Skip to main content

Dunia

analisisBERITA: Tindakan 'luar biasa' Anwar lantik penasihat luar bantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN; adakah ia berkesan?

Tindakan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim melantik beberapa penasihat tidak rasmi untuk membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah mencetuskan perbahasan dan persoalan tentang bagaimana ia akan berfungsi.

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: Tindakan 'luar biasa' Anwar lantik penasihat luar bantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN; adakah ia berkesan?

Anwar (kiri) merupakan pemimpin pembangkang apabila beliau dan mantan PM Thailand Thaksin Shinawatra (tengah) hadiri Forum Semakan Strategik pertama di Jakarta pada 2012. (Gambar fail: AFP/Romeo Gacad)

Diterbitkan : 03 Feb 2025 03:37PM Dikemas Kini : 03 Feb 2025 03:39PM
KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim melantik beberapa penasihat tidak rasmi untuk membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah mencetuskan perbahasan dan persoalan tentang bagaimana ia akan berfungsi.

Para penganalisis menyifatkan langkah PM Anwar itu sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dan berkemungkinan bertujuan mencapai kemajuan dalam isu-isu serantau yang "hampir sukar dikawal" seperti krisis Myanmar dan ketegangan di Laut China Selatan, menurut seorang pengamat.

Namun masih belum jelas jika beliau akan meneruskan dengan rancangan itu, katanya.

Pada Isnin (16 Dis), PM Anwar berkata mantan perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra akan menyertai sekumpulan pemimpin negara berpengalaman yang akan membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Encik Anwar mengumumkan demikian apabila Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra yang merupakan anak perempuan Encik Thaksin, melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.

Encik Anwar berkata 'aturan tidak formal' itu terdiri daripada 'beberapa anggota negara ASEAN'.

Pasukan itu dilaporkan turut dianggotai mantan menteri luar Singapura George Yeo dan mantan menteri luar Indonesia Retno Marsudi.

Encik Yeo, yang lantang bersuara dan menulis secara meluas mengenai China sejak meninggalkan perkhidmatan awam pada 2011, merupakan penyokong kuat bagi penyepaduan ASEAN manakala Cik Retno, yang kini Utusan Khas PBB mengenai isu air, berpengalaman dalam menangani isu Myanmar, sekurang-kurangnya semasa Indonesia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2023.

Mediacorp sudah pun menghubungi kedua-duanya untuk mendapatkan komen.

'LANGKAH LUAR BIASA' BERTUJUAN RAIH KEMAJUAN BAHARU?

Tiada pengerusi ASEAN 'dalam masa terdekat ini' telah melantik sekumpulan penasihat tidak formal,
walaupun ia adalah perkara biasa untuk ASEAN melantik individu terkemuka atau pasukan bertindak peringkat tinggi untuk memberi tumpuan pada isu-isu khusus, kata Sharon Seah, Zamil Kanan dan Penyelaras di Pusat Kajian ASEAN ISEAS-Institut Yusof Ishak.

"Dalamhal ini, ia agak luar biasa bagi negara pengerusi ASEAN untuk melantik kumpulan penasihat tidak formalnya sendiri," kata beliau.

"Mungkin PM Anwar merasakan bahawa beliau akan meraih manfaat daripada pengalaman luas mereka yang pernah berurusan dengan ASEAN dalam peranan masing-masing untuk memberi nasihat dan bantu menangani isu berkaitan bagi kepengerusian Malaysia."

Mantan setiausaha tetap di Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA), Bilahari Kausikan, memberitahu Mediacorp bahawa tidak jelas apakah kesan daripada langkah PM Anwar terhadap ASEAN.

"Tiada sesiapa yang tahu kerana ia belum pernah berlaku dan ia tidak begitu jelas mengapa Malaysia memutuskan untuk berbuat demikian - namun ia bersifat nasihat dan ia memberi nasihat kepada pengerusi ASEAN dan bukan kepada ASEAN secara keseluruhan," katanya.

Meskipun pihak pengerusi ASEAN menerima nasihat kumpulan itu, ciri-ciri ASEAN yang berdasarkan kata sepakat bermakna tiada negara anggota yang terikat dengannya, katanya.

Beliau juga merasakan bahawa tindakan Encik Anwar itu "lebih bersifat performatif".

"Anwar mempunyai rekod membuat keputusan yang tidak semestinya diteruskan.

"Jadi daripada membuat sebarang tanggapan, saya cadang kita tunggu dan lihat," katanya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita