Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

analisisBERITA: Sejauh mana keputusan PRN jejas UMNO, Ahmad Zahid & ikatan PH-BN?

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: Sejauh mana keputusan PRN jejas UMNO, Ahmad Zahid & ikatan PH-BN?

(Gambar: CNA/Fadza Ishak)

BERITA Mediacorp: Keputusan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Malaysia, yang berlangsung pada Sabtu (12 Ogos), boleh dianggap sebagai 'referendum' atau pungutan suara terhadap UMNO dan ketuanya Ahmad Zahid Hamidi.

PRN itu menyaksikan kemenangan besar kepada Perikatan Nasional (PN) dan sekali gus tamparan besar kepada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.

Demikian kata pengamat politik Malaysia yang juga Pensyarah Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Serina Rahman.

Apakah kesan PRN ini terhadap UMNO dan Presidennya Ahmad Zahid? Adakah ini akan membawa kepada perpecahan Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional atau UMNO?

UNDI MELAYU JELAS BERALIH DARIPADA UMNO KEPADA PN

UMNO kalah di lebih 80 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya dalam PRN kali ini.

Iaitu hanya menang 19 daripada 108 kerusi - satu kerusi di Kelantan, dua kerusi masing-masing di Pulau Pinang dan Selangor serta 14 kerusi di Negeri Sembilan.

"Ini nampaknya 'referendum' kepada UMNO. Hanya orang Melayu yang akan mengundi Perikatan Nasional. Mereka mungkin memilih PN kerana mereka berasa UMNO kini sudah bekerjasama dengan Pakatan Harapan, dan biasanya mereka tidak selesa dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

"Mereka berasa UMNO mungkin tidak boleh lagi mewakili mereka sebagai parti Melayu," kata Dr Serina.

"Sebenarnya, Perikatan Nasional guna juga 'playbook' UMNO sekarang. Sebab UMNO sudah bekerjasama dengan parti lain yang ia sendiri sudah burukkan dahulu. Senang sahaja untuk Perikatan Nasional tembak balik. Ia cakap 'tengok, UMNO sudah tidak buat apa yang mereka cakap selama ini. UMNO sudah... menjadi munafik, hipokrit."

Jelas, keputusan PRN memberi isyarat bahawa para pengundi Melayu masih belum menerima gabungan PH-BN, yang dahulunya musuh ketat dan kini sekutu dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk sejak Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun lalu.

APA NASIB ZAHID HAMIDI?

Dengan parti yang dipimpinnya mencatat prestasi cukup buruk, sudah ada gesaan dalam UMNO sendiri supaya Encik Ahmad Zahid meletak jawatan.

Apakah ini mungkin menjadi bibit-bibit kepada penyingkiran beliau daripada kepimpinan UMNO?

Tidak semudah itu, kata Dr Serina. Ini kerana Encik Ahmad Zahid masih punya kuasa dan pengikut.

"Tetapi soalannya adalah, siapa yang akan menggantikannya? Siapa yang ada yang boleh ambil alih kepimpinan UMNO ini, yang boleh ubah?

"Kalau kita tanya orang yang memang sokong UMNO dari zaman dahulu, mereka selalu cakap - Khaled Nordin. Mereka akan sebut Nur Jazlan. Tetapi ada antara orang ini, mereka sudah pindah ke PN," terang Dr Serina lagi.

"Jika kita ingin memikirkan sama ada beliau akan jatuh ke tidak, akan dibuang ke tidak, kita haruslah bertanya siapa yang akan naik dan menggantikan beliau."

ADAKAH UMNO KINI MENJADI BEBAN KEPADA PAKATAN HARAPAN?

Penangan kegagalan UMNO atau BN bukan sahaja ketara di Terengganu dan Kedah, di mana ia langsung tiada wakil yang menang di kedua-dua negeri itu.

Malah PN juga dapat menembusi dengan cukup mendalam kubu kuat PH di Selangor dan Pulau Pinang, dengan merampas lagi 17 kerusi di Selangor dan menawan lagi 10 kerusi di Pulau Pinang.

Lantas timbul persoalan, adakah UMNO kini menjadi beban kepada Pakatan Harapan? Ini jawapan Dr Serina:

"Inilah yang membuat Anwar pening. Mungkin untuk lawan komen PN yang UMNO ini tidak ada integriti, mungkin (PM Anwar) perlu melaksanakan dengan cepat kes Zahid di mahkamah."

Namun, jika Presiden UMNO itu didakwa, UMNO juga akan terkeluar daripada Kerajaan Perpaduan, menurut beliau. Ini sekali gus menjejas kerajaan persekutuan, yang sememangnya sudah cukup lemah.

Namun peranan penting yang dimainkan UMNO dalam gabungan PH-BN itu tidak boleh diketepikan, kata Dr Serina.

Tambah beliau, tanpa UMNO, tiada satu parti dalam kerajaan campuran itu yang boleh memikat pengundi Melayu.

Mentelah lagi, PKR sendiri mengalami kesukaran mendapat kepercayaan daripada para pengundi Melayu yang menetap di kawasan luar bandar serta golongan miskin.

Maka itu, Dr Serina berpendapat bahawa UMNO masih relevan dan PH akan terus mengekalkan kerjasamanya dengan UMNO buat masa ini demi kestabilannya dan juga Kerajaan Perpaduan.

MENGAPA PERIKATAN NASIONAL BOLEH MENANG BESAR?

Sementara itu, pencapaian Perikatan Nasional di enam negeri cukup besar. Perikatan pembangkang itu mengekalkan penguasaannya di tiga negeri, dengan menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN Terengganu dan hampir menang kesemua kerusi di Kedah serta Kelantan.

Dr Serina berpandangan bahawa ada PN lebih berjaya menyampaikan isu-isu yang lebih dekat dengan hati para pengundi Melayu:

"Mereka berjumpa dengan penduduk dalam kumpulan yang kecil dan bertanya apakah masalah yang mereka hadapi? Rakyat memilih wakil yang mereka inginkan untuk menghuraikan masalah mereka. Itulah yang penting di peringkat negeri."

Malah Dr Serina berkata sokongan terhadap PH juga sudah merosot sejak Pilihan Raya Umum ke-14. Maka itu, ada kemungkinan rakyat memberikan peluang kepada Perikatan Nasional.

MUHYIDDIN BERTEKAD JATUHKAN KERAJAAN PERPADUAN: DR SERINA

Apakah langkah seterusnya bagi PN selepas ia menang besar dalam PRN?

Presiden PN Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Bersatu, mendesak PM Anwar dan timbalannya Encik Ahmad Zahid supaya meletak jawatan serta merta.

Desakan itu, kata Dr Serina, dilihat sebagai percubaan Encik Muhyiddin untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan memandangkan keputusan PRN kali menunjukkan bahawa ia sudah meraih sokongan daripada pengundi.

Namun Dr Serina menarik perhatian bahawa jika kerajaan berubah sekali lagi - seperti yang disaksikan berulang kali sejak PRU ke-14 - ia akan meninggalkan kesan terhadap seluruh Malaysia.

Ini termasuk ekonomi negara dan sekali gus menjejas kestabilan negara.

BOLEHKAH PH-BN TAWAN SEMULA HATI PENGUNDI MELAYU?

Selepas berakhirnya PRN, Kerajaan Perpaduan akan memberi tumpuan kepada bagaimana menarik balik pengundi Melayu yang sudah mengalihkan sokongan mereka kepada PN.

Dr Serina berkata Kerajaan Perpaduan harus bekerja keras untuk memperhebatkan usaha demi membantu rakyat, terutama sekali masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar.

Membuktikan bahawa ia mampu untuk menghuraikan masalah yang dibelenggu rakyat adalah satu-satunya cara bagaimana PH-BN boleh menawan semula hati mereka.

Ini termasuk menangani isu kos sara hidup, membolehkan penduduk meraih gaji lebih tinggi dan meningkatkan mutu kehidupan seharian mereka.

Jika ia berjaya dilaksanakan, PH-BN mungkin mampu mengukuhkan sokongan rakyat terhadapnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan