Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anak lelaki Biden mengaku salah dalam kes cukai persekutuan

Anggaran Waktu Membaca:
LOS ANGELES: Hunter Biden, anak lelaki Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, mengaku bersalah atas tuduhan berkait cukai persekutuan pada Khamis (6 Sep).

Ini merupakan langkah mengejut untuk mengelak perbicaraan yang memalukan, beberapa minggu sebelum pilihan raya presiden Amerika.

Hunter Biden ditetapkan untuk dibicarakan di mahkamah persekutuan Los Angeles atas tuduhan jenayah gagal membayar cukai AS$1.4 juta (S$1.8 juta), sambil berbelanja besar untuk membeli dadah, pekerja seks dan barangan mewah.

Sebaliknya, dia mengaku bersalah atas kesemua sembilan pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim Mark Scarsi memberitahu Hunter Biden bahawa dia akan berdepan hukuman penjara sehingga 17 tahun dan denda sehingga AS$450,000 (S$584,000). Hakim Mark menetapkan sesi menjatuhkan hukuman pada 16 Disember.

Defenden yang mengaku bersalah dalam kes jenayah biasanya akan membuat perjanjian bersama pendakwa terlebih dahulu, dengan harapan untuk menerima hukuman lebih ringan supaya dapat mengelak dibicarakan.

Namun, ini tidak berlaku dalam kes Hunter Biden.

Dalam satu kenyataan selepas sesi tersebut, Hunter Biden berkata dia mengaku bersalah untuk mengelak keluarga melalui perbicaraan yang akan mendedahkan maklumat tidak diingini, ketika dia mengalami masalah ketagihan dadah.

Peguamnya, Abbe Lowell, memberitahu wartawan bahawa Biden Hunter tidak akan mengemukakan rayuan atas hukumannya.

Menurut pendakwaan, Hunter Biden, yang mendedahkan pengalamannya dengan ketagihan dadah dan alkohol, dituduh gagal membayar cukai dari 2016 hingga 2019. Dia juga membelanjakan jumlah yang besar "untuk membeli dadah, pekerja seks dan teman wanita, hotel mewah dan hartanah yang disewa, kereta mewah, pakaian dan barang-barang peribadi lain.

Hunter Biden sedang merayu bagi keputusan yang berasingan di Delaware, di mana dia didapati bersalah membeli senjata secara haram sambil mengambil dadah.

Sabitan tersebut bermakna dia boleh berdepan hukuman lebih berat dalam kes cukai jika dia disabit kesalahan, kerana dia akan menjadi pesalah berulang.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan