Skip to main content

Dunia

Ancaman bom palsu di sekolah Jakarta, motifnya sedang disiasat

Anggaran Waktu Membaca:
Ancaman bom palsu di sekolah Jakarta, motifnya sedang disiasat

Direktur Reserse Kriminal Umum Polda Metro Jaya, Kombes Pol Iman Imanuddin. (Gambar: ANTARA/Ilham Kausar)

Diterbitkan : 14 Jul 2026 12:17AM
JAKARTA: Orang ramai dinasihatkan supaya jangan panik susulan ancaman bom palsu di sebuah sekolah rendah di Jakarta Selatan pada hari pertama penggal baharu persekolahan, Isnin.

Gabenor Jakarta Pramono Anung Wibowo berkata orang awam bagaimanapun perlu berwaspada, sambil menekankan bahawa pihak berkuasa mesti menyiasat secara menyeluruh motif di sebalik ancaman itu bagi mengelak kejadian serupa berulang.

“Hanya kerana ini ialah hari pertama (persekolahan) dan ada yang cuba menakutkan orang, itu tidak bermakna kita semua perlu takut, tetapi kita mesti berwaspada,” katanya kepada Agensi Berita Antara, pada Isnin.

Ancaman bom itu memaksa penangguhan aktiviti hari pertama di bawah Program Orientasi Persekitaran Sekolah (MPLS) Indonesia di sebuah sekolah rendah di Jagakarsa, Jakarta Selatan.

Pasukan gabungan terdiri daripada skuad bom Gegana Polis Negara, unit antipengganasan Densus 88 dan Agensi Pencegahan Pengganas Negara (BNPT) kemudian mengisytiharkan sekolah itu selamat selepas pencarian selama empat jam tidak menemukan sebarang objek mencurigakan.

Pejabat Pendidikan Jakarta Selatan berkata aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti biasa akan disambung semula pada hari Selasa mengikut jadual sekolah sedia ada dan tiada tanda pelajar atau guru mengalami trauma akibat kejadian itu.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita