Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anak Muammar Gaddafi mahu bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Libya

Seif al-Islam al-Gaddafi yang merupakan anak kepada bekas pemimpin Libya yang digulingkan, Muammar Gaddafi, pada Ahad (14 Nov) mendaftarkan pencalonannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden yang bakal menyaksikan pusingan pertama diadakan pada 24 Disember, lapor Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak Muammar Gaddafi mahu bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Libya

Gambar fail Seif al-Islam (kiri) diterbitkan pada 14 Nov 2021. (Gambar: Facebook/Suruhanjaya Tinggi Nasional Pilihan Raya Libya menerusi AFP)AFP)

TRIPOLI: Seif al-Islam al-Gaddafi yang merupakan anak kepada bekas pemimpin Libya yang digulingkan, Muammar Gaddafi, pada Ahad (14 Nov) mendaftarkan pencalonannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden yang bakal menyaksikan pusingan pertama diadakan pada 24 Disember, lapor Reuters.

"Dia sudah mengemukakan permohonan kepada pejabat Suruhanjaya Tinggi Pilihan Raya Kebangsaan di bandar Sebha," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut kenyataan tersebut, Seif, 49, mematuhi segala syarat yang ditetapkan malah dia juga sudah diberikan kad pendaftaran pengundi bagi daerah tersebut.

Pencalonan itu sekali gus menamatkan spekulasi yang tersebar sejak beberapa bulan lalu berhubung kemungkinan dia akan bertanding walaupun dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah kemanusiaan ketika pemberontakan Arab Spring melanda Tripoli pada 2011.

Pada Julai lalu, Seif membuat kemunculan semula malah, dia juga memberitahu akhbar The New York Times tentang hasratnya untuk kembali bergiat semula dalam bidang politik.

Menerusi wawancara itu, dia menyuarakan rancangannya untuk memulihkan perpaduan selepas sedekad negara itu dilanda keadaan huru-hara dan ketidakstabilan politik.

Sejak Jun 2014, Seif tidak pernah tampil di khalayak ramai dan hanya muncul menerusi sidang video dari Zintan ketika perbicaraannya di sebuah mahkamah di Tripoli.

Sekitar empat tahun selepas itu, dia dijatuhi hukuman mati atas jenayah yang dilakukannya ketika negara itu turut berdepan tempias revolusi kebangkitan rakyat yang melanda beberapa negara di Asia Barat.

Pentadbir di timur negara itu bagaimanapun memberikan pengampunan kepadanya, namun keputusan itu tidak pernah diiktiraf pihak berkuasa di Tripoli.

Pendaftaran untuk calon Presiden Libya dan Pilihan Raya Parlimen dipercayai akan mula dibuka pada hari ini (15 Nov).

Pada mulanya, tarikh pemilihan tersebut dijadualkan pada 24 Disember, namun Parlimen memutuskan untuk menangguhkan Pilihan Raya Parlimen pada Januari 2022.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan