Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ANALISIS: Percaturan di sebalik perang TikTok AS-China

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tengkarah mengenai aplikasi media sosial popular, TikTok, baru-baru ini menarik perhatian umum selepas banyak pihak kepimpinan di Amerika Syarikat (AS) mencadangkan supaya wadah media sosial itu diharamkan sepenuhnya di negara itu.

Zamil Penyelidik Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam Universiti Teknologi Nanyang (RSIS NTU), Muhd Faizal Abdul Rahman memberitahu  BERITAmediacorp, meskipun secara zahirnya ia kelihatan sebagai satu "perang teknologi", jika tidak terkawal kemelut itu  boleh menjejas bidang sosiopolitik dan ketenteraan satu sama lain selain membuat negara seperti Singapura lebih tertekan sebagai orang tengah.

Ketua Pegawai Eksekutif  (CEO)TikTok, Chew Shou Zi menghadapi waktu yang sukar mempertahankan mengapa aplikasi itu tidak patut diharamkan di Amerika Syarikat semasa sesi pendengaran Dewan Kongres Amerika Syarikat.

PERKONGSIAN DATA BUKAN SATU PERKARA UNIK

Sebilangan anggota Kongres sudah mempunyai pendirian tersendiri berkaitan TikTok sebelum proses pendengaran itu bermula.

Mereka mendakwa aplikasi media sosial itu boleh menimbulkan risiko keselamatan negara kepada AS kerana TikTok "dimiliki" pemerintah China.

Lantaran itu, mereka bimbang data 150 juta pengguna Amerika boleh jatuh ke tangan Beijing.

"Pemberian data atau penggunaan data itu merupakan satu yang tidak unik dan dilakukan oleh TikTok, Facebook, Instagram dan lain-lain. Yang berbezanya ialah TikTok ini merupakan syarikat berasal dari China dan di China ada satu undang-undang dinamakan Undang-Undang Risikan Nasional di mana pemerintah China boleh memaksa syarikat-syarikat China untuk memberi data untuk penggunaan keselamatan negara. 

"Ini yang menjadi masalah besar bagi pihak Amerika dan pihak Amerika tahu ini boleh menjadi ancaman yang benar kerana Amerika sendiri pernah menggunakan undang-undang sendiri untuk mengarahkan syarikat-syarikat teknologi Amerika supaya memberi data. Jadi mereka tahu apa itu ancaman daripada penggunaan data, betapa kuasanya data," jelas Encik Faizal.

Semasa disoal anggota Kongres AS,   Encik Chew bagaimanapun membidas tuduhan-tuduhan itu dan menekankan bahawa TikTok tidak pernah dan tidak akan pernah berkongsi data para penggunanya.

MENGAPA PENGUASAAN TEKNOLOGI PENTING?

Satu perkara yang perlu difahamkan ialah tengkarah Washington dan Beijing yang terbaru itu merupakan satu lagi aspek persaingan dan penguasaan teknologi antara AS dan China.

"Peperangan" sedemikian juga ada kesan kepada negara seperti Singapura, menurut Encik Faizal.

Beliau berkata: "Perlumbaan teknologi ini memang suatu yang serius kerana China dan Amerika merupakan sumber teknologi yang terbesar di dunia ini. Banyak negara terutama di Asia Tenggara dan Singapura,  perlukan dan kita gunakan teknologi dari China dan Amerika. 

"Jadi kalau ada persaingan di antara mereka, di mana mereka tidak boleh bekerjasama dan membuat satu sama lain seperti musuh, ia akan menjejas bagaimana kita di Asia hendak menggunakan teknologi, penyelidikan dan pembangunan dan juga dengan siapa kita boleh sambung hubungan dari bidang ekonomi dan teknologi."

Mentelah lagi, dengan TikTok sarat dengan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), ia berpotensi membentuk pandangan individu mahupun masyarakat, sekali gus mampu membawa kesan dan mencorak sosiopolitik sesebuah negara.

KESAN TENGKARAH TIKTOK KE ATAS SG?

Satu lagi risiko yang dihadapi negara lain seperti Singapura dalam 'perang' TikTok itu adalah sekiranya negara-negara besar mula memaksa negara-negara lain untuk memilih pihak.

Sebilangan negara sekutu Washington sudahpun mengenakan separa pengharaman terhadap TikTok atas alasan keselamatan negara.

Encik Faizal berkata secara tidak langsung tengkarah terbaru itu membuat Singapura berada dalam kedudukan yang lagi rumit.

"Kita rakan ekonomi yang rapat dengan China dan juga rakan keselamatan yang rapat dengan Amerika. Soalannya ialah berapa lama kita boleh sambung posisi ini dan tidak memilih pihak. Ini adalah satu masalah yang besar bagi Singapura. Jadi kita hanya boleh mengharap dan mencuba untuk meyakinkan Amerika dan China supaya mereka cuba mengawal persaingan ini. 

"Kita mesti berhati-hati kerana persaingan dalam bidang ekonomi dan teknologi boleh mengapi-apikan persaingan dalam arena ketenteraan dan mencetuskan konflik," tegas beliau.

Sebelum ini, Amerika Syarikat pernah mengharamkan lima syarikat China termasuk Huawei dan ZTE juga atas alasan menimbulkan risiko keselamatan negara.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan