Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anak lelaki Altantuya dakwa bapa enggan belanya

Anak lelaki sulung warga Mongolia yang mati dibunuh, Cik Altantuya Shaariibuu, berkata bapanya seorang penyanyi rap dan hip-hop terkenal di Mongolia enggan membelanya selepas ibunya dibunuh pada 2006.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak lelaki Altantuya dakwa bapa enggan belanya

Shariibuu Altantuya dibunuh pada Oktober 2006. (Gambar: AFP / MONGOLIAN CONSULATE)

Diterbitkan : 31 Jan 2019 09:47PM Dikemas Kini : 31 Jan 2019 09:50PM

SHAH ALAM: Anak lelaki sulung warga Mongolia yang mati dibunuh, Cik Altantuya Shaariibuu, berkata bapanya seorang penyanyi rap dan hip-hop terkenal di Mongolia enggan membelanya selepas ibunya dibunuh pada 2006.

Bayarkhuu Bayarjargal, 21 tahun, yang sudah menukar nama daripada nama asal Mungunshagai Bayarjargal memberitahu pendengaran satu kes saman sivil di Mahkamah Tinggi di sini hari ini (31 Jan) bahawa bapanya, Encik Bayarjargal Bayasgalam yang juga dikenali sebagai 'Madai' sudah berkahwin semula dan mempunyai anak-anak lain.

Beliau berkata demikian semasa di soal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili Encik Abdul Razak Baginda.

"Bapa saya sudah memberitahu saya secara berterus terang bahawa beliau sudah berkahwin semula. Beliau sudah memperoleh anak-anak lain dan enggan membela saya. Beliau juga meminta maaf kepada saya kerana tidak dapat bersama dengan saya ketika saya sedang membesar. Sebagai anak, saya berasa seperti beliau tidak menginginkan saya.

"Saya bertemu beliau pada 2011 buat kali pertama...sebelum 2011, saya tiada langsung berhubungan dengan beliau dan apabila saya bertemu dengannya pada 2011 beliau kata beliau baru saja balik dari United Kingdom," katanya.

Ketika memberi keterangan lanjut mengenai bapanya yang juga vokalis kumpulan muzik Khar Sarnai (Black Rose), beliau berkata bapanya tidak datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ibunya walaupun beliau tahu mengenai kematiannya.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh Peguam Kanan Persekutuan Jasmee Hameeza Jaafar, yang bertindak bagi pihak kerajaan Malaysia, Bayarkhuu berkata bapanya tidak memberi sebarang bantuan kewangan untuk membiayai pendidikannya.

"Datuk saya yang membiayai pendidikan saya," kata siswazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Mongolia itu.

Bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan isterinya Cik Altantsetseg Sanjaa dan dua orang cucu lelaki mereka – Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga – memfailkan saman itu pada 4 Jun, 2007.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga digugurkan daripada senarai plaintif berikutan kematiannya dua tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, keluarga itu mendakwa kematian Cik Altantuya sudah menyebabkan mereka mengalami kejutan emosi dan trauma yang melayakkan mereka dibayar ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau.

Pendengaran di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera itu bersambung pada 6 Mei.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan