Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

analisisBERITA: Wabak Mpox - Sejauh mana anda harus berasa cemas atau bimbang?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tiga minggu lalu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudahpun mengisytiharkan wabak mpox sebagai satu kecemasan kesihatan awam antarabangsa dan pemerintah Singapura pula pada Rabu (4 Sep) mengumumkan satu siri langkah bagi menangani risikonya.

Kini terdapat dua subjenis mpox yang berleluasa - Klad 1 dan Klad 2. Klad 1 adalah jenis lebih ganas dan berbahaya, dan sudah menjadi endemik di Lembangan Congo di Afrika Tengah. Klad 2 yang kurang berbahaya pula endemik di sebahagian Afrika Barat.

Yang mencetuskan kebimbangan global adalah varian baharu Klad 1b kerana ia didapati merebak dengan lebih mudah dijangkiti menerusi kontak rapat orang yang dijangkiti.

Bagi tahun ini, lebih 20,000 kes mpox dicatatkan di seluruh dunia dengan lebih 650 kematian dilaporkan sejauh ini.

Persoalannya, sejauh manakah masyarakat perlu cemas atau panik berhubung perkembangan ini?

SEJAUH MANA MASYARAKAT HARUS CEMAS ATAU PANIK?

"Kita tidak harus panik kerana ia bukan seperti cacar (smallpox) ataupun jangkitan-jangkitan lain seperti COVID-19. Ia merebak kerana kontak rapat, bukan daripada pernafasan atau batuk, tetapi kontak rapat dari cecair tubuh," kata pakar kesihatan awam, Dr Hishamuddin Badaruddin.



Namun beliau menekankan, ini masih merupakan suatu kebimbangan kesihatan.

Ini kerana penularan varian mpox baharu Klad 1b masih berpotensi meningkat, kata beliau.

Khususnya, individu dengan sistem imun yang lemah, wanita hamil, dan kanak-kanak kecil berisiko tinggi mendapat penyakit yang serius jika dijangkitinya.



Antara gejala jangkitan mpox adalah ruam dan lepuh pada kulit di samping demam, sakit otot, lemah badan dan bengkak pada nodus limfa.



ADA 14 KES MPOX DI SINGAPURA, TETAPI JENIS KLAD 2

Setakat tahun ini, terdapat 14 kes mpox di Singapura, dengan kesemuanya adalah jangkitan Klad 2 yang kurang serius.

Tiada kes jangkitan Klad 1 dilaporkan di sini buat masa ini.

Sungguhpun demikian, Dr Hishamuddin berpendapat "ada kemungkinan besar" Singapura, sebagai sebuah hab penerbangan global, akan mencatatkan kes jangkitan Klad 1 pada masa akan datang.

"Oleh kerana Singapura adalah hab pengangkutan global di mana berjuta-juta orang dari seluruh dunia datang ke mari, memang kita jangkakan pastinya ada kes mpox Klad 1b akan datang ke Singapura pada suatu masa yang akan datang.

"Singapura sudahpun melaksanakan pemeriksaan suhu badan di lapangan terbang.

"Kita sudah ada sistem kesihatan awam dan pakar kesihatan awam yang tersedia untuk mengawal situasi jika ada satu kes, dan kita mempunyai vaksin untuk mpox yang sudah ada di Singapura," kata beliau.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), sebagai langkah berjaga-jaga, orang dewasa yang disyaki menghidap mpox klad 1 akan dihantar ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID). Kanak-kanak pula akan dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak (KKH) bagi penilaian dan rawatan lanjut.

Keluarga yang mempunyai anggota dewasa dan kanak-kanak akan dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH), tambah MOH. Mereka akan diasingkan sementara menunggu keputusan ujian mereka.

Ujian bagi mpox akan dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Nasional menerusi ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) di bahagian kulit yang menunjukkan gejala mpox.

Sebaik sahaja kes klad 1 disahkan, MOH dengan segera memulakan proses pengesanan bagi kontak rapat pesakit.

Mereka akan dikuarantin di kemudahan khas pemerintah, di mana mereka akan diberikan satu dos vaksin. Tempoh kuarantin yang ditetapkan buat masa ini adalah selama 21 hari, iaitu tempoh untuk memantau keadaan penyakit di Afrika.

APAKAH NASIHAT BAGI YANG MAHU LAKUKAN UMRAH, KELUAR NEGARA?

Dengan musim cuti hujung tahun semakin hampir di mana ramai orang lazimnya bercuti di luar negara, Dr Hishamuddin menasihati mereka yang melancong agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengelak berada di tempat sesak.

Namun bagaimana pula bagi jemaah yang menunaikan ibadah umrah, yang sememangnya berada di tengah keadaan sesak?

Ini nasihat Dr Hishamuddin:

"Para jemaah perlu memakai pelitup, mengelakkan kontak rapat dengan orang yang menunjukkan gejala, dan mengamalkan kebersihan seperti kerap mencuci tangan.

"Para jemaah saya rasa tidak harus bimbang kerana pihak pemerintah dan Kementerian Kesihatan Arab Saudi memang sudah mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan untuk menangani kes mpox."

Arab Saudi belum mencatatkan sebarang kes mpox Klad 1 sejauh ini, menurut pihak berkuasa Kesihatan Awam Arab Saudi (Weqaya).

Namun demikian, kerajaan Arab Saudi sedang melaksanakan langkah pencegahan yang komprehensif untuk meningkatkan pemantauan dan pencegahan virus mpox.

PERLUKAH MASYARAKAT UMUM DAPATKAN VAKSIN MPOX?

Bagi pemerintah Singapura, vaksinasi mpox buat semua penduduk tidak diperlukan pada saat ini - termasuk sama ada mereka yang ingin melancong mahupun mengerjakan ibadah umrah.

Jadi, agak sukar untuk seseorang awam mahu mendapatkan vaksin mpox secara sukarela, walaupun jika dia mahu.

"Vaksin mpox ini diperolehi dan disimpan oleh Kementerian Kesihatan untuk persediaan sekiranya ada penularan kes mpox di Singapura. Ia tidak boleh didapati dari mana-mana doktor.

"Walaupun vaksinasi tersedia ada, para inidvidu tidak digalakkan mendapatkan vaksinasi buat masa kini kerana ia sepatutnya diberikan kepada orang-orang yang berisiko tinggi.

"Dan orang-orang yang berisiko tinggi di Singapura adalah pekerja jagaan kesihatan barisan hadapan seperti doktor dan jururawat, serta kontak rapat kepada kes-kes jangkitan," jelas Dr Hishamuddin.

SEBAHAGIAN BESAR PENDUDUK ADA PERLINDUNGAN

Selain itu, MOH menyatakan bahawa sebahagian besar penduduk tempatan, iaitu mereka yang berusia 45 tahun dan ke atas, mempunyai sedikit imuniti terhadap mpox menerusi vaksinasi cacar. Vaksinasi itu dilakukan ke atas kanak-kanak di Singapura sehingga awal 1981.

Bekalan vaksin JYNNEOS di Singapura dijangka cukup bagi strategi vaksin buat masa ini.

Ditanya berapa lama mungkin wabak mpox ini akan berpanjangan, Dr Hishamuddin berkata ia bergantung kepada secepat mana langkah vaksinasi dijalankan di Afrika.

Suntikan vaksin mpox dijadual mula dijalankan di 'pusat' wabak mpox, iaitu di Republik Demokratik Congo, hari ini (5 Sep).
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan