analisisBERITA: Mungkinkah krisis politik Thai menuju ke arah satu lagi rampasan kuasa tentera?
Dua tahun selepas pilihan raya Thailand, kestabilan politik dan peralihan kepada demokrasi masih belum terjangkau.
This audio is generated by an AI tool.
Dalam tempoh singkat itu, perdana menteri serta barisan kabinet Thai sudah beberapa kali bertukar tangan.
Mengapakah ketidakstabilan politik masih terus-menerus membelenggu Thailand?
Jika keadaan menjadi tidak terkawal, mungkinkah negara itu menjadi kurang selamat, serta adakah akan berlaku satu lagi rampasan kuasa tentera?
Yang pasti, menurut Pengarah Institut Pengajian Asia Timur Universiti Thammasat, Dr Chaiwat Meesanthan, kemelut politik yang berlaku di Thailand sekarang tidak mengejutkan.
Terkini, Mahkamah Perlembagaan mengambil keputusan menggantung tugas Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.
"Bagi saya dan siapa yang mengikuti perkembangan politik Thailand, perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, hanya satu lagi episod dalam kitaran politik Thailand, boleh dikatakan yang telah berlaku berulang kali," kata Dr Chaiwat kepada BERITA Mediacorp.
MENGAPA KETIDAKSTABILAN POLITIK TERUS BELENGGU THAILAND?
Hakikatnya, Perdana Menteri Thai sebelum ini, Seetha Thavisin, juga dilucutkan jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan pada Ogos tahun lalu.
Kini gelaran pengganti beliau, Paetongtarn Shinawatra, mengalami nasib serupa.
Bagi kata Dr Chaiwat, trend pergolakan politik sebegini bukan sahaja menjejas keberkesanan kerajaan dalam memerintah, malah juga menghambat amalan demokrasi serta mengkhianati aspirasi rakyat yang keluar mengundi.
"Dalam konteks politik Thai kita telah melihat berulang kali bagaimana kuasa bukan pilihan rayanya - seperti mahkamah, tentera dan institusi yang dikaitkan dengan golongan konservatif, inilah faktor-faktor yang dikatakan tadi, berperanan dalam membentuk dan menggugat kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
"Peranan tentera walaupun tidak lagi memerintah secara langsung, kita tidak boleh nafikan, bahawa kuasa ini tetap menjadi pengaruh penting di belakang tabir yang sukar untuk diabaikan dalam analisis politik Thai," ujar Dr Chaiwat.
Pada September 2006, kerajaan yang dipimpin bapa beliau, Thaksin Shinawatra, digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera.
Pada Mei 2014, giliran ibu saudara beliau Yingluck Shinawatra, dilucutkan jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan.
Pada masa yang sama, tentera Thai melakukan rampasan kuasa - buat kali ke 12 dalam sejarah negara itu.
MENGAPA PAETONGTARN SHINAWATRA JADI 'SASARAN'?
"Paetongtarn ini dilihat sebagai figura utama yang mewarisi legasi politik keluarga Shinawatra yang sering menjadi sasaran dalam sistem politik sejak 2 dekad lalu," menurut Dr Chaiwat.
"Walaupun beliau ini masih baru dalam politik tetapi sokongan rakyat terhadap Parti PeuThai pimpinannya tidak boleh dinafikan tetap kuat. Maka ada kemungkinan juga bahwa tindakan undang-undang ini hanyalah satu cara untuk menyekat kuasa politik beliau."
Namun demikian tambah pakar akademik itu, ini tidak semestinya bermakna bahawa pengaruh keluarga Shinawatra semakin berkurangan.
Sebaliknya, dinasti politik Shinawatra kata beliau masih mempunyai sokongan yang kukuh.
"Terutamanya di wilayah utara. Kita tidak boleh nafikan masih kuat lagi, dan juga di timur laut Thailand," tekan beliau.
MUNGKINKAH BERLAKU LAGI BANTAHAN BESAR-BESARAN?
Usaha mengekang pengaruh dinasti Shinawatra pernah mencetuskan pertembungan antara para penyokong mereka dengan golongan anti-Shinawatra, terutama di ibu negara Bangkok.
Namun Dr Chaiwat menolak kemungkinan berulangnya bantahan besar-besaran oleh rakyat buat masa ini.
Menurut beliau, keadaan pada masa kini kelihatan lebih tenang kalau dibandingkan dengan era pertembungan antara kumpulan 'baju kuning' dan 'baju merah' dahulu.
Namun demikian, potensi tercetusnya semula bantahan besar-besaran tidak boleh diabaikan sepenuhnya.
Ini kerana menurut Dr Chaiwat: "Ketidakpuasan rakyat sekarang terhadap sistem politik, ketelusan badan kehakiman serta jurang antara kehendak rakyat dan elit politik boleh menjadi pencetus baharu.
"Namun kita tidak boleh menafikan generasi muda-muda ini sangat pengaruh lebih cenderung memilih saluran bantahan yang pelbagai, seperti online dan gerakan kreatif berbandingan konfrontasi ganas di jalanan seperti dahulu."
Tempoh sekarang ini kata beliau, masih terhad lagi jumlah bantahan.
Ini kerana orang ramai lebih fokus kepada pekerjaan seharian.
BAGAIMANA KESUDAHAN KRISIS POLITIK THAI NANTI?
Mahkamah Perlembagaan Thailand dijangka mengambil masa beberapa bulan sebelum memutuskan kes penggantungan jawatan Cik Paetontarn.
Sepanjang tempoh itu, kestabilan dan status kepimpinan politik Thailand bakal terus menjadi tanda tanya, kata Dr Chaiwat.
Persoalan yang terus berlegar-legar ialah: mungkinkah berlaku satu lagi rampasan kuasa tentera?
"Kesudahan krisis pimpinan ini masih terbuka luas, apa-apa pun boleh jadi. Pilihan yang paling mungkin dalam jangka pendek ialah pelantikan perdana menteri baru dari parti pemerintah sedia ada demi mengekalkan kestabilan politik dan struktur kerajaan.
"Namun jika tekanan awam meningkat atau gabungan politik runtuh, pembubaran parlimen dan pilihan raya baharu juga boleh berlaku.
"Buat masa ini, bagi saya campur tangan ketenteraan dilihat kurang kalau dibandingkan dengan zaman dahulu.
"Tetapi tidak boleh diketepikan juga sepenuhnya dalam konteks politik Thai."
Sementara Cik Paetongtarn digantung daripada jawatan Perdana Menteri buat masa ini, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Phumtham Wechayachai, memangku tugas perdana menteri.
Cik Paetongtarn pula masih berada dalam Kabinet baharu, selaku Menteri Kebudayaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.