Skip to main content

Dunia

Ancaman perkauman masih wujud susuli serangan masjid NZ, kata PM Arden

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengakui pada Jumaat (13 Mac) bahawa ada "lebih banyak" lagi yang boleh dilakukan oleh negaranya untuk menangani penyokong tegar kuasa kulit putih setelah setahun berlakunya pembunuhan beramai-ramai di masjid Christchurch.

Anggaran Waktu Membaca:
Ancaman perkauman masih wujud susuli serangan masjid NZ, kata PM Arden

(Gambar: AFP/John Kirk-Anderson)

Diterbitkan : 13 Mar 2020 05:56PM Dikemas Kini : 13 Mar 2020 06:02PM

CHRISTCHURCH: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengakui pada Jumaat (13 Mac) bahawa ada "lebih banyak" lagi yang boleh dilakukan oleh negaranya untuk menangani penyokong tegar kuasa kulit putih setelah setahun berlakunya pembunuhan beramai-ramai di masjid Christchurch.

Cik Ardern dipuji ramai kerana menunjukkan sifat ihsan terhadap masyarakat Islam selepas seorang lelaki bersenjata menyerang dua buah masjid pada 15 Mac tahun lalu, membunuh 51 orang dalam tembakan beramai-ramai paling dahsyat dalam sejarah moden New Zealand.

Namun begitu, sebilangan penduduk New Zealand menyokong pegangan penyerang warga Australia itu, seorang penyokong tegar kuasa kulit putih yang menyasarkan umat Islam semasa solat Jumaat.

"New Zealand tidak bebas daripada kumpulan-kumpulan yang menyifatkan diri mereka sebagai penyokong tegar kuasa kulit putih, kumpulan sedemikian ada di sini," katanya kepada para wartawan.

"Tanggungjawab kita adalah untuk memerangi bukan saja kewujudan fahaman tegar tetapi juga punca yang membawa kepada kewujudan fahaman sedemikian. Ada banyak lagi yang boleh kita lakukan," katanya.

Cik Ardern, yang berucap menjelang upacara peringatan negara pada Ahad lalu, berkata cara terbaik untuk memperingati para mangsa adalah dengan mengutuk perkauman, perbuatan membuli dan sikap diskriminasi.

"Orang akan berasa selamat apabila mereka rasa diri mereka disokong," katanya.

"Apabila mereka merasakan masyarakat menjaga mereka dan apabila mereka merasa diri mereka tidak didiskriminasikan atau gangguan di tepi jalan atau komen-komen yang membuat mereka berasa tidak selamat."

Cik Ardern berkata serangan pada 15 Mac "pada dasarnya" merubah New Zealand. Beliau berharap perubahan itu akan membawa kepada kebaikan.

Kenyataan beliau di keluarkan selepas polis memberkas seorang remaja lelaki berusia 19 tahun bulan ini kerana membuat ancaman terhadap salah sebuah masjid yang diserang pada tahun lalu.

"Saya benar-benar tidak faham, selepas apa yang dilalui oleh masyarakat Islam di sini, kita masih mempunyai orang yang ... (membuat) ancaman terhadap masyarakat Islam kita," katanya.

"CARA YANG DAMAI "

Cik Ardern disertai lebih 1,000 umat Islam yang menunaikan solat Jumaat yang diadakan secara bersama di Masjid Al Noor dan Linwood, yang turut disertai umat Islam lain dari merata New Zealand.

Nasir Ali, yang melakukan penerbangan dari Auckland bersama keluarganya, berkata adalah penting untuk sama-sama "rasa duka dan keperitan" sambil memperingati peristiwa berdarah itu.

"Kita perlu memperingati tragedi seperti ini dan ideologi ekstremis seperti ini wujud dan kita perlu terus berwaspada," katanya.

Farid Ahmed, yang isterinya dibunuh oleh lelaki bersenjata itu, berkata 12 bulan sudah berlalu namun beliau masih belum dapat memahami mengapa pembunuhan itu berlaku.

Encik Ahmed sudahpun memaafkan lelaki bersenjata itu secara terbuka dan beliau tidak akan sekali-kali tunduk kepada pengganasan.

"Pengajarannya ialah kebencian tidak akan dapat menyelesaikan sebarang masalah, jika terdapat perbezaan juga, maka ada cara lain dan ia harus dilakukan dengan damai."

Taj Mohammed Kamran, yang ditembak tiga kali manakala rakan-rakannya dibunuh oleh lelaki bersenjata itu, berkata beliau berasa selamat semasa mengerjakan solat Jumaat kali ini atas kehadiran ramai pegawai polis.

"Tetapi saya sedih kerana rakan saya tidak berada di sini," katanya.

Penyerang masjid Brenton Tarrant, lelaki warga Australia, akan dibicarakan pada 2 Jun atas tuduhan pengganasan serta 51 tuduhan membunuh dan lagi 40 percubaan membunuh.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita