Skip to main content

Dunia

analisisBERITA: Johor berhujung minggu Sabtu-Ahad - Apa kesannya kepada SG? Sesak, harga naik?

Setelah lebih sedekad, Johor akan kembali berhujung minggu pada hari Sabtu-Ahad mulai 1 Januari 2025. Ini selaras dengan hujung minggu di wilayah persekutuan dan majoriti negeri Malaysia yang lain.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Johor melaksanakan hujung minggu Jumaat-Sabtu sejak Januari 2014 dengan tujuan membolehkan masyarakat Muslim lebih selesa mengerjakan solat Jumaat.

Namun, setelah lebih sedekad, ia akan kembali berhujung minggu pada hari Sabtu-Ahad mulai 1 Januari 2025. Ini selaras dengan hujung minggu di wilayah persekutuan dan majoriti negeri Malaysia yang lain.
APA FAKTOR YANG CETUS PERUBAHAN INI?

Mantan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Dr Ong Kian Ming, menyifatkan langkah itu sebagai "masuk akal". Ini memandangkan inisiatif-inisiatif baharu, seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ), bakal menjadi kenyataan.

Ia tentu memerlukan aturan lebih selaras serta kerjasama lebih erat antara kedua-dua pihak.

"Walaupun tidak dinyatakan secara terbuka, saya rasa langkah ini adalah wajar berikutan pemeteraian Zon Ekonomi Khas (SEZ) Singapura-Johor yang akan berlaku pada bulan Disember tahun ini di antara pemimpin Malaysia dan Singapura.

"Tambah pula, aspirasi kerajaan negeri Johor dan juga kerajaan persekutuan untuk mempromosikan Zon Kewangan Khas (SFZ) atau Special Financial Zone di Forest City Johor," ujar Dr Ong.

"Saya rasa berikutan penyelarasan hujung minggu ini di Johor dengan yang di Singapura, ia akan menjadi satu langkah positif bagi kedua-dua rakyat Malaysia dan juga Singapura yang perlu menyeberangi sempadan secara berkala untuk bekerja, belajar dan juga beriadah."

AKAN ADA ALIRAN SAMA JADUAL KERJA SG-JOHOR

Sememangnya, itulah antara faktor pencetus yang mendorong langkah perubahan sedemikian.

Ketika mengumumkan pertukaran hujung minggu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail berkata langkah itu "seiringan dengan pengurusan projek-projek pembangunan" di negeri tersebut.

Bagi tujuan itu, penyelarasan hujung minggu akan meningkatkan kecekapan Johor dan Singapura untuk berurusan antara satu sama lain.

"Sebab sekarang ada sealiran yang sama dari segi jadual kerja, dari segi masa kerja, dari segi cuti umum, dari segi untuk para pekerja bertemu bagi perbincangan tentang kerja. Maknanya ini membuatkan daya penghasilan berpotensi kita untuk meningkat bagi kedua-dua pihak.

"Jadi ini adalah sesuatu yang positif. Saya rasa mungkin ini akan menyempurnakan atau menyenangkan untuk kedua-dua pihak berinteraksi bagi tujuan meningkatkan bisnes masing-masing," ulas penganalisis Singapura yang juga Pengasas dan Pengarah Urusan Nusantara Connect, Dr Shamsuri Juhari.

"SANGAT POSITIF" BAGI HUBUNGAN KEKELUARGAAN SG-JOHOR

Beliau menyifatkan perubahan hujung minggu itu sebagai perkembangan yang "sangat positif".

Mentelah lagi Tunku Ismail akur keputusan mengubah cuti hujung minggu juga dibuat dengan mengambil kira hasrat warga tempatan yang mendambakan lebih banyak masa bersama keluarga.

Jadi, ini membuka peluang bagi warga Singapura yang punya keluarga di seberang tambak untuk dapat berhubungan secara lebih bermutu pada hujung minggu.
"Mereka yang ada keluarga di Johor akan dapat bersama pada hari-hari cuti hujung minggu yang sama dan ini saya rasa adalah sesuatu yang bagus sebab ia akan menguatkan lagi silaturrahim antara keluarga.

"Begitu juga mereka warga Johor yang mempunyai keluarga di Singapura. Mereka juga akan datang ke Singapura," kata Dr Shamsuri.

JOHOR AKAN SESAK? HARGA AKAN NAIK?

Dengan perubahan cuti mingguan Johor juga, muncul persoalan - adakah perubahan itu akan membawa kepada kesesakan pelanggan pada sebelah hujung minggu di negeri tersebut berbanding sekarang?

Juga, adakah ia akan membawa kepada kenaikan harga?

Dr Shamsuri berkata kedua-dua pihak boleh menjangkakan aliran pengunjung yang lebih tinggi antara Singapura dengan Johor dan jalan-jalan raya di bandar Johor serta Koswe mungkin menjadi lebih sesak.

Namun, kata beliau, yang akan lebih menjadi keprihatinan adalah potensi kenaikan harga dan khidmat di Johor.

Ini apabila wujud keadaan di mana jumlah pengunjung yang lebih tinggi melanggani perniagaan-perniagaan yang sama.

"Kita lihat dari segi di permintaan dan bekalan (demand & supply). Dari segi ini, mungkin pihak penjual mungkin meninggikan harga barangan mereka. Walaupun mungkin kalau ini terjadi, mereka dari Singapura tetap masih boleh membeli barang-barang.

"Tapi saya rasa ini tidak begitu adil bagi warga Johor kalau ini terjadi ya. Jadi yang kita tidak mahu adalah situasi di mana seperti harga minyak yang dibezakan antara warga Johor dengan mereka yang datang dari Singapura.

Sebelum ini, Johor sudah beberapa kali mengubah cuti hujung minggunya.

Johor melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad kali pertama pada tahun 1994 ketika mantan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mendukung jawatan menteri besar.

Negeri-negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu masih terus mengamalkan cuti hujung minggu Jumaat-Sabtu.
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita