Anak Trump ikut lawatan bapanya ke China; dikhuatiri cetus konflik kepentingan
Anak lelaki Donald Trump, Eric, yang menyelia empayar perniagaan keluarganya, akan mengiringi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam lawatan ke China pada bulan depan, kata jurucakap bagi Trump Organization kepada Reuters pada Selasa (14 Apr).
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bercakap dengan Eric Trump sebelum berlepas dari Rumah Putih di Washington, DC, Amerika Syarikat, pada 10 April 2026. (Gambar fail: REUTERS/Anna Rose Layden)
Eric dan isterinya Lara akan mengiringi Encik Trump atas kapasiti peribadi dalam lawatan dari 14 hingga 15 Mei, kata jurucakap Trump Organization Kimberly Benza.
“Eric amat berbangga dengan pencapaian bapanya sepanjang penggal ini, dan beliau hadir atas kapasiti peribadinya sebagai seorang anak yang menyokong bapanya. Beliau tidak mempunyai perniagaan di China dan tiada rancangan untuk menjalankan perniagaan di China. Beliau tidak akan menyertai mesyuarat tertutup, sebaliknya akan berada bersama Presiden bagi meraikan detik bersejarah itu.”
Namun demikian, langkah tersebut mungkin menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku konflik kepentingan, memandangkan kekayaan peribadi dan perniagaan Encik Trump diuruskan oleh Eric serta ahli keluarganya yang lain.
Eric adalah naib presiden eksekutif Trump Organization, yang menyelia pelaburan-pelaburan merangkumi hartanah, golf dan blockchain. Lara Trump, mantan pengerusi bersama Jawatankuasa Nasional Republican, mengendalikan rancangan My View with Lara Trump di Fox News Channel.
KRITIKAN TRUMP TERHADAP ANAK MANTAN PRESIDEN BIDEN
Encik Trump sebelum ini mengkritik penyandang jawatan terdahulu daripada Parti Democrat, Joe Biden, kerana membenarkan anaknya Hunter mengiringinya ke China ketika Encik Biden menyandang jawatan sebagai naib presiden. Beliau menuduh anak Encik Biden menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan sokongan kewangan daripada China bagi pelaburannya.
Pada 2019, Encik Trump secara terbuka menggesa China untuk melancarkan siasatan terhadap pesaing politiknya. Keluarga Encik Biden menafikan sebarang salah laku.
“Presiden Trump mengalu-alukan lawatan ke China untuk membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama antara kedua-dua negara, termasuk meningkatkan perdagangan adil, memperbaiki kerjasama ekonomi serta menghentikan aliran dadah fentanyl ke Amerika Syarikat,” kata jurucakap Rumah Putih Anna Kelly.
“Lawatan ini akan meneruskan dialog konstruktif sepanjang tahun lalu.”
Kedutaan China di Washington tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan untuk memberikan komen. Rumah Putih menyatakan Encik Trump mematuhi sepenuhnya keperluan etika kewangan dan pelaporan.
Seorang jurucakap bagi Donald Trump Jr berkata anak sulung presiden itu, yang juga naib presiden eksekutif Trump Organization, tidak akan menyertai lawatan tersebut.
Lawatan itu merupakan yang pertama oleh seorang presiden Amerika Syarikat dalam tempoh lapan tahun dan bertujuan untuk mengekalkan hubungan stabil antara Beijing dan Washington.
Dua ekonomi terbesar dunia itu mencapai perjanjian perdagangan tahun lalu selepas tempoh tegang yang dicetuskan oleh tarif Encik Trump serta sekatan China terhadap eksport nadir bumi. Beberapa syarikat Amerika Syarikat turut berharap lawatan Encik Trump dapat melangkaui kelulusan perjanjian pembelian kacang soya dan pesawat Boeing oleh China, yang kini sedang dipertimbangkan.
Senator Amerika Syarikat Elizabeth Warren, seorang anggota Democrat dari Massachusetts, pada Mac berkata urusan perniagaan Encik Eric Trump dengan Bitmain, pengeluar mata wang kripto dari China, menimbulkan potensi berlaku konflik kepentingan bagi bapanya, yang berjanji untuk menjadi “presiden kripto” dan memperluaskan penggunaan mata wang kripto di Amerika Syarikat.
Cik Warren turut meminta Jabatan Perdagangan menangani potensi risiko keselamatan negara berkaitan Bitmain, yang membekalkan peralatan kepada wang kripto yang diasaskan secara bersama oleh Encik Eric Trump, American Bitcoin. Bitmain berulang kali menafikan bahawa perkakasannya menimbulkan risiko keselamatan.
Jurucakap Trump Organization tidak memberi respons segera terhadap permintaan untuk memberikan komen berhubung dakwaan berkaitan mata wang kripto itu.
Syarikat tenaga dan teknologi yang berpangkalan di Miami, Florida, Hut 8 melancarkan American Bitcoin pada 2025 dengan tumpuan utama kepada mata wang bitcoin, sambil membina rizab strategik bitcoin. Encik Eric Trump berkhidmat sebagai ketua pegawai strateginya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.