Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Andaian Pakatan Harapan tidak dapat sokongan pengundi Melayu pada PRU15 tidak benar, kata Anwar Ibrahim

Andaian kononnya Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat dukungan pengundi Melayu iaitu hanya menerima 19 peratus undian kaum itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu adalah tidak benar, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anggaran Waktu Membaca:
Andaian Pakatan Harapan tidak dapat sokongan pengundi Melayu pada PRU15 tidak benar, kata Anwar Ibrahim

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berucap di sebuah sidang media pada 5 Dis 2022. (Gambar fail: Pejabat Perdana Menteri Malaysia/Afiq Hambali)

KUALA LUMPUR: Andaian kononnya Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat dukungan pengundi Melayu iaitu hanya menerima 19 peratus undian kaum itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu adalah tidak benar, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Encik Anwar yang juga Pengerusi PH berkata berdasarkan data analisis awal kajian yang dilakukan mendapati secara keseluruhan gabungan itu menerima sebanyak 31 peratus undian daripada pengundi Melayu dan data berkenaan akan dikemas kini dalam tempoh seminggu dua lagi.

Menurutnya, jika PH hanya menerima 19 peratus sokongan pengundi Melayu, gabungan itu tidak mungkin mencatat jumlah kemenangan kerusi Parlimen yang banyak pada PRU15.

“Memang ada kawasan yang rendah (sokongan orang Melayu) iaitu di Kelantan dan Terengganu, tapi ada kawasan kita terima lebih 50 peratus undi Melayu seperti di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat PKR petang tadi (6 Feb).

Sebelum ini, Encik Anwar mempengerusikan beberapa mesyuarat termasuk mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang turut dihadiri Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Presiden PKR itu juga berkata dengan sokongan rakyat kepada PH serta parti dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti politik lain, beliau yakin pasukan itu dapat mengemudi negara sebagai satu pasukan yang mantap.

“Kalau dikumpulkan (sokongan rakyat) dalam Kerajaan Perpaduan sekarang (PH, BN, GPS, GRS dan parti lain) kita sudah mencecah lebih dua pertiga jumlah keseluruhan undi pada PRU lepas.

"Kita yakin kita (Kerajaan Perpaduan) dengan dua pertiga (sokongan) Ahli Parlimen yang mewakili dua pertiga (sokongan) pengundi, kita dapat terus mengemudi negara ini dalam pasukan yang mantap, gunakan ruang yang ada membersihkan budaya rasuah dan pacu ekonomi negara dengan lebih meyakinkan,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan