Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

analisisBERITA: Adakah Modi & BJP kini akan kendurkan retorik nasionalis Hindu?

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA Mediacorp: Perikatan Demokratik Kebangsaan (NDA) hari ini (7 Jun) mengumumkan, ketua Parti Bharatiya Janata (BJP), Narendra Modi, akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Ahad, 9 Jun ini.

Ini suatu sejarah kerana Encik Modi bakal menjadi hanya tokoh politik kedua di India sejak merdeka, untuk menjadi Perdana Menteri selama tiga penggal berturut-turut. Tokoh politik pertama India untuk berbuat demikian ialah perdana menterinya yang pertama, Jawaharlal Nehru.

MODI MENANG TAPI TERCALAR - APA SEBABNYA?

Bagaimanapun bagi Encik Modi, kemenangannya dalam pilihan raya kali ini sedikit tercalar, kerana ini kali pertama dalam tempoh sedekad BJP gagal menang majoriti mudah.

Walaupun BJP merangkul 240 kerusi, ini banyak berkurangan berbanding 303 kerusi yang ditawannya sebelum ini. Ini juga malah jauh daripada sasaran lebih 370 kerusi yang BJP tetapkan bagi pilihan raya ini.
Satu tinjauan terkini oleh pusat kajian Lokniti-CSDS mendapati, kekurangan pekerjaan, inflasi tinggi dan berkurangnya pendapatan menjadi punca sokongan kepada Encik Modi berkurangan.

Mentelah lagi, hampir 83 peratus daripada mereka yang menganggur di India sekarang ini adalah golongan muda.

Jelas, masalah ekonomi merupakan antara faktor penting yang mempengaruhi pilihan para pengundi.

Menurut penganalisis politik mapan, Encik Adib Zalkapli, dari segi nombor-nombor makronya, India memang berada dalam kedudukan yang baik di bawah pentadbiran Encik Modi sejak 10 tahun ini. Ia dilihat sebagai "mesra perniagaan".

"Tapi di peringkat masyarakat, ada isu-isu seperti kesenjangan, peluang pekerjaan yang terhad yang menyebabkan golongan muda beralih daripada BJP, di sesetengah tempat," kongsi Encik Adib.
(Gambar: AFP/Naeem ANSARI)
Pensyarah politik India di Universiti Georgetown, Dr Irfan Nooruddin pula berkata, isu-isu ekonomi memainkan peranan lebih besar daripada yang dijangkakan BJP.

"Ekonomi India tidak berkembang marak sebagaimana yang banyak perangkaan rasmi gembar gemburkan. Angka rasmi GDP adalah sangat-sangat tidak menonjol," hujah beliau kepada Mediacorp.

Pendeknya, India mengalami krisis pekerjaan yang besar, tambah beliau, kerana kurang 10 peratus daripada 1.4 bilion penduduknya tidak bekerja dalam sektor formal.

BJP RUNTUH DI AYODHYA - PETANDA RETORIK NASIONALIS HINDU DITOLAK?

Prestasi BJP juga dianggap memeranjatkan kerana ia mencatat prestasi buruk di bahagian Utara India yang merupakan kubu kuatnya, khususnya semasa dua pilihan raya lalu.

Di Ayodhya, BJP hanya menang 33 kerusi berbanding lebih 60 yang ditawannya sebelum ini.

Menurut para penganalisis, di situlah retorik nasional Hindu dan anti-Muslim paling kuat beliau kibarkan, menerusi perasmian Kuil Ram secara besar-besaran.
(Gambar: REUTERS/Adnan Abidi)
Bahkan, ia dianggap sebagai suatu langkah yang akan mengukuhkan legasi PM Modi dan meletakkan asas bagi kemenangan kukuh partinya dalam pilihan raya kali ini.

Persoalannya, mengapa retorik tersebut nampaknya tidak membuahkan hasil yang diharapkan BJP dan apakah isyarat simbolik yang dikeluarkan para pengundi berhubung perkara ini?

"Kebanyakan retorik yang digunakan BJP dalam kempen ini, tentang retorik anti-Muslim dan penekanan terhadap simbol keagamaan, nampaknya tidak 'bergema' - termasuk di kawasan-kawasan yang sebenarnya kubu utama (BJP).

"Jadi, ini suatu kejutan besar dan memeranjatkan ramai pemerhati," ulas Dr Nooruddin. "Anda tidak boleh mengelabui golongan yang lapar, miskin (dengan sentiasa bercakap) tentang... agama."

POLITIK KEAGAMAAN - PENGAJARAN BAGI BJP

Bagi Encik Adib, walaupun perasmian Kuil Ram kelihatan gah dan hebat, ia tidak menjadikan BJP lebih kuat. BJP malah kecundang di kawasan itu.

“Jadi keputusan menunjukkan bahawa walaupun politik keagamaan itu penting dan akan terus dapat mencorak hala tuju BJP, ia bukanlah segala-galanya dan bukan penentu kejayaan,” tambah Encik Adib.

Maka itu, beliau berpendapat, ia akan menjadi pengajaran buat sesetengah kepimpinan dalam BJP untuk melihat isu-isu di luar lingkungan politik keagamaan demi memastikan mereka dapat terus menguasai pemerintahan India.

Bagi Encik Modi sendiri, walaupun beliau ahli politik sangat popular di India, yang menggunakan personaliti dirinya sendiri sebagai taruhan utama, sesetengah penganalisis percaya, hasil keputusan pilihan raya ini menunjukkan sesuatu - iaitu populariti beliau mungkin sudah sampai kemuncak dan sekali gus hadnya.

Prof Madya Prerna Singh, sarjana sains politik dan pengajian antarabangsa dari Universiti Brown berkata, satu lagi cara menilai keputusan pilihan raya India itu adalah - pengundi India menolak bahawa pilihan raya digunakan sebagai satu referendum untuk menilai satu tokoh, iaitu Encik Modi.

Hakikatnya, pilihan raya ini adalah referendum terhadap BJP sendiri, tambah beliau.

KESAN KEPUTUSAN PILIHAN RAYA TERHADAP DASAR LUAR INDIA?

Namun demikian, para penganalisis percayakepentingan dasar luar India tidak dijangka akan banyak berubah ekoran keputusan pilihan raya ini.

“Fokus pemerintah baharu yang seterusnya ini mungkin adalah pada isu-isu domestik terlebih dahulu,” kongsi Encik Adib.

"Tetapi ia tidak akan mengurangkan pentingnya India dalam mengimbangi isu-isu geopolitik di Asia dan peranan India itu akan terus dimainkan tidak kira siapa yang mengetuai kerajaan."
(Gambar: REUTERS/Elizabeth Frantz)
Keputusan kali ini juga bermakna, BJP terpaksa bergantung kepada sekutu-sekutunya untuk membentuk pemerintah dan ini menimbulkan tanda tanya mengenai urusan penggubalan dasar.

“Dengan BJP terpaksa bekerjasama dengan parti-parti lain untuk mencukupkan majoriti di Parlimen, tumpuan pemerintah akan lebih kepada isu-isu pada peringkat awalnya seperti membahagikan kedudukan-kedudukan penting pemerintah untuk rakan-rakan dalam parti-parti gabungan,” ujar Encik Adib.

Penganalisis politik ini juga menjangkakan akan ada sedikit perubahan dari segi bagaimana BJP mendekati sesetengah isu.

“Biasanya selepas pilihan raya, isu-isu panas seperti isu-isu keagamaan ini mungkin akan ada yang sedikit dipinggirkan untuk memberi tumpuan kepada pentadbiran pemerintah baharu ini,” kata Encik Adib.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan