Skip to main content

Dunia

Andy Burnham sasar potong cukai bil elektrik dalam langkah pertama sebagai PM Britain

Anggaran Waktu Membaca:
 Andy Burnham sasar potong cukai bil elektrik dalam langkah pertama sebagai PM Britain

Perdana Menteri baharu Britain Andy Burnham. (Gambar: REUTERS/Isabel Infantes)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 07:03PM
  • Perdana Menteri Britain Andy Burnham mengumumkan pemotongan cukai bil elektrik dengan memansuhkan VAT bermula 1 Oktober, sebagai langkah awal menangani krisis kos sara hidup.
  • Langkah ini dibiayai melalui pembatalan program ID digital bernilai £1.8 bilion, namun mendapat kritikan mengenai sumber dana sebenar dan keberkesanan bantuan.
  • Burnham berusaha menunjukkan tindakan pantas untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengukuhkan kedudukan Parti Buruh di tengah ketidakstabilan politik serta cabaran daripada parti pembangkang.
  • Pihak seperti End Fuel Poverty Coalition, IMF dan OECD memberi reaksi bercampur, menekankan keperluan penyelesaian lebih menyeluruh dan pemantauan ketat terhadap dasar fiskal kerajaan.
Dijana oleh AI
LONDON: Perdana Menteri Britain Andy Burnham berkata pada Selasa (21 Jul) bahawa beliau akan memotong cukai bil elektrik dalam percubaan pertamanya untuk meredakan krisis kos sara hidup berpanjangan yang membangkitkan kemarahan orang ramai serta memarakkan ketidakstabilan politik.

Pada hari kedua memegang jawatan baharu itu, Encik Burnham berkata kerajaannya akan memansuhkan Cukai Nilai Tambah (VAT) daripada bil elektrik domestik bermula 1 Oktober. Langkah ini akan mengurangkan kira-kira £45 (S$78.75) daripada purata bil tahunan sekitar £1,862 (S$3,258.50)yang dibayar oleh isi rumah.

Dengan pelabur bon yang memantau rapi bagaimana sebarang sokongan fiskal akan dibiayai, beliau berkata langkah itu akan dibiayai melalui penjimatan daripada pembatalan program ID digital bernilai £1.8 bilion (S$3.15 bilion) yang diumumkannya pada Ahad.

"Kami mengambil tindakan serta-merta untuk memotong cukai bil tenaga, memberi lebih banyak wang kepada rakyat, dan mengembalikan harapan," katanya dalam satu kenyataan selepas berikrar untuk memberi rakyat lebih "ruang bernafas" dalam kehidupan mereka.

BURNHAM CUBA BERTINDAK PANTAS HULUR BANTUAN

Pengumuman mengenai bil tenaga itu dirancang bagi menunjukkan bahawa Encik Burnham bertindak pantas untuk meningkatkan taraf hidup rakyat selepas bertahun-tahun mengalami kemerosotan.

Namun, sebagai tanda awal bahawa seruannya untuk perpaduan dalam Parti Buruh yang memerintah mungkin tidak mendapat sambutan, seorang sekutu mantan perdana menteri Keir Starmer, Darren Jones, berkata skim ID digital sebenarnya tidak diperuntukkan dana. Beliau turut mempersoalkan sama ada pemimpin baharu itu mempunyai dana untuk menampung langkah dasar bil tenaga tersebut.

"Kerajaan perlu menjelaskan bagaimana ia akan membiayai dasar-dasar baharu semasa pembentangan belanjawan nanti," katanya di platform X.

Bil tenaga menjadi salah satu pemacu utama krisis kos sara hidup di Britain selepas harga gas borong - yang mempengaruhi secara meluas harga elektrik Britain melonjak menyusuli pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022.

Kerajaan Konservatif pada ketika itu membelanjakan berbilion paun untuk melindungi isi rumah menerusi jaminan harga tenaga. Namun, walaupun harga mula mereda sejak pertengahan 2023, ia kekal sehingga 60 peratus lebih tinggi berbanding sebelum krisis tenaga meletus. Harganya juga meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan perang Iran.

End Fuel Poverty Coalition menyambut baik langkah itu sebagai tanda yang positif tetapi menambah: "Ia tidak akan menyelesaikan skala masalah yang dihadapi oleh isi rumah, dengan jutaan orang masih terpaksa membayar sebahagian besar pendapatan mereka untuk membayai bil tenaga serta beban hutang tenaga yang terkumpul sepanjang musim sejuk berterusan dengan bil yang tinggi."

PERTUKARAN PEMIMPIN YANG KERAP

Encik Burnham berikrar akan memulakan program yang dipercayai berupaya memulihkan Britain. Beliau berharap agenda yang lebih berani itu dapat menambat hati pengundi untuk menyokong Parti Buruh dan menangkis cabaran daripada parti populis Reform Britain yang dipimpin oleh individu yang berkempen untuk Brexit, Nigel Farage.

Banyak perkara yang menjadi pertaruhan.

Digelar "King of the North" atas kesungguhannya mempertahankan kawasan Greater Manchester di barat laut England semasa menjadi datuk bandar, Encik Burnham merupakan pemimpin paling popular dalam kalangan parti politik utama Britain dan mendapat sokongan padu daripada Parti Buruh.

Namun, pertukaran perdana menteri Britain yang kerap sejak sedekad lalu menunjukkan betapa pantasnya parti boleh bertindak menentang pemimpin yang dilihat gagal berkhidmat untuk pengundi. Justeru, Encik Burnham perlu bertindak pantas untuk mengukuhkan kewibawaannya dalam kerajaan.

Beliau mahu memulakan langkah dengan pantas.

Dalam ucapan pertamanya sebagai perdana menteri pada Isnin, Encik Burnham berkata cita-cita pertamanya adalah untuk menamatkan masalah gelandangan di Britain, tetapi beliau juga mahu rakyat merasakan perubahan kerajaan pada saku mereka dengan pantas.

PASARAN MEMANTAU RAPI

Beliau juga dijangka akan meneliti kemungkinan mengehadkan tambang bas - sesuatu yang pernah dilakukannya di Manchester - serta langkah-langkah lain bagi menyokong penegasannya bahawa "Saya akan mengutamakan kebajikan rakyat di teras utama semua tindakan saya."

"Ia tidak akan menyelesaikan segala-galanya, ia tidak akan menghilangkan semua tekanan," katanya kepada para wartawan. "Tetapi ia menunjukkan hala tuju dan... usaha untuk membantu mereka."

Pasaran akan mendengar dengan teliti bagaimana Encik Burnham dan pilihan menteri kewangannya, mantan setiausaha pertahanan John Healey, merancang untuk membiayai sebarang bantuan lanjut, selepas kos pinjaman meningkat pada Isnin lalu hingga ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan.

Sesetengah pelabur berasa kurang senang dengan kenyataan Encik Burnham bahawa beliau merancang untuk menggunakan "sebarang kelonggaran" dalam peraturan fiskal sedia ada.

Menunjukkan ruang bertindak yang terhad, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini memuji kerajaan terdahulu kerana tidak memperkenalkan subsidi tenaga secara meluas dan tidak bersasar sebagai respons kepada konflik Iran.

Manakala OECD pula menggesa Britain supaya mengurangkan - bukan memperluaskan - pengecualian VAT bagi mengukuhkan hasil cukai
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita