analisisBERITA: Mungkinkah konflik Iran-Israel sekarang berubah jadi perang Timur Tengah lebih besar?
Israel sudahpun berikrar akan membalas serangan Iran itu.
Persoalannya: bila ia mungkin berlaku dan mungkinkah berlaku peperangan lebih luas di Timur Tengah - iaitu Iran dan negara-negara Arab lawan Israel - ekoran perkembangan ini?
BILA SERANGAN ISRAEL TERHADAP IRAN MUNGKIN BERLAKU?
Bagi Iran, setelah beberapa pegawai kanan Iran maut akibat serangan ke atas kedutaannya di Syria, yang dipercayai dilancarkan oleh Israel, Tehran membalasnya dengan menghujani dron dan peluru berpandu ke arah Israel pada Sabtu (13 Apr).
Ini peningkatan cukup besar dalam konflik Israel-Iran. Ia juga merupakan serangan dron terbesar yang pernah dilancarkan oleh mana-mana negara sejauh ini dalam satu-satu serangan.
Selain itu, ini juga merupakan kali pertama Iran melancarkan serangan langsung ke atas Israel sejak ia ditubuhkan pada 1948.
Walaupun masyarakat dunia sejauh ini mendesak Israel supaya tidak membalas serangan kerana bimbang akan kesannya, Israel sudahpun berjanji akan membalasnya.
Namun begitu, bila Israel akan mengambil tindakan dan berapa segera ia akan dilaksanakan masih satu tanda tanya.
Ketua Penyelidik Pertahanan Jane's, Ridzwan Rahmat percaya Israel akan mengambil sedikit masa dan tidak tergesa-gesa.
Serangan-serangan Israel sebelum ini dilakukan menerusi proksi seperti kumpulan Hezbollah dan Hamas. Jadi, peluru-peluru berpandu dari Iran tidak pernah menjejak masuk ruang udara Israel.
Oleh itu, ini suatu peluang keemasan bagi Israel mengkaji dan menilai kekuatan senjata musuhnya itu.
"Apabila peluru-peluru berpandu Iran ini dipintas, terdapat banyak serpihan peluru yang jatuh ke dalam wilayah Israel. Jadi serpihan-serpihan sebegini merupakan bahan-bahan yang amat berharga bagi pihak Israel dari sudut strategik.
"Saya rasa besar kemungkinan untuk beberapa hari ini, pilihan yang akan dilakukan oleh Israel ialah mengkaji serpihan-serpihan ini dengan lebih tekun lagi untuk menilai kekuatan dan kelemahan yang dimiliki oleh senjata-senjata Iran," kongsi Encik Ridzwan kepada BERITA Mediacorp.
Inilah antara keutamaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan pihak Israel buat masa kini, kata Encik Ridzwan.
"Hanya apabila apabila penilaian ini selesai buat beberapa hari akan datang, barulah pilihan-pilihan ketenteraan yang akan ada lebih jelas buat (Encik) Netanyahu dan pihak Israel."
MUNGKINKAH ISRAEL DAPAT SOKONGAN NEGARA-NEGARA TIMUR TENGAH?
Encik Ridzwan menambah, memandangkan Israel banyak bergantung kepada sokongan negara lain, ia tidak akan mengambil sebarang tindakan selagi belum berunding dengan masyarakat antarabangsa.
Malah kata beliau lagi, Israel juga sedang cuba mendapatkan sokongan dari negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir, yang menganggap Iran sebagai ancaman serantau.

"Saya rasa ini akan menentukan pilihan yang bakal diambil oleh pihak tentera. Jika sokongan diplomatik ini padu, saya rasa kita dapat menjangkakan tindakan ketenteraan yang hebat yang akan diambil oleh Israel," kata Encik Ridzwan.
BAGAIMANA KEKUATAN TENTERA IRAN BERBANDING TENTERA ISRAEL?
Iran, kata Encik Ridzwan, sememangnya sebuah kuasa serantau di Timur Tengah, yang memiliki jumlah anggota tentera dan senjata yang jauh lebih banyak berbanding Israel.
Ia mempunyai peluru-peluru berpandu yang boleh mengena Israel seperti Seijil, Haj Qasem serta drom Mohajer-10 yang boleh terbang selama 24 jam dan membawa bom seberat 300kg.
Pun begitu, sistem senjata Iran umumnya masih menggunakan teknologi lama.
Ini berbanding teknologi senjata lebih canggih yang digunakan Israel.

"Dalam peperangan moden kini, jumlah tentera dan jumlah aset-aset, alat-alat tidak menjamin kemenangan dan tidak sepenting sistem tempur yang telah diterapkan dalam alat-alat senjata ini. Dan sistem-sistem tempur yang dimaksudkan saya ialah seperti jangkauan radar, keupayaan radar-radar ini untuk mengesan alat ataupun kedudukan musuh.
"Jadi sistem-sistem pendorong ini dari pihak Israel jauh lebih ke hadapan jika dibandingkan dengan Iran yang masih bergantung kepada teknologi-teknologi yang diterap dari Rusia, China dan sebagainya. Jadi ini bakal merumitkan usaha Iran dalam niatnya untuk bertempur dengan Israel secara terbuka," jelas Encik Ridzwan.
MUNGKINKAH KONFLIK ISRAEL-IRAN CETUS PERANG BESAR-BESARAN DI TIMUR TENGAH?
Apabila ditanya sama ada konflik Israel-Iran sekarang akan mencetuskan perang besar-besaran di Timur Tengah - negara-negara Arab lawan Israel - Encik Ridzwan berasa itu tidak akan berlaku kerana negara-negara Arab masih dibayangi konflik Sunni-Syiah.
Pun begitu, masih ada faktor yang boleh menyalakan api peperangan lebih besar. Encik Ridzwan menerangkan:
"Apa yang saya bimbangkan sebaliknya ialah jika konflik ini dirangkakan oleh pihak-pihak tertentu sebagai sebuah konflik agama. Dan kita telah lihat bahawa di rantau ini juga ada beberapa pihak yang merangkakan konflik ini sebagai 'peperangan akhir zaman' dan sebagainya.
"Jika ini terjadi, tidak mustahil jika konflik di antara Israel dan Iran ini berkembang sebagai konflik berangkai, lebih-lebih lagi jika Iran mengambil tindakan untuk menggunakan proksi-proksi mereka di seluruh Timur Tengah yang sealiran dengannya."
Jika ini terjadi, Encik Ridzwan malah tidak mengecualikan potensi berlakunya perang saudara di beberapa negara Timur Tengah.
MASYARAKAT ANTARABANGSA PERLU MAIN PERANAN
Bagi meredakan ketegangan di rantau itu, Encik Ridzwan berkata, masyarakat antarabangsa boleh memainkan peranan dan mengenakan sekatan bukan sahaja terhadap Iran, malah ke atas Israel juga.

"Selama ini ancaman-ancaman sekatannya semua ditujukan kepada Iran, tetapi tidak ada ancaman sekatan terhadap Israel.
"Jika Israel tidak menerima ancaman sekatan sebegini, mereka tidak akan ada apa-apa dorongan untuk memberhentikan peperangan mereka di Timur Tengah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.