Anggota polis, isteri antara 6 maut kemalangan ngeri
Anggota polis dan isterinya adalah antara enam yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tungku berhampiran Kampung Membantu, hari ini (10 Jun).
(Gambar: Bernama)
LAHAD DATU: Anggota polis dan isterinya adalah antara enam yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tungku berhampiran Kampung Membantu, hari ini (10 Jun).
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata nahas pada 8.30 pagi itu membabitkan sebuah treler membawa muatan minyak diesel, kenderaan Isuzu D-Max dan Proton Saga.
"Lizam Ibrahim, 50, anggota polis berpangkat sarjan yang memandu Isuzu D-Max bersama isterinya Suhana Wahap, 39, seorang suri rumah maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Lizam yang sebelum ini berkhidmat di Balai Polis Kinabatangan, baru sahaja seminggu bertukar dan bertugas di Balai Polis Cenderawasih, Tungku.
ACP Nasri berkata empat individu lain yang maut ialah pemandu treler Tajuddin Mansur, 64, serta tiga lagi individu menaiki Proton Saga iaitu Mohamad Faddhil Abd Jaid, 36; Mohd Jamil Janil, 22; dan Hatijah Jakaria, 35.
ACP Nasri berkata siasatan awal mendapati pemandu treler berkenaan yang dari arah Lahad Datu ke Tungku, hilang kawalan ketika menuruni bukit dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Saga dan Isuzu D-Max dari arah Tungku.
Pertembungan itu turut menyebabkan treler terbabit terjatuh ke dalam gaung sedalam 18 meter, manakala dua kenderaan lain remuk, katanya.
Menurut ACP Nasri, kes itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.