Skip to main content

Dunia

analisisBERITA: Mungkinkah kejayaan al-Jolani di Syria cetus gelombang baharu pengganasan?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tumbangnya dinasti al-Assad setelah lima dekad berkuasa, rata-rata disambut baik, khususnya oleh warga Syria sendiri.

Namun ia turut mencetuskan tanda tanya tentang masa depan negara itu.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan kumpulan yang menggulingkan rejim itu, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh dunia antarabangsa.

HTS MUNGKIN MAIN PERANAN UTAMA DALAM KEBANGKITAN SYRIA SETERUSNYA

Kumpulan HTS pernah bergabung dengan Al-Qaeda sebelum ini, namun kemudian bergerak secara sendiri sejak 2016.
Gambar: Aris MESSINIS / AFP
Kejayaannya menguasai Damsyik pada Ahad lalu (8 Dis), akhirnya menamatkan perang saudara selama 13 tahun di Syria.

Lantaran itu, menurut Zamil Pelawat RSIS Dr Noor Huda Ismail, besar kemungkinan HTS akan memainkan peranan utama dalam kepimpinan Syria seterusnya.

"Jadi HTS ini saya kira, harus segera melakukan pilihan raya umum melibatkan berbagai seluruh komponen kekuatan politik yang ada di wilayah di Syria, sehingga nanti terjadi pemimpin yang dipilih secara demokrasi. Kemudian mulai mengkonsolidasi kepentingan kelompok-kelompok yang berbeza, terutama kelompok minoriti," kongsi Dr Noor Huda apabila ditanya tentang apa yang seharusnya diutamakan pemerintahan Syria seterusnya.

CAPAI KESEPAKATAN PUAK PEMBERONTAK MUNGKIN CABARAN UTAMA

Namun begitu, Dr Noor Huda menambah, untuk menyatukan negara yang sudah lama dilanda perang saudara bukan mudah.
Gambar: Bakr ALKASEM / AFP

Dengan tumbangnya rejim al-Assad, iaitu musuh yang menyatukan mereka, kumpulan-kumpulan pemberontak mungkin sukar untuk mencapai kesepakatan dan menjalin kerjasama.

Dr Noor Huda menjelaskan, kumpulan-kumpulan itu mungkin tidak percaya dengan satu sama lain dan belum tentu semua kumpulan setuju dengan sikap Ketua HTS Abu Mohammed al-Jolani.

Lebih-lebih lagi Dr Noor Huda menarik perhatian, kelompok-kelompok pemberontak ini kesemuanya mempunyai senjata masing-masing setelah 13 tahun bergelut konflik perang saudara.

"Konflik ini masih belum selesai dan akan berpanjangan. Jadi kita akan melihat kemungkinan akan perang berbagai macam faksi. Ya, semoga tidak. Tapi biasanya begitu," akur penganalisis pengganasan itu.

TINDAK-TANDUK AL-JOLANI DAN HTS AKAN TERUS DIPANTAU

Dr Noor Huda berpendapat, pihak-pihak berkepentingan akan terus memantau situasi sebelum mengambil sebarang langkah konkrit.

Antara yang menjadi tumpuan adalah tindak-tanduk al-Jolani dan HTS seterusnya.

Ini kerana menurut Dr Noor Huda, al-Jolani seringkali terkait dengan pengganasan dan beliau dijangka memainkan peranan amat besar sekali dalam pembentukan Syria.

Dr Noor Huda menekankan: "Akibatnya ini akan menciptakan sebuah dilema masyarakat antarabangsa. Bagaimana kita masyarakat antarabangsa ini harus berhadapan atau harus berhubungan dengan sebuah pertubuhan, yang sekarang hari ini memegang negara Syria."


Bekas wartawan itu turut menarik perhatian kepada transformasi al-Jolani - dari segi pakaian dan hubungannya dengan masyarakat antarabangsa.

Al-Jolani yang dahulu lazimnya memakai baju askar dan berserban, kini memilih untuk memakai sut ataupun kemeja ala-ala gaya Barat, bersesuaian dengan peranan beliau sebagai seorang pemimpin revolusi.

Gambar: CNN/AP
"Jadi wajahnya belum jelas. Kalau di depan awam, komunikasi al-Jolani jelas. Dia memberitahu CNN, ke media Barat, terus menunjukkan bahawa saya ini berubah begitu dan jangan lihat masa lalu saya, tetapi lihat apa yang saya lakukan."

KEMUNGKINAN KEGANASAN DI ASIA TENGGARA SANGAT KECIL

Berkaitan potensi timbulnya gelombang baharu serangan ganas ekoran kejayaan HTS di Syria, Dr Noor Huda berpendapat, kemungkinannyasangat kecil, lebih-lebih lagi di negara-negara Asia Tenggara.

Justeru apa yang dibimbangkan, adalah sekiranya sesetengah golongan memilih untuk berhijrah ke Syria bagi menyokong usaha HTS selanjutnya.

"Sekarang negara ini sudah menjadi negara Sunni pertama, yang kira-kira dari kelompok jihadis itu. Ini boleh memberikan inspirasi kepada orang yang mempunyai ideologi yang sama, yang punya pemikiran yang sama. Bukan tidak mungkin akan ada orang ikut bergabung dari Asia Tenggara.

"Kalau dalam konteks Indonesia itu, adalah JI misalnya. Mereka boleh berhijrah ke sana atau mengumpulkan dana lagi untuk membantu kerana hari ini mereka mempunyai wilayah, iaitu wilayah yang besar dan mereka ingin hidup di dalamnya."

Merumuskan perkembangan di Syria, Dr Noor Huda akur, ia merupakan negara yang strategik di Timur Tengah, dan sebarang pergolakan yang berlaku berpotensi memberikan tempias kepada negara-negara lain di rantau itu dan dunia Islam umumnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita