Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ANALISIS: Kerjasama PH-BN dalam Kabinet Perpaduan boleh berkesan jika penuhi syarat

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Dua perikatan politik Malaysia yang dahulunya musuh ketat, kini menjadi sekutu dalam kerajaan yang sama - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Adakah "hubungan muhibah" itu mampu berkekalan, atau sekadar suatu "perkahwinan politik" yang cukup rapuh untuk bertahan?

Apa yang boleh kedua-duanya lakukan untuk memastikan ikatan tersebut tidak terlerai?

DURI DALAM DAGING BAGI PM ANWAR?

Buat pertama kalinya dalam sejarah, PH dan BN akhirnya duduk semeja dalam kabinet perpaduan bagi satu mesyuarat khas diadakan pada Isnin (5 Dis).

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, yang masih berdepan dengan 47 tuduhan mahkamah, malah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ini meskipun naratif antirasuah hebat dikempenkan PH semasa tempoh PRU15 yang baru tamat pada 19 November lalu.
Penyelidik Eksekutif badan pemikir IDEAS Malaysia Encik Halmie Azrie Abdul Halim berkata: "Persepsi masyarakat secara umumnya terhadap aspek kredibiliti ditimbulkan persoalan yang amat besar terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim dengan membawa masuk Ahmad Zahid Hamidi.

"Ia bukanlah satu paksaan tetapi perundingan yang terpaksa diambil kira dan akhirnya, kita dapat lihat kepimpinan Anwar Ibrahim untuk cuba berkompromi kerana tidak dapat dielakkan".

Lantaran itu, Encik Halmie menekankan PM Anwar perlu memberi komitmen yang jelas iaitu tidak akan ada campur tangan pihak eksekutif di dalam dua cabang yang lain terutamanya badan kehakiman.

"Antara gerakan-gerakan atau pengumuman yang penting Anwar Ibrahim adalah untuk menetapkan kod etika di kalangan kesemua menteri. Perkara sebegini yang boleh dikatakan usaha-usaha antirasuah dan menentang korupsi," tambah Encik Halmie kepada BERITAmediacorp.

KERAJAAN PERPADUAN PELUANG AHMAD ZAHID & BN RAIH SEMULA KEPERCAYAAN RAKYAT

Pun begitu, jawatan dalam kerajaan perpaduan tersebut sebenarnya suatu peluang keemasan untuk Encik Ahmad Zahid menebus semula kepercayaan yang hilang terhadapnya dalam kalangan anggota UMNO.

Ini setelah UMNO dan BN mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarahnya.

Dengan duduk dalam kerajaan, BN dan sekali gus Encik Ahmad Zahid, juga berpeluang menjana sumber untuk terus memperkukuh parti dan perikatan tersebut.
Sesetengah penganalisis percaya, kerajaan perpaduan PH-BN itu dapat bertahan sekurang-kurangnya setahun atau beberapa tahun buat masa ini.

Encik Halmie berkongsi bersama BERITAmediacorp: "Ia mampu bertahan tetapi perlu ada beberapa syarat. Antaranya kita perlu lihat bagaimana di antara kedua-dua gabungan paling besar, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional perlu mempunyai satu platform untuk berbahas dan berbincang tentang apa-apa perbezaan pendapat bukan saja di peringkat Kabinet tetapi di peringkat parti juga.

"Mungkin juga berbentuk dalam MOU 2.0 boleh dilakukan agar mereka jelas terdapat terma dan syarat dan akhirnya benda ini dapat juga disebarkan kepada masyarakat untuk juga terlibat sama dan nampak bukti dan tidak berlaku apa-apa pergelutan politik."

Beliau menambah kerajaan perpaduan tersebut juga boleh mempertimbangkan aspek rombakan kabinet jika berlaku ketidakprestasian ataupun salah laku dalam kalangan para menteri dilantik.

Encik Halmie memberi contoh, apabila DPM Ahmad Zahid didapati bersalah dalam kes mahkamah maka ia akan merencatkan kebolehan beliau untuk menjadi seorang menteri.

PENGORBANAN POLITIK PH-BN

Satu lagi faktor menarik - Kabinet Perpaduan dibentuk walaupun Parti Tindakan Demokratik (DAP) memperolehi kerusi paling banyak bagi satu-satu parti dalam kerajaan PH, DAP hanya mendapat empat jawatan menteri.

Encik Halmie menyifatkan langkah itu sebagai "pengorbanan politik" yang terpaksa dilakukan demi kestabilan kerajaan perpaduan.

"Tokoh-tokoh yang sebelum ini pernah menjadi menteri seperti Syed Saddiq dan Lim Guan Eng, saya rasa mereka masih berdepan dengan kes mahkamah yang masih dalam proses maka perlu diundurkan di peringkat Pakatan Harapan. Ini yang boleh dikawal Anwar Ibrahim di dalam struktur koalisi Pakatan Harapan.

"Nama-nama ini terpaksa diketepikan dahulu demi menjaga keharmonian dan juga kestabilan kerjasama ini," jelas Encik Halmie.

Selain itu, Encik Halmie juga menarik perhatian "pengorbanan politik" yang perlu dilakukan bagi pihak BN.

Sebilangan tokoh politik BN yang sebelum ini lebih cenderung untuk menyokong Perikatan Nasional menjadi kerajaan tidak diberikan sebarang jawatan menteri.

Mereka termasuk individu seperti Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussin yang mempunyai pengalaman sebagai Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.
Kini satu lagi perkembangan yang akan menjadi perhatian ialah siapa nanti yang akan menjadi Speaker Dewan Rakyat, dengan Perikatan Nasional sudahpun menghantar nama bagi calonnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/RU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan