Skip to main content

Dunia

Analisis: Kesan kemenangan PAS di PRK Kemaman kepada sokongan Melayu Anwar Ibrahim, Kerajaan Perpaduan

Anggaran Waktu Membaca:
KEMAMAN: Kemenangan besar calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Terengganu, boleh menjadi batu loncatan kepada cita-cita parti itu di peringkat persekutuan.

Penganalisis berkata parti itu kini mempunyai pemimpin yang sesuai untuk diketengahkan bagi kepimpinan negara.

Pada masa yang sama, majoriti besar yang diperolehi Dr Ahmad Samsuri menunjukkan bahawa usaha Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, melalui dasar dan kempen untuk memikat pengundi Melayu Islam, tidak membuahkan hasil.

Selain itu, penganalisis juga percaya keputusan PRK itu menunjukkan kegagalan Barisan Nasional (BN) untuk terus mengekalkan penyokong Melayu.

Dr Ahmad Samsuri menang dengan majoriti 37,220 undi, sekali gus mengalahkan calon BN dan bekas ketua tentera Raja Mohamed Affandi yang mendapat 27,778 undi.

Majoriti undi yang diperoleh itu juga jauh lebih besar berbanding kemenangan calon PAS Che Alias ​​Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang diadakan setahun lalu.

Che Alias ​memenangi kerusi itu dengan majoriti 27,179 undi, menentang tiga calon lain. Namun, kemenangannya kemudiannya dibatalkan oleh mahkamah Terengganu, yang memutuskan berlaku rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi semasa tempoh berkempen sebelum PRU15.

Dr Ahmad Samsuri ialah Menteri Besar Terengganu. Dikenali penduduk tempatan sebagai Dr Sam, beliau memegang PHD dalam pencucuhan dan pembakaran aeroenjin dari Universiti Leeds. Meskipun tidak mempunyai latar belakang agama, dilihat sebagai pemimpin PAS yang dapat menarik pengundi dari pelbagai etnik.

Persaingan pada hujung minggu lalu menarik tumpuan kepada Dr Ahmad Samsuri, selepas pengerusi pembangkang Perikatan Nasional (PN) dan mantan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin, berkata semasa berkempen bahawa, "tidak boleh dinafikan", keputusan untuk mencalonkan Dr Ahmad Samsuri di Kemaman adalah satu batu loncatan untuk memberi laluan kepadanya menjadi calon perdana menteri.

“Jadi semua langkah ini adalah langkah strategik yang boleh menunjukkan kepada rakyat (awam) kita mempunyai ramai pemimpin yang bijak, berkebolehan, berkelakuan terpuji, dan ada golongan sederhana dan profesional (di kalangan kita),” kata Encik Muhyiddin.

Bercakap kepada wartawan selepas kemenangannya pada Sabtu, Dr Ahmad Samsuri tidak menolak kemungkinan beliau akan memikul tanggungjawab itu pada masa depan.

"Apabila saya menyertai politik, tidak pernah menjadi sasaran saya untuk memegang jawatan tinggi (perdana menteri), tetapi mungkin pada masa hadapan, jika diberi mandat oleh parti dan rakyat… saya akan pertimbangkannya,” katanya.

PAS DALAM KEDUDUKAN LEBIH BAIK JADI "ABANG BESAR" PN

Persoalan sama ada Dr Ahmad Samsuri akan menjadi calon perdana menteri adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan PAS buat jangka panjang, kata penganalisis namun kemenangan PRK Kemaman boleh mengubah dinamik dalam gabungan PN.

Penganalisis percaya parti Islam itu boleh menggunakan keputusan pilihan raya, disokong dengan kedudukan Bersatu yang lebih lemah, sebagai peluang untuk meletakkan dirinya menjadi "abang besar", dan mengambil alih kepimpinan dalam gabungan tersebut.

Meskipun tidak diiktiraf PN secara rasmi, sehingga kini, Bersatu bertindak sebagai "abang" dalam gabungan itu, dan kemungkinan menjadi parti yang akan mengemukakan calon perdana menteri jika gabungan tersebut kekal berkuasa.

Menurut penganalisis, dan Zamil Kanan di ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, ia terbukti dengan bagaimana Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, adalah ketua pembangkang, meskipun PAS mempunyai 43 kerusi dalam parlimen persekutuan, manakala Bersatu hanya mempunyai 31 Anggota Parlimen (AP).

“Bagi seseorang seperti Samsuri untuk maju ke peringkat persekutuan dan memainkan peranan di peringkat nasional, dan hakikat bahawa Muhyiddin menyokong (mutu kepimpinannya) adalah satu isyarat bahawa Bersatu gembira dan bersedia menerima PAS untuk menawarkan calon yang baik bagi memimpin di peringkat persekutuan," tambahnya.

Bersatu juga dilanda ketidakstabilan politik, berikutan pusingan U dibuat Encik Muhyiddin minggu sebelumnya untuk mempertahankan jawatan presidennya pada pemilihan parti akan datang, serta lima Anggota Parlimen parti itu yang meluahkan sokongan mereka terhadap Encik Anwar.

Encik Muhyiddin juga berdepan pertuduhan pengubahan wang haram di mahkamah.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersetuju bahawa sekarang adalah masa yang sesuai untuk PAS meningkatkan profilnya dalam PN.

“Kemenangan pilihan raya kecil memberi isyarat kepada Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin bahawa PAS sangat kuat dan dominan dalam PN,” kata Dr Mazlan.

“Kini PAS mempunyai pemimpin untuk menerajui Perikatan Nasional – Dr Samsuri yang telah dirujuk (oleh Muhyiddin sendiri) sebagai calon perdana menteri pada masa hadapan,” tambahnya.

Bagaimanapun, Dr Wong Chin Huat, seorang saintis politik dari Universiti Sunway, memberi amaran bahawa bagi PAS untuk membuktikan kebolehannya, ia harus mengemukakan Dr Ahmad Samsuri dengan meminta supaya beliau diberi jawatan penting dalam jawatankuasa portfolio pembangkang PN, yang digelar oleh media tempatan sebagai kabinet bayangan gabungan itu.

Beliau mencadangkan PN menamakan Dr Ahmad Samsuri sebagai timbalan ketua pembangkang, untuk mengikuti dua timbalan perdana menteri dalam kabinet Encik Anwar. Prof Wong menambah berdasarkan skopnya sebagai ketua menteri Terengganu Dr Ahmad Samsuri, boleh mempertimbangkan untuk memberi tumpuan kepada isu berkaitan pembangunan luar bandar, ekonomi serta kos sara hidup kerana ia memberi kesan kepada orang ramai.

ANWAR HARUS UBAH PENDEKATAN KERANA BN TERUS JADI LIABILITI BAGI PENGUNDI MELAYU: PENGANALISIS

Keputusan berat sebelah dan jurang luas yang diperolehi PAS di Kemaman pada Sabtu juga menunjukkan bahawa PM Anwar, harus mempertimbangkan untuk mengubah pendekatannya dalam usaha memikat pengundi Melayu, kata penganalisis.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos menunjukkan bahawa kebanyakan orang Melayu di Malaysia menyokong PN. Dalam usaha untuk mengubahnya, Encik Anwar memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan Islam, seperti kecamannya terhadap respons Israel kepada serangan Hamas pada 7 Oktober.

Dr Mazlan berkata bahawa usaha Encik Anwar untuk mendapat tempat dalam hati pengundi Melayu di kawasan kampung tidak mendatangkan sebarang hasil, dan beliau sepatutnya memberi tumpuan kepada dasar ekonomi.

Dr Wong pula berkata, rakan utama Pakatan Harapan (PH) dalam gabungan kerajaan perpaduan, UMNO, juga sudah hilang tarikan di kalangan pengundi Melayu.

“Satu-satunya cara untuk menghalang kerajaan pimpinan PN ialah kebangkitan semula UMNO sebagai parti nasionalis/konservatif sederhana yang dihormati,” kata Dr Wong.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita