Skip to main content

Dunia

Anggota sindiket Indonesia jual bayi kepada warga SG dihukum penjara 3 hingga 7 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota sindiket Indonesia jual bayi kepada warga SG dihukum penjara 3 hingga 7 tahun

Tertuduh dalam kes pemerdagangan bayi diiring keluar dari lokap Mahkamah Daerah Bandung, Jawa Barat, pada 7 April 2026. (Gambar: CNA/Wisnu Agung Prasetyo)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 04:58PM Dikemas Kini : 21 Jul 2026 09:37PM
BANDUNG: Sebuah mahkamah di Indonesia pada Selasa (21 Jul) telah mensabitkan kesalahan ahli sindiket pemerdagangan bayi atas tuduhan menjual bayi yang kononnya untuk tujuan anak angkat kepada pasangan di Indonesia dan Singapura, dan menjatuhkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, dengan hukuman minimum selama tiga tahun empat bulan.

Seramai 18 wanita dan seorang lelaki didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Bandar Bandung kerana menjual sekurang-kurangnya 34 bayi antara 2022 dan 2025, sebahagian daripadanya dibawa ke Singapura dan dijual pada harga ribuan dolar setiap seorang.

Hukuman paling berat selama tujuh tahun telah dijatuhkan ke atas Lie Siu Luan yang berusia 70 tahun - juga dikenali sebagai Lily - yang diputuskan oleh mahkamah sebagai dalang di sebalik operasi tersebut dan merekrut defendan lain dalam kes tersebut.

Sementara itu, Astri Fitrinika, 26 tahun, dan Djaka Hamdani, 35 tahun, masing-masing dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan tujuh bulan atas peranan mereka dalam mendapatkan bayi yang diperdagangkan oleh sindiket tersebut. Djaka adalah satu-satunya defendan lelaki dalam kes berkenaan.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan tujuh bulan ke atas Lai Siu Ha, 60 tahun, yang menurut mahkamah membantu sindiket itu memalsukan dokumen untuk mengaburkan asal usul bayi-bayi tersebut.

Elin Marlina, yang dituduh membantu Astri dan Djaka dalam memperolehi bayi-bayi tersebut, turut dikenakan hukuman penjara yang sama selama enam tahun dan tujuh bulan.

Sementara itu, 15 defendan lain masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun dan empat bulan kerana memainkan peranan kecil dalam operasi tersebut.

Ini termasuk lima orang yang mendakwa secara palsu sebagai ibu bapa bayi-bayi tersebut melalui dokumen undang-undang palsu dan panggilan video kepada bakal ibu bapa angkat.

Hukuman tersebut adalah lebih rendah daripada hukuman penjara 10 tahun yang diusulkan oleh pendakwa raya sebelum ini untuk Lily, Astri, Djaka, Lai dan Elin.

Pendakwa raya sebelum ini memohon hukuman penjara selama lima tahun untuk 14 rakan subahat yang lain.

Seramai 19 defendan dan pihak pendakwa masih boleh merayu terhadap keputusan tersebut dan pemalsu dokumen yang disabitkan kesalahan, Lai, segera memberitahu mahkamah bahawa dia akan mencabar keputusan mahkamah Bandung.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita