Skip to main content

Dunia

Ancaman tarif semikonduktor Trump cetus kebimbangan terhadap masa depan industri cip Pulau Pinang

Ancaman tarif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke atas import semikonduktor menimbulkan kebimbangan di Pulau Pinang, dengan para pakar memberi amaran bahawa langkah itu boleh menjejak lonjakan pertumbuhan yang menjadikan negeri di utara Malaysia itu sebagai kuasa besar dalam sektor teknologi penting tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Ancaman tarif semikonduktor Trump cetus kebimbangan terhadap masa depan industri cip Pulau Pinang

Seorang pekerja memeriksa cip semikonduktor di sebuah syarikat pembungkusan cip di Malaysia. (Gambar fail: REUTERS/Lim Huey Teng)

KUALA LUMPUR: Ancaman tarif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke atas import semikonduktor menimbulkan kebimbangan di Pulau Pinang, dengan para pakar memberi amaran bahawa langkah itu boleh menjejak lonjakan pertumbuhan yang menjadikan negeri di utara Malaysia itu sebagai kuasa besar dalam sektor teknologi penting tersebut.

Namun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, kekal optimis dengan menyatakan kepada Mediacorp bahawa negeri itu - serta negara Malaysia secara keseluruhannya - masih berada dalam “kedudukan yang agak berdaya saing” untuk menarik pelaburan.

Bercakap semasa majlis makan malam di Rumah Putih pada 4 September bersama ketua-ketua syarikat teknologi, Encik Trump berkata: “Cip dan semikonduktor - kami akan mengenakan tarif ke atas syarikat yang tidak berpindah ke sini. Kami akan melaksanakan tarif itu tidak lama lagi.”

Beliau tidak mendedahkan tarikh atau kadar khusus bagi cukai yang dirancang itu, namun menambah: “Kami akan mengenakan tarif yang agak tinggi, tidak terlalu tinggi, tetapi agak ketara ... jika mereka datang ke negara ini, membina kilang atau merancang untuk berpindah ke sini, maka tarif itu tidak akan dikenakan.”

Walaupun belum ada pengumuman rasmi tentang cukai bagi sektor semikonduktor oleh Amerika Syarikat setakat ini, tanda-tandanya semakin jelas.

Pada 26 September, Encik Trump mengumumkan cukai baharu sebanyak 100 peratus terhadap sebarang produk farmaseutikal berjenama atau berpaten, kecuali jika syarikat berkenaan membina loji pengilangan ubat di Amerika.

Langkah itu mencetuskan kebimbangan di Singapura, di mana eksport farmaseutikal bernilai sekitar S$4 bilion atau 13 peratus daripada jumlah eksport domestik ke Amerika Syarikat.

Kini, pemain industri di Malaysia sedang menanti sama ada Encik Trump akan mengenakan tarif serupa terhadap industri cip semikonduktor seperti yang dibayangkan sebelum ini.

Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global semikonduktor walaupun ia merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia.

Digelar “Silicon Valley Dunia Timur” oleh para pemerhati, negeri di utara itu menyumbang sekitar lima peratus daripada eksport semikonduktor dunia, menurut data kerajaan negeri.
Related article image
Pemandangan di bahagian selatan Pulau Pinang, termasuk Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Bayan Lepas dan Jambatan Kedua Pulau Pinang. (Gambar: iStock/Thai Liang Lim)
Pulau Pinang turut menjadi destinasi pelaburan utama bagi beberapa syarikat multinasional (MNC) besar Amerika dalam sektor tersebut, termasuk Intel, Advanced Micro Devices (AMD), Micron dan Infineon.

Peranan penting Pulau Pinang sebagai hab cip menyerlahkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global, dengan negara Asia Tenggara itu menyumbang sekitar 13 peratus daripada aktiviti ujian dan pembungkusan semikonduktor di dunia, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Di satu pihak, pegawai negeri Pulau Pinang yakin industri semikonduktor tempatan akan kekal kukuh, dengan menyatakan bahawa meskipun suasana global tidak menentu, syarikat-syarikat masih meninjau peluang pengembangan.

Dalam satu jawapan bertulis kepada Mediacorp, Encik Chow berkata, dengan kadar tarif balasan Malaysia ditetapkan pada 19 peratus dan tarif sektor semikonduktor yang belum diumumkan secara rasmi, negara itu dan Pulau Pinang masih berada dalam “kedudukan yang agak berdaya saing” untuk menarik pelaburan.

“Walaupun sentimen pelaburan global tidak menentu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami menyaksikan pelibatan semula syarikat-syarikat Amerika Syarikat, dengan beberapa daripadanya kembali meninjau peluang pengembangan melalui (agensi penggalakan pelaburan negeri) InvestPenang.

“Semakin banyak syarikat kini mengambil pendekatan jangka panjang, merangka strategi yang melangkaui kitaran politik semasa di Amerika Syarikat,” tambah Encik Chow.

Beliau memetik data pelaburan yang menunjukkan bahawa dalam separuh pertama 2025, Amerika Syarikat merupakan penyumbang tertinggi pelaburan langsung asing (FDI) pengilangan yang diluluskan di Pulau Pinang dengan nilai RM2.6 bilion (S$798.6 juta).

Ini membentuk suku daripada jumlah pelaburan pengilangan negeri itu.

Encik Chow berkata angka itu menunjukkan daya tarikan Pulau Pinang kepada syarikat-syarikat Amerika Syarikat pada masa ini.

Sungguhpun begitu, ahli ekonomi memberitahu Mediacorp bahawa Pulau Pinang perlu bersiap sedia untuk menghadapi kesan dasar baharu itu, di tengah-tengah amaran daripada pemimpin industri Malaysia dan penangguhan pelaburan oleh beberapa syarikat.

Para pakar menambah bahawa tarif semikonduktor yang tinggi dengan kadar yang mungkin dikenakan sehingga 80 peratus atau lebih boleh memberi kesan langsung kepada sektor tersebut dan mengurangkan pelaburan asing, disebabkan kebergantungan besar Pulau Pinang kepada eksport Amerika Syarikat.

Berdasarkan data kerajaan bagi separuh pertama tahun ini, Pulau Pinang menyumbang sekitar 55 peratus daripada eksport Malaysia ke Amerika Syarikat, didominasi oleh semikonduktor serta produk elektrik dan elektronik.

Ahli ekonomi Malaysia-Amerika, Woo Wing Thye, yang juga merupakan zamil kanan di badan pemikir Penang Institute, memberitahu Mediacorp bahawa cukai tinggi akan menjejas sektor itu dan meningkatkan harga produk yang dihasilkan di Pulau Pinang - sehingga ia mungkin tidak lagi berdaya saing untuk beroperasi dan dieksport ke Amerika Syarikat.

“Jika cukai semikonduktor diumumkan pada kadar 80 peratus atau lebih, harga akan meningkat dan ini akan memberi kesan buruk kepada industri,” kata Encik Woo, yang juga merupakan Naib Presiden bagi pejabat Asia Rangkaian Huraian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDSN).

Beliau menambah bahawa tarif itu pasti akan menjejas syarikat berteknologi tinggi, dan walaupun cip yang dihasilkan di Pulau Pinang kebanyakannya digunakan untuk produk berteknologi sederhana seperti barangan keperluan rumah, ia tetap tidak akan terlepas daripada kesan negatif cukai perdagangan baharu itu.

PELABURAN BERTERUSAN DARI AMERIKA SYARIKAT, CHINA

Walaupun berdepan ketidaktentuan global berhubung tarif, pegawai Pulau Pinang dan pemimpin industri semikonduktor menegaskan sektor itu masih beroperasi seperti biasa dengan pelaburan berterusan oleh syarikat-syarikat asing lain.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Wong Siew Hai, berkata kepada Mediacorp bahawa “momentum ekosistem semikonduktor Pulau Pinang kekal utuh.”

Beliau berkata bahawa negeri itu merupakan penyumbang terbesar bagi pelaburan langsung asing dalam sektor pengilangan di Malaysia, dengan membentuk 20 peratus daripada jumlah keseluruhan negara dari Januari hingga Jun.

“Sebahagian besar datang daripada syarikat tenaga elektrik, elektronik dan semikonduktor. Tarif bagi semikonduktor masih sifar, jadi setakat ini tiada kesan. Perniagaan berjalan seperti biasa,” kata Encik Wong.

“Kami berharap Amerika Syarikat akan membuat keputusan yang bijak pada masa hadapan bagi membantu industri semikonduktor dan membolehkan syarikat-syarikat Amerika Syarikat (di Pulau Pinang) terus berkembang maju.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita