Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ANALISIS: Gabungan politik M'sia perlu sediakan huraian bukan sekadar janji populis, kata penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Memastikan kestabilan, menyatukan ummah dan membanteras rasuah, merupakan antara janji yang dibentangkan tiga gabungan utama politik Malaysia iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) semasa berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Ketiga-tiga gabungan itu bertanding dalam pelbagai penjuru bagi majoriti kerusi parlimen persekutuan setelah meletakkan lebih 500 calon.

Dalam manifesto masing-masing, PN menjanjikan sejuta pekerjaan akan diwujudkan manakala PH pula berjanji menyediakan peluang memperkasakan ekonomi golongan muda.
Pengasas Bersama Merdeka Center Ibrahim Suffian menjangkakan BN juga akan menawarkan janji-janji tersebut yang disifatkan sebagai populis.

"Saya rasa daripada analisis para pakar strategi parti-parti politik ini mereka merasakan dalam situasi di mana rakyat Malaysia ini diganggu oleh masalah ekonomi, inflasi dan peluang pekerjaan yang terhad maka tawaran berbentuk kewangan dan bantuan ekonomi ini mungkin dapat memujuk mereka untuk memilih parti-parti mereka.

"Tetapi saya fikir apa yang mungkin tidak ada dibincangkan adalah bagaimana keadaan atau kedudukan kewangan kerajaan di Malaysia ini dapat diperkuatkan supaya ia benar-benar boleh memenuhi tawaran-tawaran tersebut," katanya.

PERLU SEDIAKAN HURAIAN

Beliau menambah keperluan berfikir menjangkaui taburan janji itu lebih penting sekarang memandangkan rakyat Malaysia perlu kepastian janji tersebut dapat dilaksanakan di tengah-tengah keadaan ekonomi yang mencabar.

Encik Ibrahim juga mengingatkan bahawa PRU14 pada 2018 adalah satu bukti bahawa rakyat Malaysia lebih matang dalam pemikiran politik mereka.

Lantaran itu, beliau berpendapat seakan ada kekosongan antara kehendak rakyat dengan tawaran dijanjikan ketiga-tiga blok parti utama di Malaysia itu.

Encik Ibrahim yang juga merupakan Pengarah Program Merdeka Center berkata: "Sebenarnya memang ada ketidakhubungan yang agak besar kerana dalam pilihan raya ini dalam suasana yang agak terdesak di mana ia dilakukan dengan kadar yang cepat.

"Proses pemilihan calon pun hingga ke saat akhir tidak dapat diselesaikan. Jadi perkara-perkara ini memberikan gambaran bahawa tidak ada satu parti pun yang sebenar-benarnya bersedia menghadapi pilihan raya."
Menurut Encik Ibrahim, tinjauan dilakukan pertubuhan Merdeka Center - sebuah badan pemikir Malaysia - juga mencerminkan sentimen yang sama.

Tinjauan Merdeka Center menunjukkan kira-kira 72 peratus responden merasakan Malaysia sedang menuju ke "arah yang salah".
Beliau menjelaskan: "Itu juga menunjukkan bahawa di kalangan pengundi ini ada wujud kematangan dalam melihat apa yang penting untuk negara. Ia tidak semata-mata tertumpu kepada keperluan peribadi mereka.

"Jadi mereka memang tahu ada masalah kewangan dan sebagainya tetapi bukan itu saja yang mereka mahukan. Mereka mahu pemimpin-pemimpin ataupun ahli-ahli politik ini sebenarnya bekerja supaya menawarkan penyelesaian kepada masalah-masalah."

Maka itu, buat masa ini jelas Encik Ibrahim tidak ada gabungan ataupun parti yang mungkin meraih kuasa mutlak.

Jika ini berterusan sehingga 19 November nanti, Encik Ibrahim percaya pasti ada rundingan antara gabungan mahupun parti untuk membentuk kerajaan Malaysia yang seterusnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/RU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan