk terus aktif bersama Anggun Gamelan.
BERMULA DARIPADA SUBJEK ELEKTIF
Pensyarah sambilan Jabatan Asia Tenggara UM Muhammad Rushdi Mohd Azahari, 35 tahun, berkata Anggun Gamelan ditubuhkan pada 2014 dan pada awalnya terdiri daripada para pelajar yang mengambil subjek elektif gamelan di universiti tersebut.
Penyertaan sulung kumpulan itu dalam Pertandingan Gamelan Melayu Tradisional di Terengganu membuahkan hasil apabila mereka muncul juara kategori kontemporari.
Kejayaan tersebut membuka jalan kepada lebih banyak undangan untuk membuat persembahan dan membantu Anggun Gamelan membina nama dalam komuniti seni.
Selain membuat persembahan, kumpulan itu aktif menjalankan projek kebudayaan.
Antaranya program musim panas di UM yang memperkenalkan muzik tradisional Malaysia kepada para pelajar antarabangsa, khususnya dari Korea Selatan.
Encik Muhammad Rushdi berkata usaha memelihara seni gamelan bukan hanya dilakukan menerusi persembahan.
Nilai menghormati alat muzik tradisional itu turut diterapkan dalam kalangan setiap pemain.
Beliau berharap dapat terus memperluas jenama Anggun Gamelan memandangkan minat pelajar terhadap kumpulan itu semakin berkembang.
Kumpulan tersebut turut merancang untuk menganjurkan konsert gamelan di UM pada tahun depan.
SENI WARISAN SATUKAN MASYARAKAT
Pengarah Pusat Kebudayaan Portfolio Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM Ramzi Ramli berkata keunikan Anggun Gamelan yang terdiri daripada pemain pelbagai kaum menunjukkan seni warisan negara mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
"Pusat Kebudayaan turut memberi peluang kepada kumpulan ini membuat persembahan dalam pelbagai acara rasmi utama universiti," katanya.
Bagi menggalakkan lebih ramai pelajar, termasuk bukan Melayu, mendekati seni gamelan, Pusat Kebudayaan UM turut menubuhkan Kelab KESUMA (Gamelan) di kampus.
Bengkel dan persembahan turut dianjurkan bagi memberikan pendedahan mengenai seni tersebut kepada warga universiti.
"Di samping mengekalkan keaslian, kami juga terbuka kepada perkembangan muzik semasa agar seni gamelan terus berkembang dan diperjuangkan pada masa hadapan," kata Encik Ramzi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.