analisisBERITA: Percaturan politik Malaysia semakin rancak, tanda-tanda PRU-16 akan diadakan lebih cepat?
Walaupun tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia perlu diadakan masih jauh, suhu politik di seberang tambak terasa semakin membahang.
Saban hari, parti-parti utama cuba menarik perhatian menerusi pernyataan serta pelbagai kemas kini, selain memperkukuh jentera parti.
Persoalannya, adakah ini sekadar retorik menjelang Pilihan Raya Negeri di beberapa wilayah, atau petanda awal PRU ke-16 mungkin tiba lebih awal?
Pengamat politik, Adib Zalkapli menegaskan, terdapat ada tanda-tanda jelas parti-parti politik di Malaysia sudah beralih ke semangat pilihan raya.
"Kalau kita lihat pada pergerakan parti-parti gabungan utama, sudah banyak aktiviti-aktiviti pelancaran jentera, pembentukan jentera di peringkat kawasan-kawasan Parlimen," kata beliau.
Antaranya ialah konvensyen Pakatan Harapan yang diadakan di Johor minggu lalu.
"Contoh tanda-tanda lain dalam kenyataan-kenyataan umum yang mempersiapkan parti ataupun mempersiapkan penyokong untuk bersedia bergerak bila tiba pilihan raya nanti."
LANGKAH BN JOHOR TANDING SEMUA KERUSI DUN HANGATKAN SPEKULASI PRU AWAL
Pilihan Raya Umum ke-16, paling lewat hanya perlu diadakan menjelang Februari 2028.
Namun desas-desus ia mungkin dipercepat melonjak selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada pertengahan 2027.
Menurut Encik Adib, strategi BN Johor ini cukup jelas.
"Di Johor ini satu-satunya negeri terakhir sebenarnya yang UMNO dan Barisan Nasional masih kuat. Benteng terakhir Barisan Nasional. Jadi tidak mungkin mereka nak berkongsi kuasa dengan pakatan lain."
"Pengumuman itu terpaksa dibuat dengan tanpa mempedulikan strategi besar di negeri-negeri lain kerana BN banyak bergantung kepada Pakatan Harapan di Selangor, di Perak, di Pulau Pinang," dedah Encik Adib.
Semasa PRN Johor pada 2022, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
Maka pendiriannya kali ini bukan sekadar retorik.
Namun, parti-parti gabungan dalam PH, terutama PKR pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, memberi reaksi negatif ke atas pengumuman itu.
Selain itu, kerajaan Negeri Melaka juga bakal tamat tempohnya awal tahun depan, meningkatkan kemungkinan PRN dan PRU diadakan lebih awal secara serentak.
"Kalau kerajaan Persekutuan ataupun Perdana Menteri mahu mengadakan pilihan raya umum tahun ini, ada kemungkinan besar ketiga-tiga pilihan raya itu (PRU PRN Johor dan Melaka) dibuat serentak."
Malah, ini mungkin akan memanfaatkan parti utama Kerajaan Perpaduan, iaitu Pakatan Harapan, tambah Encik Adib:
"Kalau kita tengok dari segi sejarahnya, penyokong-penyokong Pakatan Harapan ini kurang minat untuk keluar mengundi sama ada pilihan raya kecil ataupun pilihan raya di peringkat negeri, mereka lebih suka mengundi sekali."
Pada masa yang sama, kedua-dua negeri Melaka dan Johor merupakan kubu-kubu penting bagi Barisan Nasional.
"Kalau Pakatan Harapan berminat dan bersungguh-sungguh mahu mengambil alih negeri-negeri ini, ada kemungkinan mereka akan kekalkan pilihan raya negeri Johor, Melaka dan Persekutuan sekali," ujar Encik Adib.
SABAH, SARAWAK KEKAL SEBAGAI PENENTU JIKA POLITIK SEMENANJUNG SEMAKIN BERPECAH
Namun terdapat risiko PH belum bersedia sepenuhnya.
Ini lebih-lebih lagi selepas mantan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, mengambil alih sebuah parti baharu - Parti Bersama, yang mungkin mampu menarik keluar sejumlah anggota PKR.
Selain konflik dalaman, ia juga semakin renggang dengan Parti PAS.
Lantas, kepentingan parti-parti di Sabah dan Sarawak perlu turut diambil kira sebelum tarikh PRU-16 ditentukan, kerana menjadi faktor penting dalam pembentukan kerajaan seterusnya.
"Kalau lihat pada pengaruh atau pun pecahan undi parti-parti utama, gabungan-gabungan utama sama ada BN, PH atau PN, ada kemungkinan tidak ada satu pun gabungan ini akan menang besar."
"Jadi peranan parti-parti di Sabah dan Sarawak sebagai penentu kerajaan Persekutuan akan berterusan pada pilihan raya umum akan datang ini," jelas Encik Adib.
SIDANG PARLIMEN BULAN JUN ANTARA PETANDA AWAL TARIKH PRU-16
Lantas, sama ada PRU ke-16 benar-benar akan dipercepat atau tidak, Encik Adib menyenaraikan beberapa petanda awal yang boleh diperhatikan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
"Parlimen akan bersidang semula bulan depan, 22 Jun, untuk pindaan-pindaan Reformasi Institusi. Antaranya, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, mengasingkan Pejabat Peguam Negara dengan Pendakwa Raya. Jadi sekiranya kerajaan gagal meluluskan Pindaan Undang-Undang ini, ada kemungkinan, pilihan raya itu semakin dekatlah."
Selain itu, parti kom[ponen PH, Parti DAP - juga dijadualkan mengadakan persidangan khas untuk membincangkan pelibatan mereka seterusnya dalam kerajaan.
"Jadi aktiviti-aktiviti ini semuanya akan terus memanaskan suhu politik dan juga memberikan kita petunjuk, yang pilihan raya umum semakin dekat," jelas Encik Adib.
Lantaran itu, walaupun tarikh pilihan raya masih belum ditentukan, percaturan di kalangan parti-parti politik utama Malaysia dijangka bakal terus meningkat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.