Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anggota UMNO yang sertai parti baru ibarat "musang berbulu ayam"

Seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO menyifatkan mana-mana anggota yang menyertai parti baru yang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad sebagai "musang berbulu ayam".

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota UMNO yang sertai parti baru ibarat "musang berbulu ayam"

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Hamzah Zainudin. (Gambar: Facebook Dato' Seri Hamzah Zainudin)

Diterbitkan : 16 Jul 2016 08:19PM Dikemas Kini : 16 Jul 2016 08:30PM

MALAYSIA: Seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO menyifatkan mana-mana anggota yang menyertai parti baru yang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad sebagai "musang berbulu ayam".

Encik Hamzah Zainuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia juga menyifatkan anggota UMNO yang sedemikian sebagai tamak kuasa.

"Kami tidak memerlukan musang berbulu ayam. Mereka mendakwa berjuang untuk UMNO namun lihat kini, siapa yang gila kuasa," beliau memberitahu wartawan.

Beliau menambah bahawa penubuhan parti baru oleh Dr Mahathir adalah percubaan untuk menjadikan anaknya, Mukhriz, sebagai pemimpin setelah dipecat sebagai Menteri Besar Kedah dan kemudian dipecat daripada UMNO.

Encik Hamzah menolak dakwaan bahawa keputusan menubuhkan parti baru itu dibuat setelah meraih kata sepakat dengan parti-parti pembangkang.

"Mereka tidak sepakat namun hanya mahukan kuasa atas kepentingan peribadi masing-masing. Beliau (Dr Mahathir) keluar daripada parti setelah anaknya dipecat," tambah Encik Hamzah.

TUBUH PARTI BARU BUKTI DR M TIDAK YAKIN

Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO melihat hasrat Dr Mahathir untuk menubuhkan parti baru, sebagai tanda rasa tidak yakin terhadap parti-parti pembangkang sedia ada.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata kegagalan parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, menyebabkan Dr Mahathir terpaksa menubuhkan parti baru dan tidak boleh menaruh harapan kepada parti pembangkang yang lain.

"Kalau beliau yakin dengan rakan-rakan pembangkang beliau yang baru ini iaitu DAP, PKR dan Amanah, tak perlu beliau tubuhkan parti baru.

"Ini bagi saya satu tamparan buat DAP, PKR dan Amanah sampai negarawan usia 90
tahun terpaksa keluar daripada persaraan dunia politik untuk tubuhkan parti sendiri," kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Khamis lalu (14 Jul) , Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baru yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi PRU ke-14. 

Sumber : Bernama/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan