Skip to main content

Dunia

Anggota Kongres Amerika gesa tiga firma India disenarai hitam susuli dakwaan kegiatan penggodaman

Tiga anggota Kongres Amerika Syarikat menggesa pemerintah negara itu agar menyenarai hitam tiga firma teknologi India atas dakwaan bahawa mereka menjalankan kegiatan pengintipan terhadap rakyat, syarikat dan peguam yang mewakili mereka selama lebih 15 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota Kongres Amerika gesa tiga firma India disenarai hitam susuli dakwaan kegiatan penggodaman

Senator Democrat Ron Wyden berucap semasa sesi Jawatankuasa Kewangan Senat di Capitol Hill, Washington, pada 22 Julai 2026. (Gambar fail: REUTERS/Annabelle Gordon)

Diterbitkan : 11 Sep 2026 10:30AM
  • Tiga anggota Kongres Amerika Syarikat menggesa Jabatan Perdagangan menyenarai hitam BellTroX, CyberRoot dan Sunkissed Organic Farms dari India kerana didakwa terlibat dalam pengintipan selama lebih 15 tahun.
  • Jika disenarai hitam, firma-firma ini akan dilarang mengakses perisian dan prasarana teknologi Amerika.
  • Laporan Reuters dan syarikat seperti Meta Platforms serta Google sebelum ini turut mengaitkan firma tersebut dengan kegiatan penggodaman upahan.
  • Firma-firma berkenaan menafikan salah laku, sementara prosiding undang-undang antara Reuters dan Association of Appin Training Centers di India masih berjalan.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Tiga anggota Kongres Amerika Syarikat menggesa pemerintah negara itu agar menyenarai hitam tiga firma teknologi India atas dakwaan bahawa mereka menjalankan kegiatan pengintipan terhadap rakyat, syarikat dan peguam yang mewakili mereka selama lebih 15 tahun.

Dalam sepucuk surat yang dikeluarkan pada Rabu (9 Sep), Senator Democrat Ron Wyden dan Sheldon Whitehouse serta Anggota Dewan Perwakilan Republican Pat Harrigan meminta Jabatan Perdagangan Amerika memasukkan BellTroX, CyberRoot dan Sunkissed Organic Farms Pvt. Ltd. ke dalam Senarai Entiti jabatan tersebut.

Sunkissed Organic Farms sebelum ini dikenali sebagai Appin Technology Pvt. Ltd.

Jika dimasukkan ke dalam senarai itu, firma-firma berkenaan akan disekat daripada mendapatkan perisian, prasarana pengkomputeran awan dan alat keselamatan siber Amerika.

Wakil Sunkissed dan CyberRoot serta Jabatan Perdagangan Amerika tidak memberikan respons terhadap permintaan untuk mengulas, manakala BellTroX tidak dapat dihubungi.

DIDAKWA TERLIBAT KEGIATAN 'PENGGODAM UNTUK DIUPAH'

Reuters sebelum ini mengenal pasti ketiga-tiga firma tersebut sebagai antara pemain dalam industri "penggodaman upahan".

Laporannya pada 2022 mengaitkan CyberRoot dan BellTroX dengan kegiatan mengintip pihak lawan dalam pertikaian undang-undang dan perniagaan.

Pada 2023, Reuters pula melaporkan Appin berkembang daripada sebuah syarikat pemula pendidikan kepada firma penggodaman upahan yang mencuri maklumat sulit daripada individu berprofil tinggi di seluruh dunia.

Para eksekutif ketiga-tiga firma itu menafikan sebarang salah laku.

Meta Platforms dan Google juga pernah menerbitkan laporan mengenai kegiatan penggodaman yang dikaitkan dengan firma-firma tersebut.

Reuters kini terlibat dalam prosiding undang-undang di India dengan Association of Appin Training Centers, yang mendakwa laporan Reuters menjejas reputasi pusat latihan dan para pelajar Appin.

Reuters menafikan dakwaan itu dan prosiding tersebut masih berjalan.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita