Skip to main content

Dunia

Anggota PKR buat aduan kepada SPRM tentang pembelian undi dalam pemilihan parti di Julau

Sekumpulan anggota PKR diketuai ketua bahagian Betong Sarawak Encik Vernon Kedit hari ini (12 Nov) membuat satu lagi laporan kepada Surujanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota PKR buat aduan kepada SPRM tentang pembelian undi dalam pemilihan parti di Julau

Gambar fail.

Diterbitkan : 12 Nov 2018 01:55PM Dikemas Kini : 12 Nov 2018 01:58PM

KUCHING: Sekumpulan anggota PKR diketuai ketua bahagian Betong Sarawak Encik Vernon Kedit hari ini (12 Nov) membuat satu lagi laporan kepada Surujanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka tiba di pejabat SPRM pada kira-kira 9.15 pagi.

Bercakap kepada pemberita di luar bangunan SPRM di sini sebelum membuat laporan mereka, Encik Vernon menunjukkan sebatang pemacu pena yang didakwanya mengandungi bukti mengenai dakwaan berlakunya pembelian undi.

"Kami kini mempunyai bukti yang tidak boleh dipertikaikan bahawa perbuatan membeli undi berlaku pada Sabtu 10 Nov di Julau," katanya yang menambah, terdapat banyak bukti yang menunjukkan berlakunya penipuan dan pelbagai salah laku jenayah.

"Dalam pemacu pena yang kecil ini terkandung bukti yang menggempar dan mengejutkan mengenai berlakunya rasuah secara berleluasa dan terang-terangan di Julau pada 10 Nov," katanya yang menambah, apa yang berlaku adalah amat menjijikkan dan modus operandinya amat memalukan.

Beliau memuji dan mengucapkan terima kasih kepada penduduk Julau kerana berani untuk tampil ke depan dan mendedahkan amalan-amalan rasuah tersebut yang beliau sifatkan sebagai sesuatu yang amat dibenci dari segi undang-undang dan mempersendakan pendirian parti selama ini.

"Oleh sebab itu maka saya berada di sini pagi ini untuk membuat aduan buat kali kedua kepada SPRM dan menyerahkan bukti baru ini yang merupakan kemuncak kepada rancangan yang sudah diatur rapi untuk dengan sengaja memanipulasi proses dan keputusan pemilihan parti," kata Encik Vernon.

Beliau berkata memandangkan kes di Julau itu masih dalam penyiasatan, beliau tidak dapat memberi atau mendedahkan butiran lanjut mengenai kes itu selain daripada yang telah disebut dalam kenyataannya.

"Bukti-bukti yang ada adalah kuat dan kami serahkan kepada pihak SPRM untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Parti Keadilan berdiri atas prinsip keadilan dan saya berdiri di sini bersama-sama rakan seperjuangan untuk memberi khidmat dengan hanya satu tujuan: iaitu memastian keadilan bukan sahaja dilaksanakan tetapi mestilah dilihat sebagai telah dilaksanakan, dan dilaksanakkan dengan tegas. Kami tidak bersedia untuk bertolak ansur dalam perkara ini," tambah beliau.

Pada 10 Nov, kira-kira 1,000 anggota PKR dari Bahagian Julau menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada pemilihan parti.

"Seperti yang kami dakwa sebelum ini, pendaftaran keanggotaan ramai daripada mereka diragui.

"Beberapa laporan polis sudah dibuat oleh anggota-anggota yang mendakwa mereka didaftar sebagai anggota parti tanpa pengetahuan atau keizinan mereka.
"Pelbagai penganalisis bebas juga sudah memberikan fakta-fakta yang menyokong dakwaan kami tetapi tiada tindakan diambil oleh badan penyelia parti untuk menyelesaikan masalah itu.

"Sebaliknya, pihak sekretariat parti menyatakan mereka tidak menemui sebarang penyelewengan atau penipuan," kata beliau. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita