Skip to main content

Dunia

Anak sungai, saliran tersumbat antara punca banjir pantai timur M'sia lambat surut

Anak sungai dan sistem saliran yang tersumbat dengan sampah sarap adalah antara faktor yang menyebabkan banjir yang melanda negeri di pantai timur lambat surut, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Dr Zaini Ujang.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak sungai, saliran tersumbat antara punca banjir pantai timur M'sia lambat surut

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 09 Jan 2021 03:54PM Dikemas Kini : 09 Jan 2021 04:01PM

SHAH ALAM: Anak sungai dan sistem saliran yang tersumbat dengan sampah sarap adalah antara faktor yang menyebabkan banjir yang melanda negeri di pantai timur lambat surut, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Dr Zaini Ujang.

Katanya, sampah dan sisa banjir seperti pokok dan tanah menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan sempurna dan memburukkan lagi keadaan.

“Bila banjir berlaku, ada kawasan air banjirnya telah surut dengan cepat dan ada juga kawasan yang masih digenangi air untuk tempoh yang lama, ini berlaku kerana semasa banjir banyak sampah tersangkut di longkang dan anak sungai, mengakibatkan pengaliran air dari tempat banjir ke sungai terbatas.

“Untuk menyenggara sistem saliran dan anak sungai ini memakan belanja yang besar, oleh itu kami amat memerlukan kerjasama daripada masyarakat untuk tidak membuang sampah merata-rata kerana jika banjir berlaku, air akan lambat surut ekoran sistem saliran tersumbat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sungai Damansara National River Trail Project anjuran Management and Science University (MSU) hari ini (9 Jan) yang turut dihadiri Presiden MSU Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Mengulas mengenai program berkenaan, Encik Zaini berkata ia merupakan sebahagian daripada aktiviti bagi menyokong usaha kerajaan mewujudkan 10,000 kilometer laluan denai di tebing sungai bagi kegunaan riadah orang ramai menjelang 2030.

Menurutnya lagi, tujuan mewujudkan laluan denai berkenaan adalah bagi menggalak rakyat supaya bersama-sama melakukan aktiviti menjaga alam sekitar terutama sungai yang merupakan sumber kepada bekalan air negara.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita