Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ANALISIS: Perjuangan tawan undi Melayu terus jadi tugas menggunung kerajaan PM M'sia Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
ANALISIS: Perjuangan tawan undi Melayu terus jadi tugas menggunung kerajaan PM M'sia Anwar

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berucap di sebuah sidang media pada 5 Dis 2022. (Gambar fail: Pejabat Perdana Menteri Malaysia/Afiq Hambali)

BERITAmediacorp: Perjuangan untuk menawan undi Melayu menjadi suatu tugas menggunung bagi Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim sedang beliau melangkah melepasi 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan pada Ahad (5 Mac) nanti.

Pengkaji sosiopolitik Universiti Malaya Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata demikian kepada BERITAmediacorp sambil merujuk kepada satu tinjauan yang baru-baru ini dijalankan lima syarikat media Malaysia.

Tinjauan tersebut mendapati kadar ketidakpuasan terhadap pentadbiran PM Anwar berada di paras paling tinggi dalam kalangan orang Melayu di Semenanjung iaitu 71 peratus.

Namun, kadar kepuasan dalam kalangan orang bukan Melayu mencatat paras tinggi iaitu 76 peratus.

Tinjauan tersebut melibatkan lebih 36,000 rakyat Malaysia di merata negara itu.
FAKTOR PERMAINAN KAUM PEMBANGKANG TERUS JEJAS KEYAKINAN

Prof Awang Azman menjelaskan perbezaan ketara itu disebabkan kesan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dimainkan pihak pembangkang, Perikatan Nasional.

Ketika berkempen, para calon PN didakwa berulang kali mempermainkan retorik perkauman sekali gus memberikan kesan besar khususnya terhadap masyarakat Melayu konservatif.

Malah, Prof Awang Azman mendapati retorik sedemikian masih diteruskan pihak PN sehingga kini.

"Masih lagi ada ancaman kononnya DAP itu, mereka katakan akan membawa agenda-agenda yang antiagama Islam yang dikempenkan dalam Pilihan Raya yang disebar dalam media sosial seperti TikTok dan sebagainya.

"Tidak ramai rakyat yang begitu kritis. Jadi apabila minda masyarakat tersebut terus dibelenggu pelbagai labelan, stereotaip, persepsi ataupun prejudis ini menyebabkan orang Melayu khususnya belum begitu yakin lagi terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan ini. Saya kira inilah cabaran terbesar kepada kerajaan untuk menangani impak kempen buruk dilakukan oleh musuh politik," kongsi beliau.

Lantaran itu, Prof Awang Azman yakin faktor itulah yang menjadi punca sebenar keyakinan khususnya orang Melayu tidak tinggi berbanding dengan orang bukan Melayu di Malaysia.

Beliau menambah proses tersebut memerlukan masa lebih lama dan 100 hari tidak mampu memenangi semula keyakinan dalam kalangan masyarakat Melayu Malaysia.

TINDAKAN LEBIH TEGAS DIPERLUKAN SEGERA

Sungguhpun begitu, dalam jangka masa pendek ini, Prof Awang Azman berpendapat Kerajaan Perpaduan Malaysia perlu mengambil tindakan lebih tegas dengan segera bagi melawan perang persepsi.

Walaupun beberapa ahli politik PN sudah dikenakan tindakan undang-undang kerana menabur fitnah terhadap PM Anwar dan sebagainya, Prof Awang Azman menganggapnya langkah yang masih lambat.

Beliau berkata: "Saya rasa ada lagi banyak apa yang dikatakan fitnah-fitnah disebarkan di media sosial, dakwaan-dakwaan semasa kempen PRU15 masih lagi tidak ada diberikan perhatian dan tindakan tegas oleh Kerajaan Perpaduan."

Langkah tegas yang segera, menurut Prof Awang Azman, amat penting demi memastikan Kerajaan Perpaduan Malaysia dapat bertahan sehingga akhir penggal.

"Kerajaan Malaysia sepatutnya mencontohi negara Singapura yang begitu tegas terhadap media sosial untuk memastikan kerajaan lebih stabil dan dapat bertahan ke penggal akhir tahun kelima pemerintahan," ujar beliau.

Namun jika diambil kira sentimen secara keseluruhan, Prof Awang Azman menambah satu perkara positif daripada 100 hari Kerajaan Perpaduan adalah kestabilan politik di Malaysia serta kerjasama lebih kukuh antara Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional.

Faktor tersebut amatlah penting sedang kerjasama kerajaan persekutuan dijangka bakal disaksikan di peringkat negeri nanti apabil enam Pilihan Raya Negeri perlu diadakan pada tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan