Skip to main content

Dunia

analisisBERITA: PDI-P menang hatrik di pilihan raya Indonesia; berdepan dilema jadi pembangkang di bawah pemerintah Prabowo

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: PDI-P menang hatrik di pilihan raya Indonesia; berdepan dilema jadi pembangkang di bawah pemerintah Prabowo

(Gambar: CNA/Danang Wisanggeni)

JAKARTA: Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang memerintah Indonesia, mencatat hatrik bersejarah dalam pilihan raya perundangan 14 Februari selepas, memenangi kerusi terbanyak buat kali ketiga berturut-turut.

Namun parti itu menghadapi dilema dalam memutuskan bagaimana ia mahu berurusan dengan Encik Prabowo Subianto, yang mendapat kemenangan meyakinkan dalam pilihan raya presiden, kata pemerhati.

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) negara mengumumkan pada Rabu malam (20 Mac) bahawa PDI-P memenangi pilihan raya perundangan bulan lepas dengan 16.72 peratus undi.

Parti tertua di negara itu, Golkar, menduduki tempat kedua dengan 15.29 peratus undi, diikuti Partai Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), yang menerima 13.22 peratus.

Sejurus selepas pilihan raya pada 14 Feb, Setiausaha Agung PDI-P Hasto Kristiyanto berkata parti itu mungkin memainkan peranan sebagai parti pembangkang apabila keputusan kiraan pantas tidak rasmi menunjukkan ia mendahului saingannya, tetapi kalah dalam pilihan raya presiden.

Sejak KPU mengumumkan keputusan rasmi, PDI-P bagaimanapun tidak memberikan kenyataan tegas mengenai kedudukannya. Keadaan itu mencerminkan dilemanya, kata beberapa penganalisis.

Dengan calon presiden PDI-P Encik Ganjar Pranowo kalah kepada Encik Prabowo, pengerusi Gerindra, PDI-P kini berada dalam situasi yang sukar, kata penganalisis politik Nicky Fahrizal dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), sebuah badan pemikir.

"Dari perspektif saya, PDI-P belum sebulat suara sama ada ia harus menjadi kuasa politik di luar pemerintah," katanya. "Ini belum jelas, dan mereka masih sangat meragukan."

Walaupun beberapa intelektual dan ahli akademik di Indonesia berharap PDI-P akan menjadi pembangkang untuk bertindak sebagai semak dan imbang kepada pemerintah Encik Prabowo, Encik Nicky berkata PDI-P mungkin bergelut untuk mencari parti bagi menyertai gabungan pembangkang itu di parlimen.

“PDI-P terperangkap buat masa ini. Menteri mereka masih dalam Kabinet dan, dalam kalangan elit, tidak ada sebulat suara sama ada untuk menjadi pembangkang atau tidak,” katanya.

Buat masa ini terdapat lima menteri PDI-P dalam Kabinet, yang terdiri daripada 34 menteri.

Presiden Joko Widodo yang bakal melepaskan jawatan, adalah ahli PDI-P. Tetapi semasa pilihan raya baru-baru ini, beliau kelihatan menyokong Encik Prabowo, yang memilih anak Jokowi, Datuk Bandar Solo sekarang, Gibran Rakabuming Raka sebagai pasangan calon naib presiden.

Sejak pengumuman pencalonan Encik Prabowo dan Encik Gibran pada Oktober lalu, keretakan telah berlaku antara PDI-P dan Jokowi.
(Gambar: CNA/Danang Wisanggeni)
LEBIH BANYAK PARTI MUNGKIN SERTAI PAKATAN PRABOWO

PDI-P mencalonkan Encik Ganjar sebagai calon presidennya untuk pilihan raya bulan lalu dengan gabungan tiga parti lain: Partai Indonesia Bersatu (Perindo), Partai Hati Nurani Rakyat (Hanura) dan Partai Pembangunan Bersatu (PPP).

Ketiga-tiganya tidak berjaya ke parlimen, walaupun PPP mahu mencabar keputusan pilihan raya di mahkamah perlembagaan.

Sebuah parti politik mesti memperoleh sekurang-kurangnya 4 peratus undi negara untuk memasuki parlimen.

Sementara itu, Encik Prabowo disokong oleh gabungan Gerindra, Golkar, Partai Amanat Nasional (PAN) dan Partai Demokrat, yang kesemuanya berjaya ke parlimen.

Secara keseluruhan, mereka memenangi kira-kira 43.16 peratus undi. Lapan parti berjaya ke parlimen, dengan Partai Demokrat dan PAN masing-masing di tempat ketujuh dan kelapan.

Partai Kebangkitan Nasional (PKB), Partai Demokratik Nasional (Nasdem), serta Parti Keadilan (PKS) menduduki tempat keempat, kelima dan keenam.

Ketiga-tiganya telah mengesahkan sokongan mereka kepada mantan gabenor Jakarta Anies Baswedan, yang bukan ahli mana-mana parti politik.

Oleh itu, jika PDI-P ingin menjadi parti pembangkang yang berkesan dan mantap, ia mesti bekerjasama dengan PKB, Nasdem, dan PKS, kata Encik Wasisto Raharjo, seorang penganalisis politik dengan Badan Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia (BRIN).

Secara bersama mereka membentuk kira-kira 45.4 peratus undi dan lebih besar daripada gabungan Encik Prabowo.

Namun Encik Wasisto meragui PDI-P akan bergabung bersama ketiga-tiga parti itu.
(Gambar: CNA/Kiki Siregar)

SIAPA PENGGANTI MEGAWATI?

Selain dilema jadi pembangkang, pengerusi PDI-P Megawati Soekarnoputri turut berdepan cabaran lain termasuk siapa yang akan dicalonkan pada pilihan raya presiden akan datang, kata Encik Nicky dari CSIS.

Walaupun PDI-P berjaya memenangi lebih 16 peratus undi dalam pilihan raya perundangan, calon presidennya Encik Ganjar menduduki tempat terakhir, juga dengan kira-kira 16 peratus undi, menunjukkan kebanyakan yang memilihnya adalah penyokong setia PDI-P.

Sejak sekian lama, PDI-P sinonim dengan Cik Megawati, 77 tahun, yang merupakan presiden kelima Indonesia dan anak kepada bapa pengasas Sukarno.

Ia kini berdepan persoalan besar termasuk siapa calon presiden parti yang akan datang, sama ada Cik Megawati akan terus berpengaruh untuk memperoleh kemenangan perundangan keempat berturut-turut untuk PDI-P, dan siapa yang akan menggantikannya sebagai pengerusi parti, kata Encik Nicky.

Yang penting, parti itu muncul mendahului Golkar pada pilihan raya 2024 dengan hanya margin tipis. Terdapat juga spekulasi bahawa Encik Jokowi akan berpindah ke Golkar dalam usaha untuk terus menggunakan pengaruh politiknya selepas berundur sebagai presiden pada Oktober.

 

(Gambar: CNA/Danang Wisanggeni)
PDI-P dijadual mengadakan kongres pada 2025, tetapi Encik Nicky percaya ia mungkin diadakan tahun ini, memandangkan ia biasanya diadakan selepas pilihan raya.

Kali terakhir parti itu mengadakan kongres ialah pada Ogos 2019, empat bulan selepas pilihan raya presiden dan perundangan tahun itu.

Cik Megawati mempunyai pilihan untuk menyerahkan kepimpinan kepada anak beliau, yang kedua-duanya ahli PDI-P: Speaker Dewan Undangan Negeri Cik Maharani dan Prananda Prabowo, ketua unit perusahaan mikro, kecil dan sederhana PDI-P.

Pilihan lain ialah Encik Ganjar, mantan gabenor Jawa Tengah, selama dua penggal, kata Encik Nicky. Encik Ganjar tidak boleh bertanding dalam pilihan raya gabenor Indonesia pada November kerana undang-undang menetapkan seseorang individu hanya boleh menjadi gabenor sehingga 10 tahun.
Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita