Skip to main content

Dunia

'Ancaman' Iran terhadap badan pemantau nuklear PBB 'amat membimbangkan': Jerman

Anggaran Waktu Membaca:
'Ancaman' Iran terhadap badan pemantau nuklear PBB 'amat membimbangkan': Jerman

Gambar satelit yang dipercayai tapak nuklear Iran. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 30 Jun 2025 07:35AM Dikemas Kini : 30 Jun 2025 07:36AM
FRANKFURT: Berlin menggesa Iran pada Ahad (29 Jun) supaya menghentikan "ancaman" terhadap badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas Tehran menolak permintaan untuk melawat kemudahan nuklear yang diserang Israel dan Amerika Syarikat.

Tehran menuduh Encik Rafael Grossi, ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sebagai "mengkhianati tugasnya" kerana tidak mengutuk serangan Israel dan Amerika ke atas tapak nuklear Iran, dan ahli parlimen Iran minggu ini mengundi untuk menggantung kerjasama dengan agensi tersebut.

"Saya memuji Ketua Pengarah Rafael Grossi dan pasukannya atas usaha dan profesionalisme mereka yang tidak berbelah bahagi.

"Ancaman terhadap mereka dari dalam Iran amat membimbangkan dan mesti dihentikan," kata Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, di platform X, tanpa memberikan butiran lanjut.

"Saya menggesa pihak berkuasa Iran untuk bekerjasama sepenuhnya dengan IAEA dan memastikan keselamatan kakitangannya," tambahnya.

Pada Jumaat, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata di X bahawa "desakan Encik Grossi untuk melawat tapak yang diserang atas alasan keselamatan tidak bermakna dan mungkin mempunyai niat jahat."

Iran menyatakan ia percaya ketetapan IAEA pada 12 Jun yang menuduh Iran mengabaikan kewajipan nuklearnya dijadikan "alasan" untuk perang yang dilancarkan oleh Israel pada 13 Jun.

Encik Wadephul sebelum ini sudah menggesa Iran pada Khamis supaya terus bekerjasama dengan IAEA, dan menyifatkan undian oleh ahli parlimen Iran untuk menghentikan kerjasama dengan agensi itu sebagai "isyarat yang sangat salah".
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita