Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ANALISIS: Rakyat Thailand sudah bersuara, namun adakah pihak tentera terima keputusannya?

Walaupun Parti Move Forward (MFP) sudah menang kerusi terbanyak dalam pilihan raya Thailand, ini tidak bermakna ketuanya, Pita Limjaroenrat, sudah terjamin akan menjadi Perdana Menteri.

Anggaran Waktu Membaca:
ANALISIS: Rakyat Thailand sudah bersuara, namun adakah pihak tentera terima keputusannya?

Ketua Parti Move Forward dan calon perdana menteri Pita Limjaroenrat bersama para anggota parti dan para penyokong di luar Dewan Bandaraya Bangkok pada 15 Mei, 2023. (Gambar: Lillian Suwanrumpha/AFP)

BERITAmediacorp: Walaupun Parti Move Forward (MFP) sudah menang kerusi terbanyak dalam pilihan raya Thailand (14 Mei), ini tidak bermakna ketuanya, Pita Limjaroenrat, sudah terjamin akan menjadi Perdana Menteri.

"Sebelum ini juga, parti yang dapat jumlah kerusi paling banyak sekali iaitu Pheu Thai pun tidak dapat menjadi Perdana Menteri."

Demikian ulasan Dr Chaiwat Meesanthan, pakar politik Thailand yang menjadi Pengarah Institut Pengajian Asia Timur di Universiti Thammasat di Bangkok.

Walaupun Phue Thai sudah menyatakan bersedia bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan perikatan dengan MFP, Dr Chaiwat berkata, pihak Pheu Thai belum lagi mengatakan akan sokong MFP 100 peratus.

"Mereka kata kalau Parti Move Forward tidak boleh menubuhkan kerajaan - maksudnya ada kemungkinan yang tidak boleh - kalau tidak boleh, merekalah (Phue Thai) yang akan menubuhkan kerajaan.

"Dan kalau mereka menubuhkan kerajaan, parti-parti kerajaan mereka ialah bekas parti-parti kerajaan yang lama dan Parti Move Forward akan menjadi pembangkang," tambah Dr Chaiwat kepada BERITAmediacorp.

Namun demikian, kemenangan MFP pimpinan Encik Pita, 42 tahun, masih jelas menunjukkan bahawa suasana dan keadaan politik di Thailand sudah berubah dan jauh berbeza berbanding zaman dahulu.

Sebilangan penganalisis politik malah menyatakan, parti Encik Pita sebenarnya tidak dijangka menang. Bagaimanapun selain disokong golongan belia secara online, parti itu kemudian mengetengahkan kedudukannya secara terperinci berhubung ekonomi, ketidaksamarataan dan juga isu sekitaran.

"Tidak pernah dalam pengetahuan saya ada parti pembangkang yang melakukan tahap persediaan seperti ini," ulas penganalisis politik dari Universiti Naresuan, Dr Napisa Waitoolkiat.

Kejayaan MFP menurutnya dibina di atas kajian mendalam dan dasar terperinci yang tidak pernah didengar dalam politik Thai.

"Saya rasa ini mesej yang sangat unik mengenai dasar dan orang ramai menyukainya," tekan Dr Napisa.

SIAPA 'KINGMAKER' SETELAH KEPUTUSAN PILIHAN RAYA DIUMUMKAN?

Hakikatnya para pengundi Thailand sudah bersuara dan ‘menolak’ kerajaan yang disokong tentera.

MFP menduduki tempat pertama dengan 151 kerusi sementara Phue Thai pula di tangga kedua dengan 141 kerusi.

Namun ada satu lagi proses bagi pemilihan Perdana Menteri dan proses itu mesti melibatkan 250 ahli Senat. Inilah sebenarnya faktor utama yang akan mengesahkan sama ada Encik Pita dapat menjadi Perdana Menteri.

"Mereka (Parti Move Forward dan Parti Pheu Thai) perlu mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk 250 ahli Senat untuk menang.

"Pada pendapat saya, mereka mesti mendapat sokongan daripada 'Kingmaker' Pilihan Raya kali ini iatu Parti Bhumjaithai dan Parti Chart Thai Pattana untuk menjadi Perdana Menteri," kata Dr Chaiwat, yang juga Penolong Profesor Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Thammasat.

Perkara itu, tambah beliau, adalah masalah utama yang akan dihadapi Encik Pita.

250 ahli dewan Senat Thai itu sebelum ini dilantik junta tentera. Untuk menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri, calon yang menang mesti meraih sokongan daripada lebih separuh daripada 700 anggota Dewan Rakyat dan Senat Thai, atau sekurang-kurangnya 376 anggotanya.

TENTERA SEDIA TERIMA KEPUTUSAN PILIHAN RAYA INI?

Keputusan Pilihan Raya kali ini mencerminkan suatu penolakan terhadap parti-parti yang disokong tentera, yang memerintah Thailand sejak sedekad lalu.

Data Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan, Parti United Thai Nation pimpinan Perdana Menteri dan bekas pemimpin junta tentera Prayuth Chan-o-cha, berada jauh di belakang dengan memperoleh 36 kerusi sahaja.

"Kalau kita lihat keputusan Pilihan Raya di kawasan-kawasan yang mana tentera mengundi, para pengundi di kawasan-kawasan itu juga memilih untuk mengundi Parti Move Forward. Tetapi kita tidak boleh menggunakan kumpulan itu sebagai wakil tentera kerana walaupun mereka memilih Parti Move Forward, tetapi pemimpin-pemimpin askar itu tidak mempunyai pandangan yang sama dengan mereka (MFP).

"Mereka (MFP) adalah adalah generasi yang baru. Pemimpin-pemimpin askar sekarang masih lagi dalam generasi yang lama, yang menyokong bekas kerajaan. Oleh itu, suka atau tidak suka, pihak tentera perlu terima bahawa keadaan sudah berbeza. Ia tidak sama dengan dahulu," kata Dr Chaiwat.

Awal sebelum ini, tentera diraja Thailand memberi jaminan bahawa tiada rampasan kuasa akan berlaku sekiranya parti pembangkang menang dalam pilihan raya kali ini.

Sungguhpun demikian, bagi negara di mana kemenangan pilihan raya sering dicemari dengan rampasan kuasa dan perintah mahkamah, terdapat kebimbangan bahawa pihak tentera akan tetap berusaha untuk mengekalkan kuasanya.

Bagaimanapun Dr Chaiwat berkata keadaan belum sampai tahap yang menyaksikan pihak tentera akan melancarkan satu rampasan kuasa.

"Kita perlu tunggu dahulu dan melihat bagaimana mereka akan menubuhkan kerajaan yang baru.

"Siapakah ahli Senat memilih untuk menjadi Perdana Menteri atau sokong untuk menyandang jawatan itu?" tambah Dr Chaiwat.

MASA DEPAN THAILAND DI BAWAH KEPIMPINAN PARTI PRODEMOKRASI

Bagaimana pula jika pihak tentera kekal berkecuali dan menerima keputusan pilihan raya kali ini?

Menurut Dr Chaiwat, jika pihak tentera menerima keputusan kali ini, akan ada banyak kelainan:

"Banyak yang akan berubah pada masa akan datang terutama sekali dasar-dasar yang dikemukakan oleh Parti Move Forward. Dasar-dasar itu berkaitan secara langsung dengan tentera, terutamanya membatalkan sistem untuk menjadi askar dan juga mengurangkan kuasa yang dimiliki angkatan tentera. Ini sangat-sangat sensitif untuk pihak tentera."

Namun buat masa ini, rakyat harus 'tunggu' dan 'lihat' bagaimana keadaan akan berkembang.
Sumber : BERITA Mediacorp/AI
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan