Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ANALISIS: Kesan langkah Malaysia kecualikan cecair nikotin daripada Akta Racun

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Pada 1 April 2023, kerajaan Malaysia menguatkuasakan duti eksais ke atas produk cecair mengandungi nikotin yang juga digunakan dalam pengewap elektronik ataupun 'vape'.

Ia sebahagian daripada usaha kerajaan perpaduan untuk menghentikan tabiat merokok dan mencapai Generasi Penamat Rokok ataupun "Generational End Game".

Menurut Penasihat Khas kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Kelvin Yii Lee Yuen, ia merupakan satu langkah pertama yang penting untuk memulakan kawal selia terhadap penggunaan dan penjualan pengewap elektronik.

Selain daripada duti eksais ini, cecair yang mengandungi nikotin juga baru-baru ini dikecualikan daripada Akta Racun 1952 agar cukai dapat dikenakan secara sah.

KESAN KEPADA MASYARAKAT

Langkah ini mencetuskan keprihatinan sesetengah pihak yang melihatnya sebagai lesen untuk membenarkan rakyat Malaysia mengambil nikotin tanpa sebarang kawalan.

Misalnya, ia seolah-olah menyampaikan mesej bahawa penggunaan 'vape' ini tidak berbahaya dan boleh digunakan sebagai alternatif kepada merokok.
 
Menyentuh tentang kesan sampingan pelaksanaan cukai ini, Dr Yii berpendapat bahawa pengecualian bahan nikotin daripada Akta Racun Malaysia adalah langkah yang perlu dilengkapi secepat mungkin dengan menetapkan garis panduan untuk mencapai Generasi Penamat Rokok (GEG) dengan lebih berkesan lagi.

"Ia bukan langkah sulung dan banyak langkah lain diperlukan untuk kita adakan pendekatan holistik untuk mengurangkan vape dalam kalangan anak-anak muda," jelas Dr Yii.

Menghasilkan Generasi Penamat Rokok melalui kawal selia, bukan sahaja dapat melindungi generasi akan datang tetapi juga membantu keadaan kewangan golongan B40 di Malaysia.

"Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, ramai perokok sebenarnya dari kalangan B40 dan kita tahu tabiat merokok ini bukan tabiat yang murah. Wang yang dibelanjakan untuk membeli rokok tersebut, pada pendapat saya, boleh digunakan dengan lebih baik untuk kegunaan keluarga," ujar Dr Yii.

Ditanya sama ada Malaysia akan mengikut tindakan negara-negara jiran seperti Thailand dan Singapura untuk mengharamkan vape, Dr Yii berpendapat pengharaman tidak seharusnya membuahkan hasil dalam menangani masalah ketagihan.

Beliau memberi contoh di Singapura, misalnya, di mana tabiat menggunakan vape masih berleluasa meskipun ia telah diharamkan.
LANGKAH KAWAL SELIA DIPERLUKAN

Lantaran itu, Penasihat Khas kepada Menteri Kesihatan Malaysia itu mencadangkan agar langkah kawal selia dilaksanakan dan memastikan cukai yang dikumpul dapat disalurkan kepada sektor kesihatan negara.


Ini agar ia dapat meringankan beban hospital-hospital yang perlu merawat para pesakit yang terjejas akibat padah merokok.

"Langkah yang lebih pragmatik adalah kita kawal selia, mereka kena ikut regulasi atau peraturan apabila memasarkan produk mereka dan kita dapat kawal peratusan nikotin dalam produk vape tersebut dan juga kawal perasa yang digunakan," tambah Dr Yii.

Ini kerana pengewap elektronik di Malaysia kini boleh didapatkan dalam pelbagai bentuk yang menarik perhatian kanak-kanak kecil.


ADAKAH PEMAIN INDUSTRI AKAN KERUGIAN?

Industri pengewap elektronik di Malaysia sungguh meluas dan bernilai RM2.7 bilion (S$830 juta). Di samping itu, ia juga merupakan salah satu penghasil terbesar vape di dunia.

Pada pendapat Dr Yii, meskipun harga pengewap elektronik ini akan dikawal oleh dasar-dasar pemerintah, peraturan dan pemantauan yang dapat menjadikannya industri yang sah.

Ini sebaliknya membolehkan pihak pengeluar vape menjalankan perniagaan dengan lebih bertanggungjawab.

Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau akan dibentangkan Kementerian Kesihatan Malaysia di Parlimen pada Mei ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan