Skip to main content

Dunia

analisisBERITA: Apakah natijah Pilihan Raya Israel? Mungkinkah blok Arab, Yahudi gabung?

Pilihan raya Israel pada Selasa (27 Okt) tidak menghasilkan keputusan muktamad, iaitu tiada pemenang jelas, dan tiada blok politik yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: Apakah natijah Pilihan Raya Israel? Mungkinkah blok Arab, Yahudi gabung?

Imej Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu (kiri) dan pesaingnya, Gadi Eisenkot, dipaparkan semasa kempen pilihan raya di Tel Aviv pada 25 Oktober 2026. (Gambar: AP/David Goldman)

Diterbitkan : 29 Oct 2026 11:29PM Dikemas Kini : 29 Oct 2026 11:32PM
BERITA analysis: What is the outcome of Israel’s elections? Could the Arab and Jewish blocs join forces?
  • Israel’s elections on 27 October resulted in a hung Parliament: Benjamin Netanyahu’s bloc is projected to win 53 seats, Gadi Eisenkot’s bloc 48, while Ra’am and the Joint List could secure 19 of the 120 seats.
  • Without a 61-seat majority, Arab parties could determine the government, but cooperation between them may be difficult because Ra’am and the Joint List are not aligned, while both main blocs are said to be unwilling to accept Arab cooperation.
  • Associate Professor Bilveer Singh of NUS believes Arab participation could change the political landscape and help advance discourse on a two-state solution, but policies towards Hamas, Hezbollah and Iran may remain similar.
  • Turnout in the elections was nearly 78 per cent, but they did not determine Netanyahu’s political fate; President Isaac Herzog is expected to speak with leaders of both blocs, and fresh elections may follow if government formation fails.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Pilihan raya Israel pada Selasa (27 Okt) tidak menghasilkan keputusan muktamad, iaitu tiada pemenang jelas, dan tiada blok politik yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk pemerintah.

Jadi, apakah natijah atau hasil daripada keputusan pilihan raya Israel itu, serta apakah perubahan atau pengaruh yang mungkin dibawanya?

Yang pasti, salah satu perhatian besar yang muncul adalah tumpuan kepada parti-parti Arab-Israel.

Parti Arab, iaitu Ra'am dan Joint List, mencatat sejarah apabila diunjurkan mungkin merangkul rekod 19 kerusi daripada keseluruhan 120 kerusi parlimen Israel.

Ini hampir sekitar seganda berbanding 10 kerusi yang dipegangnya sebelum ini.

Media tempatan Israel mengunjurkan blok pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dijangka menang 53 kerusi, sementara blok pembangkang pimpinan mantan ketua tentera Gadi Eisenkot diramal menang 48 kerusi.

Bermakna, kedua-dua blok itu gagal meraih majoriti mudah sebanyak 61 kerusi daripada 120 kerusi parlimen yang diperlukan untuk membentuk pemerintah seterusnya.

APA KEMUNGKINAN BLOK YAHUDI & BLOK ARAB BERGABUNG?

Prestasi luar biasa blok Arab itu kini menagih perhatian.

Ada potensi bahawa parti Ra'am dan Joint List boleh menjadi penentu blok mana yang akan memerintah Israel.

Related article image
Calon parti Joint List, Yousef Jabareen, mengundi dalam pilihan raya Israel. (Gambar: REUTERS/Ammar Awad)

Pakar politik veteran Profesor Madya Bilveer Singh dari Universiti Nasional Singapura (NUS) percaya, jika blok Yahudi bergabung dengan parti-parti Arab untuk membentuk pemerintah, kesannya mungkin meluas, termasuk terhadap isu Israel-Palestin.

"Katakan secara ideal, secara kemungkinan, kalau mereka masuk pemerintah, mereka membantu mendirikan pemerintah. Yang kedua, mereka berperanan dalam negara. Yang ketiga, mereka itu bermain politik demokrasi.

"Mereka mungkin membangkitkan imej orang Arab yang mereka ini boleh menjadi satu kelompok yang positif.

"Dan mungkin dalam jangka panjang orang Israel akan mengatakan bahawa orang Palestin 'boleh tahan'," kata Prof Bilveer, yang merupakan Timbalan Ketua Jabatan Sains Politik NUS.

Related article image
Calon parti Joint List, Ahmad Tibi, mengundi bersama keluarganya di Taibe, utara Israel, pada 27 Oktober 2026. (Gambar: REUTERS/Ammar Awad)

Parti-parti Arab juga mungkin boleh memainkan peranan dalam membantu 'huraian dua negara'.

"Kerana hari ini, Netanyahu dan Gadi dua-dua tidak mahu 'huraian dua negara'. Kalau mereka (parti-parti Arab) masuk (pemerintah) mungkin mereka itu boleh mensosialisasikan rakyat Israel dan bahawa ada untungnya kalau orang Palestin atau orang Arab masuk pemerintahan. Sekarang ada wacana macam-macam. Belum jelas lagi," tambah beliau.

APA HAMBATAN BESAR SEBELUM KERJASAMA PARTI ARAB-YAHUDI BOLEH WUJUD?

Kini sudah ada suara mahukan kerjasama.

Semalam (28 Okt), ketua Parti Demokrat Yair Golan menggesa blok pembangkang supaya bekerjasama dengan parti-parti Arab demi menghasilkan perubahan.

Malah semalam juga ada tunjuk-tunjuk perasaan oleh ratusan penduduk di Tel Aviv dan Baitulmakdis menuntut supaya blok pembangkang pimpinan Encik Eisenkot menubuhkan perikatan bagi mengetepikan Encik Netanyahu.

Namun demikian kata Dr Bilveer, pada hakikatnya masih banyak hambatan cukup besar yang perlu diatasi, sebelum kerjasama Arab-Yahudi boleh berlaku.

Malah, beliau menyifatkannya kemungkinan parti-parti Arab menjadi 'penentu siapa jadi Raja' sebagai perkara yang naif. Mengapa?

"Ada dua kelompok Arab yang besar - Ra'am dan Joint List. Kedua-dua parti ini tidak boleh bekerjasama," katanya.

Jadi antara cabarannya adalah sama ada Ra'am dan Joint List boleh bekerjasama untuk menyokong satu atau dua parti itu.

Dr Bilveer juga menjelaskan bahawa dalam iklim dan budaya politik Israel, orang Arab dilihat sebagai rakyat kelas kedua atau 'second class'.

Oleh itu, perkara lebih penting lagi adalah - sama ada perikatan Encik Netanyahu atau Encik Eisenkot mahu menerima mereka sebagai anggota perikatan.

"Sampai sekarang, mereka katakan mereka tidak mahu bekerjasama dengan orang Arab. Jadi bukan begitu mudah. Ini adalah sesuatu watak politik yang melihat mereka (Arab) sebagai 'musuh dari dalam', ancaman dari dalam," terang Dr Bilveer.

SIAPA ANGGOTA PARTI ARAB DI ISRAEL?

Golongan minoriti Arab di Israel sebahagian besarnya merupakan keturunan penduduk Palestin yang hidup di bawah pemerintahan era penjajahan Uthmaniyyah dan Britain.

Mereka kekal dalam sempadan wilayah yang kemudiannya menjadi negara moden Israel selepas peristiwa Nakba 1948.

Mereka membentuk sekitar 20 peratus daripada bilangan keseluruhan penduduk Israel.

Puak Joint List terdiri daripada tiga fraksi, iaitu Hadash (fraksi komunis Arab-Yahudi); Ta'al (parti nasionalis Arab yang sekular) dan Balad (parti sekular dan nasionalis Palestin.

Puak Ra'am pula merupakan cabang politik daripada pergerakan Islam Cawangan Selatan di Israel.

APA HASIL 'PUNGUTAN SUARA' RAKYAT TERHADAP NETANYAHU?

Pilihan raya Israel kali ini mencatat peratusan keluar mengundi yang tertinggi sejak 1999, iaitu hampir 78 peratus.

Namun keputusan menunjukkan corak pengundian dan landskap politik yang berpecah-belah.

Yang pasti, pilihan raya ini merupakan suatu pungutan suara terhadap Encik Netanyahu, yang memimpin negaranya berperang dengan Hamas, Hezbollah, Houthi dan Iran.

Jadi, apakah natijahnya di mata rakyat Israel, jika keputusan pilihan raya Israel dijadikan ukuran?

"Jadi langsung tidak mutlak. Dalam bicara politik, kita bilang 'hung parliament' atau parlimen tergantung," kata Prof Bilveer.

Lantaran itu ada kemungkinan bahawa parlimen tidak dapat memilih sebuah pemerintah baharu selama berhari-hari, berminggu-minggu, atau malah juga berbulan, ujar beliau.

"Kalau kita hendak melihat beliau (Netanyahu) sebagai perdana menteri yang sudah gagal menjaga keamanan bangsa Israel dan negara Israel, beliau harus dibuang dari kerusi itu. Tetapi tidak. Malah orang melihat beliau sebagai penyelamat.

"Beliau membantai Palestin. Beliau membantai Hezbollah. Beliau sedang bermain dengan Houthi. Beliau membantai Iran. Beliau mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat dan negara-negara Barat.

"Jadi kalau kita melihat status beliau sebagai 'penakatan politik', itu luar biasa terus terang."

Walaupun keputusan pilihan raya ini menonjolkan perpecahan, Dr Bilveer berkata ia tidak menonjolkan kekalahan bagi PM Netanyahu.

"Kerana itu, saya katakan keputusan ini luar biasa kerana untuk orang luar hendak menentukan masa depan Israel adalah sulit. Rakyat sendiri tidak boleh hari ini," tambahnya.

DASAR ISRAEL AKAN 'KURANG KEJAM' EKORAN HASIL PILIHAN RAYA INI?

Jadi, apa pula kemungkinannya bahawa pilihan raya ini boleh membawa kepada dasar luar Israel yang lebih baik atau kurang kejam terhadap Timur Tengah, khususnya kepada wilayah-wilayah Palestin dan Iran?

Ini jawapan Prof Bilveer:

"Jadi tidak kira Gadi atau Netanyahu - politik Timur Tengah tidak akan berubah. Itu jelas.

"Yang akan berubah mungkin kalau kekejaman Netanyahu akan berterusan dengan sokongan negara Barat dengan Amerika Syarikat.

"Kalau Gadi, hasilnya sama. Beliau mahu menghancurkan Hezbollah, Hamas dan Iran, tetapi mungkin cara beliau sedikit lebih halus. Itu sahaja.

"Cara dan matlamat akan berbeza tetapi objektifnya tidak berbeza."

Bagi Dr Bilveer, lantaran itulah, kemelut di Timur Tengah akan terus berpanjangan dan ada kesinambungan, daripada berlakunya perubahan.

Presiden Israel Isaac Herzog dijangka bertemu dengan para pemimpin daripada kedua-dua perikatan untuk memutuskan pihak mana yang paling layak dan sesuai untuk membentuk pemerintah.

Jika semua usaha itu gagal, kemungkinan satu pilihan raya baharu terpaksa diadakan.

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita