Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

analisisBERITA: Dapatkah gencatan Israel-Hezbollah jadi pemangkin perdamaian serantau?

Gencatan senjata Israel-Hezbollah masih bertahan, namun terganggu dengan beberapa insiden.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Gencatan senjata Israel-Hezbollah masih bertahan, namun terganggu dengan beberapa insiden.

Tentera Israel pada Khamis (29 Nov) membedil enam kawasan di selatan Lubnan setelah menuduh Hezbollah melakukan pelanggaran dan mendakwa beberapa suspek muncul di zon selatan Lubnan.

Namun demikian, gencatan senjata itu masih menawarkan suatu harapan agar konflik meluas di Timur Tengah dapat dielakkan.

Hakikatnya, masih wujud pelbagai ketidakpastian, antaranya: bagaimana status konflik di Gaza; apakah pendirian Iran seterusnya; serta sikap Washington di bawah pentadbiran Trump nanti.

Selepas sekitar 3,800 penduduk Lubnan maut dan lebih 15,700 yang lain cedera dalam perang Israel-Hezbollah, ramai kini menarik nafas lega dan berharap gencatan senjata Israel-Hezbollah dapat terus bertahan.

Para penduduk yang dulu terpaksa berpindah akibat konflik, kini mula kembali ke kampung halaman masing-masing.

Di bawah perjanjian yang dicapai itu, gencatan senjata itu akan berkuat kuasa selama 60 hari.

Dalam tempoh itu, tentera Lubnan akan kembali menguasai semua wilayahnya.

Pelbagai prasarana Hezbollah yang dimusnahkan termasuk terowong berhampiran sempadan dengan Israel tidak boleh dibangunkan semula.

Di pihaknya, Israel akan mengundurkan semua askarnya dari Lubnan.

Namun setakat ini, tiada kesepakatan serupa dicapai untuk Gaza- perkara yang mencuit keprihatinan Profesor Madya Walid Jumblatt.

"Ini satu perkembangan positif sudah tentu, tapi saya rasa kita kena lihat, dan awasi dulu situasi. Jadi saya khuatir bahawa gencatan senjata ini untuk memberi satu gambaran yang Israel sudah tidak berperang lagi. Tapi mereka meningkatkan tahap penindasan di Palestin, di Gaza dan di Tebing Barat," kata Profesor Madya Dr Walid Jumblatt Abdullah di Sekolah Sains Masyarakat, NTU.

Sekurang-kurangnya 73 askar Israel dan 45 orang awam Israel maut di tangan Hezbollah dalam perang itu.

Oleh itu, berbanding konflik di Gaza, mencapai gencatan senjata di Lubnan merupakan huraian terbaik.

"Jadi saya rasa Israel ada membuat pertimbangan tersebut jadi mereka rasa gencatan senjata ini adalah yang terbaik bagi mereka, bagi kesemua pihak.

"Jangan lupa, Hezbollah juga ada melancarkan roket ke dalam negeri Israel sendiri. 60,000 orang awam yang telah dikeluarkan, dipindahkan ke wilayah selatan menurut BBC," kata Profesor Madya Dr Walid Jumblatt Abdullah.

Umumnya, dunia menyambut hangat gencatan senjata yang dicapai, demi mengelakkan perang lebih meluas di Timur Tengah.

Namun, sejauh mana ini dapat dicapai, tanpa menghuraikan isu Gaza dan Palestin?

"Selagi mana ada pendudukan, selagi mana ada penindasan, akan ada reaksi dari rakyat Palestin terhadap pemerintah Israel dan peperangan akan terus melarat, akan meleret dan akan berterusan. Potensi untuk ada peperangan Timur Tengah atau pun global itu sentiasa ada," katanya.

PENDIRIAN PENTADBIRAN TRUMP TERHADAP IRAN BAKAL WARNAI KONFLIK TIMUR TENGAH

Tambah Dr Walid, perkembangan Timur Tengah seterusnya juga dipengaruhi faktor Donald Trump - yang bakal kembali ke Rumah Putih pada 20 Januari 2025.

Ini terutama sekali pendirian pentadbiran beliau terhadap Iran.

"Iran menyokong Hamas dan Hezbollah, kerana itu Iran akan digunakan pihak di Amerika Syarikat untuk menjadikan sebagai 'boogeyman', sebagai momokan di dalam konflik ini. Presiden Trump juga sukar dijangka, jadi kita tidak tahu apa yang dia akan buat.

"Mungkin dia akan lancarkan peperangan ke atas Iran, saya tidak akan terperanjat jika dia melakukan. Mungkin beliau adakan perjanjian damai dengan Iran, saya pun tidak akan terperanjat," kata Dr Walid.

Jika diimbas penggal pertama Presiden Trump pada 2016, beliau begitu akrab dengan Israel dan cukup bermusuhan dengan Iran.

Namun dilihat semasa beliau berkempen bagi pilihan raya, mungkinkah akan ada perubahan pada dasar luar Amerika?

"Antara dasar yang dijanjikan beliau, yang ramai orang di Amerika suka, adalah kenapa Amerika perlu membabitkan diri di dalam hal ehwal negara lain - Ukraine dan Israel. Kenapa Amerika menghabiskan terlalu banyak duit. Saya harap beliau betul-betul fikir, 'saya seorang sahaja yang boleh selesaikan krisis Timur Tengah'. Jika beliau berfikir begitu, amat bagus sekali untuk masyarakat Palestin dan dunia," kata Dr Walid.

Yang jelas, kunci kedamaian di Timur Tengah kekal di Gaza dan Palestin - terutama huraian dua negara yang sesuai dengan ketetapan PBB.

Jika tidak, konflik mungkin berterusan tanpa ada kesudahannya, rumus Dr Walid.

"Apa yang kita semua fikir akan berlaku sekarang kepada anak-anak yatim di Palestin? Mereka lihat ibu mereka dibunuh, ayah mereka dibunuh, pakcik makcik mereka dibunuh.

"Jadi saya rasa masalah akarnya perlu diselesaikan, penindasan, pendudukan harus dihentikan dan yang lain saya rasa akan ikut seterusnya," katanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/IQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan