Anak pemimpin Hamas di Gaza cedera parah dalam serangan Israel
Gambar fail menunjukkan asap berkepul-kepul naik menyusuli letupan, dalam zon "garisan kuning" yang dikawal Israel di Khan Younis di selatan Carikan Gaza pada 10 Feb 2026. (Gambar: Reuters/Haseeb Alwazeer)
Dalam kenyataan kepada Al Jazeera, Encik Khalil berkata seorang individu bernama Hamza al-Sharbasi terbunuh dalam serangan di kawasan kejiranan Daraj di Gaza City, manakala anaknya, Azzam dan beberapa yang lain cedera parah.
Encik Khalil menyifatkan serangan itu sebagai lanjutan pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin dan dikaitkan dengan apa yang didakwanya sebagai usaha Israel menekan perunding Palestin menerusi “pembunuhan, keganasan dan ugutan.”
Beliau berkata mesej politik di sebalik serangan itu adalah untuk memaksa para perunding dan pemimpin Palestin agar tunduk dengan memberi isyarat bahawa mereka serta anak-anak mereka tidak terkecuali daripada menjadi sasaran.
Walaupun tidak mengesahkan secara jelas sama ada anaknya menjadi sasaran, Encik Khalil berkata Israel “mengaku bertanggungjawab apabila operasi berjaya dan mencipta pelbagai alasan apabila gagal,” sambil menambah pembunuhan bersasar menjadi kejadian harian di bawah dasar ugutan sistematik.
Beliau berkata serangan sedemikian tidak akan mematahkan semangat rakyat Palestin, sambil menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak akan meninggalkan tanah mereka dan tidak akan menyerah kalah.
Encik Khalil turut menuduh Israel gagal mematuhi fasa pertama perjanjian gencatan senjata, dengan lebih 850 rakyat Palestin terbunuh sejak tujuh bulan lalu selain ribuan lagi cedera, di tengah-tengah kebuluran sistematik dan sekatan terhadap kiriman bantuan.
Beliau berkata Hamas menyerahkan laporan harian mengenai pelanggaran gencatan senjata kepada pihak pengantara dan penjamin, selain menggesa Amerika Syarikat supaya menekan Israel untuk melaksanakan perjanjian itu.
Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas lima rakyat Palestin, termasuk seorang anggota polis terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam serangan Israel yang menyasarkan perhimpunan orang awam dan sebuah kenderaan polis di utara serta selatan Gaza, ketika pelanggaran gencatan senjata berterusan.
Hamas pada Rabu menuduh Israel meningkatkan serangan di Gaza dan menggesa Amerika Syarikat serta negara pengantara agar campur tangan bagi menghentikan serangan itu.
Perjanjian gencatan senjata Sharm el-Sheikh ditandatangani pada Oktober 2025 di bawah tajaan Mesir, Amerika Syarikat, Qatar dan Turki, sebelum berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.