Skip to main content

Dunia

Anggota polis cedera ditembak dalam serangan balai polis Ulu Tiram dibenar keluar dari hospital

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota polis cedera ditembak dalam serangan balai polis Ulu Tiram dibenar keluar dari hospital

Gambar: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/Facebook

JOHOR BAHRU: Anggota polis yang cedera parah ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu sudah dibenarkan keluar dari Hospital Sultan Ismail (HSI) pada Sabtu (25 Mei).

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38 tahun, dibenarkan keluar selepas sembilan hari menerima rawatan di HSI akibat cedera parah ditembak suspek di bahu dan pinggul.

"Dalam kejadian itu kedua-dua tembakan bahagian di bahu dan pinggul itu tembus.

"Dia yang mempunyai tiga anak berusia satu, tiga dan lapan tahun itu kini diberikan cuti selama dua bulan.

"Anggota berkenaan sudah diberi sesi kaunseling di HSI dan dia yang dipercayai masih trauma akan menjalani sesi kaunseling dalam tempoh tersebut sekiranya memerlukan," katanya, dipetik daripada agensi berita Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada wartawan dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Johor Kepada Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Isnin (27 Mei).

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Timbalan Pesuruhjaya Afandi Senin.

Mengulas lanjut, Superintenden Mohd Sohaimi bagaimanapun tidak menolak cuti yang diberikan turut bergantung kepada keadaan mangsa dan jika sudah pulih, Mohd Roslan akan kembali bertugas, menurut Sinar Harian.

Dalam serangan di balai polis tersebut pada jam 2.45 pagi 16 Mei lalu, dua anggota polis iaitu Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, maut manakala Mohd Roslan mengalami kecederaan.

Suspek berusia 21 tahun turut maut apabila ditembak dalam insiden berkenaan.

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, lima ahli keluarga suspek termasuk ibu, bapa dan adik beradiknya kini ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tambahnya, polis turut mereka keterangan seramai 47 saksi berhubung kejadian serangan tersebut, lapor Sinar Harian.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita