Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anda kini boleh menyelam sambil menikmati keindahan arca dasar laut di Langkawi

Kini anda mempunyai pilihan menarik dan daya tarikan baru untuk anda kunjungi di Langkawi.

Anggaran Waktu Membaca:
Anda kini boleh menyelam sambil menikmati keindahan arca dasar laut di Langkawi

Salah satu arca yang akan ditempatkan di dasar laut di Langkawi. (Gambar: Balai Seni Negara Langkawi/Facebook)

LANGKAWI: Jika anda masih mencari idea untuk bercuti di rantau ini pada cuti sekolah bulan Jun, kini anda mempunyai pilihan menarik dan daya tarikan baru untuk anda kunjungi.

Pulau Langkawi memang terkenal dengan pantainya yang indah.

Namun kini, anda boleh meneroka satu lagi daya tarikan yang dipanggil Arca Dasar Laut yang terletak di Pengkalan Kubang Badak.

Menariknya, kesemua arca itu dihasilkan oleh sembilan artis berpengalaman, dengan memaparkan konsep mitos dan legenda di pulau peranginan tersebut, lapor mStar.

arca
(Gambar: Balai Seni Negara Langkawi/Facebook)

Setiap arca juga diperbuat daripada simen konkrit yang dirawat.

Bahannya pula bersifat mesra ekosistem dan ekologi marin.

Menurut mStar, arca-arca yang dibina sejak Januari lalu itu juga melibatkan masyarakat tempatan yang terdiri daripada para nelayan, pengendali selam skuba dan para artisan tempatan.

arca
(Gambar: Balai Seni Negara Langkawi/Facebook)

Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Encik Ameruddin Ahmad berkata projek itu adalah salah satu usaha pihaknya untuk membawa lebih banyak karya seni ke alam dan bukan saja untuk dipamerkan secara konvensional iaitu di galeri semata-mata.

Malah, Arca Dasar Laut itu juga adalah usaha untuk menyumbang kembali kepada alam demi mengembalikan ekologi marin.

“Ia bukan sekadar arca tetapi perumah baru untuk pelbagai spesis ikan dan ekologi marin lain kerana arca ini berfungsi sebagai tukun tiruan dan bukan hanya karya seni semata-mata.

arca
(Gambar: Balai Seni Negara Langkawi/Facebook)

"Kehadiran arca ini pastinya akan memperkayakan lagi kaloni dan habitat marin yang akhirnya akan memberi punca rezeki kepada komuniti setempat selain pemangkin kepada eco-marine tourism yang baru," katanya semasa melancarkan program itu di Pulau Langkawi pada Ahad lalu, seperti dipetik mStar.

Encik Ameruddin juga menambah, penghasilan arca dasar laut itu dilaksanakan di Pengkalan Kampung Kubang Badak kerana ia merupakan tempat pertemuan dalam kalangan penggemar 'biogeotrail' tempatan dan antarabangsa, aktiviti snorkeling dan memancing.

Keputusan menempatkan kesemua arca itu di Pulau Pasir juga, kata beliau, dibuat selepas melakukan pelbagai kajian termasuk kerjasama penyelidik berkaitan hidupan marin, biologi dan kerajaan negeri.

“Di Pulau Langkawi memang terdapat banyak pulau menarik tetapi hasil kajian penyelidik mendapati kawasan itu paling sesuai apatah lagi ia tidak jauh dari Pengkalan Kampung Kubang Badak.

“Meskipun ada beberapa arca ditenggelamkan ke dasar laut dan boleh dilihat menerusi aktiviti menyelam, pihak kita turut meletakkan beberapa arca lain di kawasan pesisir pantai dan separa tenggelam untuk memudahkan pelancong melihat dengan lebih dekat,” katanya.

arca
(Gambar: Balai Seni Negara Langkawi/Facebook)

Arca-arca itu akan ditempatkan di Pulau Pasir iaitu sekitar 15 minit dari Pengakalan Kubang Badak.

Sembilan arca itu dihasilkan dengan saiz minimum lima kaki setiap satu turut dilabuhkan di perairan Pulau Pasir.

Antara artis yang terlibat dalam program itu adalah Mohd Al Khuzairie Ali menerusi karya Sang Kelembai Meletus, Mohd Radzi Ismail (Belanga Pecah), Ahmad Fuad Osman (Tugu Antroposen), Umibaizurah Mahir @ Ismail (Permata Hinggap) dan Dr. Zainuddin Abindinhazir @ Abdul Rashid (Sumpahan Mahsuri).

Selain itu, karya-karya Tengku Sabri Tengku Ibrahim berjudul Archelon, Abdul Multhalib Musa (Segitiga Langkawi), Low Chee Peng (Curse of Passing) dan Maxine Xie Xian Xin (Mushrooms For MuchRooms To Let) turut dipamerkan.

Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan