analisisBERITA: Pelan mitigasi bencana Indonesia bergantung pada penguatkuasaan, kesiapsiagaan masyarakat
Rentetan bencana alam dan sekitaran di Indonesia sejak kebelakangan ini menyerlahkan kelemahan dalam penguatkuasaan, sistem amaran awal serta penyelarasan antara pemerintah pusat dengan daerah.
Anggota kumpulan sukarelawan bomba wanita The Power of Mama menggunakan hos air untuk memadamkan kebakaran di kawasan tanah gambut di Sungai Awan Kiri, Kalimantan Barat, Indonesia, pada 30 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Willy Kurniawan)
- Rentetan bencana di Indonesia, termasuk gempa Nusa Tenggara Timur, letusan Anak Krakatau dan kebakaran di Kalimantan serta Sumatra, mendedahkan kelemahan amaran awal, penguatkuasaan dan koordinasi.
- Presiden Prabowo Subianto mengarahkan pelan induk mitigasi menyeluruh, sementara Daryono menekankan persiapan berasaskan data, penyepaduan teknologi, penyelenggaraan peralatan dan tindakan lapangan pantas.
- BNPB berdepan peruntukan lebih kecil tahun ini, dan pakar menggesa dana pencegahan, pendidikan kesiapsiagaan, latihan kecemasan serta pelaburan tetap dalam prasarana mitigasi.
- Iqbal Damanik dan Trubus Rahardiansah menekankan pemulihan ekologi, semakan permit tanah, pematuhan undang-undang, tanggungjawab daerah dan kesiapsiagaan masyarakat bagi mengurangkan risiko nyawa terkorban.
Bulan lalu, gempa bumi di Nusa Tenggara Timur meragut sekurang-kurangnya 135 nyawa.
Letusan Gunung Anak Krakatau awal bulan ini pula menyebabkan beberapa lapangan terbang ditutup selama dua hari dan penerbangan tergendala, sedang kebakaran hutan dan tanah terus berlaku di beberapa bahagian Kalimantan dan Sumatra.
Rentetan bencana itu mendorong Presiden Prabowo Subianto mengarahkan pemerintahnya merangka pelan induk mitigasi bencana yang menyeluruh.
Indonesia terletak di Lingkaran Gunung Berapi Pasifik, menyebabkannya terdedah kepada gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi.
Perubahan iklim pula meningkatkan risiko banjir, tanah runtuh, kemarau serta kebakaran hutan.
Namun para pakar berkata faktor geografi tidak seharusnya dijadikan alasan bagi kehilangan nyawa akibat bencana.
JANGAN TUNGGU BENCANA BERLAKU
Bekas Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami di Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), Daryono, berkata antara cabaran terbesar ialah agihan belanjawan yang tidak seimbang.
Penguatkuasaan peraturan pembangunan di kawasan berisiko juga lemah, selain terdapat jurang dalam teknologi amaran awal dan kesiapsiagaan masyarakat, khususnya di kawasan terpencil.
Antaranya dengan menyepadukan sistem amaran awal pelbagai bencana dengan alat pengesan masa nyata, rangkaian seismik terkini, sistem pengesanan tsunami dan pemetaan bahaya gunung berapi.
Amaran juga perlu disusuli tindakan pantas di lapangan tanpa kelewatan birokrasi.
Indonesia sudah mempunyai sistem amaran awal tsunami, pemantauan gempa bumi dan gunung berapi sepanjang masa serta program kampung berdaya tahan bencana.
Namun cabarannya adalah untuk memastikan semua keupayaan itu disepadukan dan diselenggara secara konsisten di negara yang mempunyai lebih 17,000 pulau.
Encik Daryono berkata pengalaman gempa bumi dan tsunami Palu pada 2018 serta Siklon Seroja di Nusa Tenggara Timur pada 2021 turut menunjukkan pentingnya penyelarasan lebih baik antara pemerintah pusat dengan daerah.
LEBIH BANYAK PELABURAN DALAM PENCEGAHAN
Pembiayaan bencana Indonesia selama ini lebih tertumpu kepada perbelanjaan kecemasan selepas kejadian berbanding pelaburan berterusan dalam prasarana mitigasi dan teknologi amaran awal.
Badan Nasional Penanggulangan Bencana Indonesia (BNPB) menerima peruntukan sebanyak 491 bilion rupiah (S$35.2 juta) tahun ini, berbanding 2 trilion rupiah (S$142.6 juta) tahun lalu.
Agensi itu kini meminta tambahan 564 bilion rupiah (S$40.2 juta) bagi tahun ini.
Pengurus Iklim dan Tenaga Greenpeace Indonesia Iqbal Damanik berkata terdapat jurang antara perancangan pemerintah dengan peruntukan belanjawan.
Encik Daryono pula menggesa dana khusus disediakan bagi pencegahan bencana, selain memperluas pendidikan kesiapsiagaan di sekolah dan menjalankan latihan kecemasan secara berkala.
Menurutnya, peralatan juga perlu diselenggara dan bukan sekadar diperoleh.
Teknologi bencana Indonesia, termasuk pelampung dan alat pengesan seismik, pernah terjejas akibat kekurangan dana penyelenggaraan serta vandalisme.
TANGANI RISIKO ALAM SEKITAR
Bagi bencana berkaitan cuaca, Encik Iqbal berkata pelan induk tersebut perlu menangani risiko alam sekitar yang mendasarinya.
Ini termasuk melindungi dan memulihkan tanah gambut serta bakau, mengkaji semula penggunaan tanah di kawasan yang terdedah kepada bencana berkaitan iklim dan menguatkuasakan sekatan terhadap kegiatan yang meningkatkan risiko.
Kawasan tertentu boleh ditetapkan sebagai zon larangan bagi operasi syarikat atau penanaman kelapa sawit.
Sistem amaran awal dan pemantauan juga perlu diperkukuh supaya pihak berkuasa dapat meningkatkan rondaan dan langkah pencegahan apabila risiko meningkat.
UNDANG-UNDANG ADA, PENGUATKUASAAN MASIH LEMAH
Indonesia sudah mempunyai rangka kerja undang-undang nasional bagi pengurusan bencana menerusi Undang-Undang Nombor 24 Tahun 2007.
Namun para pakar berkata masalah utama terletak pada pematuhan dan kebertanggungjawaban.
Pakar Dasar Awam Universiti Trisakti, Trubus Rahardiansah, berkata peraturan sedia ada sudah mencukupi.
Menurutnya, cabarannya adalah memastikan pemerintah daerah melaksanakan tanggungjawab untuk mengurangkan risiko bencana dan mendidik masyarakat.
Namun usaha itu menjadi sukar kerana tiada sekatan terhadap pemimpin yang gagal berbuat demikian.
Penduduk perlu mengetahui laluan pemindahan dan tindakan yang perlu diambil apabila amaran dikeluarkan.
Menurutnya, perkara itu sudah diamalkan masyarakat sekitar Gunung Semeru di Jawa Timur serta Gunung Merapi di Jawa Tengah dan Yogyakarta, di mana ancaman gunung berapi yang berulang membantu membina pemahaman mengenai prosedur pemindahan.
Pelan induk itu juga perlu merangkumi keseluruhan kitaran bencana — daripada persiapan sebelum kejadian kepada respons semasa bencana dan pemulihan selepasnya.
Bagi memastikan semua langkah itu berkesan, Encik Trubus berkata pemerintah daerah perlu lebih proaktif dan inovatif.
Keutamaan, katanya, harus diberikan kepada penduduk yang perlu diselamatkan dan bukan melihat bencana semata-mata daripada sudut politik atau bantuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.