Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anggota polis M'sia, rakan ditahan bawa mercun, bunga api guna kenderaan PDRM

Anggaran Waktu Membaca:

KOTA BHARU: Seorang anggota polis dan rakannya ditahan ketika membawa pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM25,000 (S$7,591) menggunakan kenderaaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Machang pada Selasa lalu (28 Mac). 

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan kedua-dua suspek berumur 32 dan 35 tahun itu serta rampasan dilakukan sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) Pengkalan Chepa kira-kira pukul 7.45 malam selepas melihat kenderaan terbabit dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota PGA8 telah menahan Toyota Hilux PDRM di lampu isyarat Wakaf Bata, Machang, hasil pemeriksaan menemukan 15 kotak coklat dan 12 bungkusan guni di bahagian kenderaan tersebut yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM25,000 (S$7,591),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat (7 Apr).

Encik Muhamad Zaki berkata hasil semakan mendapati seorang daripada suspek merupakan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu manakala seorang lagi suspek bekerja sebagai mekanik dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes narkotik. 

“Mereka ditahan reman selama empat hari bermula Rabu hingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Polis juga akan mengenal pasti sama ada anggota tersebut berada di luar kawasan kerana tugas atau sebaliknya,” katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan