Anak gajah hilang separuh belalai angkara jerat pemburu haram
Seekor anak gajah di pulau Sumatera, Indonesia kehilangan separuh belalainya setelah ia terperangkap dalam apa yang disifatkan oleh pihak berkuasa pada Isnin (15 Nov), sebagai sejenis perangkap yang dipasang oleh para pemburu haram untuk memerangkap spesis-spesis terancam.
(Gambar: AFP)
BANDA ACEH, Indonesia: Seekor anak gajah di pulau Sumatera, Indonesia kehilangan separuh belalainya setelah ia terperangkap dalam apa yang disifatkan oleh pihak berkuasa pada Isnin (15 Nov), sebagai sejenis perangkap yang dipasang oleh para pemburu haram untuk memerangkap spesis-spesis terancam.
Anak gajah betina berusia setahun itu merupakan salah seekor daripada 700 gajah Sumatera liar yang tinggal di pulau tersebut. Ia ditemui dalam keadaan lemah dengan perangkap masih terpacak pada belalainya pada Ahad (14 Nov) di Alue Meuraksa, iaitu sebuah kampung perhutanan di daerah Aceh Jaya, kata Agus Arianto, ketua agensi pemulihan daerah Aceh.
"Ia tentu sekali bertujuan untuk memburu haiwan-haiwan terancam demi mendapatkan wang," kata Encik Arianto dalam satu kenyataan. "Kami akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang dalam menjalankan siasatan."
Encik Arianto berkata anak gajah itu ditinggalkan oleh gajah-gajah lain disebabkan oleh keadaannya yang semakin parah setelah terperangkap dalam jerat yang dipercayai dipasang oleh seorang pemburu haram.
Menurutnya, para pegawai hidupan liar pada Isnin terpaksa memotong separuh belalai anak gajah itu dalam satu pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya.
Bagaimanapun, anak gajah itu mati dua hari selepas menjalani pembedahan itu.
Para penyokong pemuliharaan berkata pandemik koronavirus menyumbang kepada kenaikan kes pemburuan haram di Sumatera. Ini setelah para penduduk kampung beralih kepada pemburuan haram sebagai sumber pendapatan.
Pada Julai, seekor gajah ditemui tanpa kepalanya di sebuah ladang kelapa sawit di Timur Aceh. Polis memberkas seorang disyaki pemburu haram bersama dengan empat lagi individu yang dituduh membeli gading haiwan itu. Perbicaraan kes tersebut masih berterusan sejak bulan lalu. Semua individu itu berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda 100 juta rupiah (S$9,520) jika disabit kesalahan.
Bilangan gajah Sumatera yang mati ekoran diperangkap dan diracun mencecah 25 sepanjang sembilan tahun lalu di daerah Timur Aceh sahaja, kata Encik Arianto.
Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menaikkan status gajah Sumatera daripada terancam kepada sangat terancam dalam Senarai Merah 2012, sebahagian besar disebabkan oleh penurunan ketara dalam bilangan gajah seperti yang dipaparkan menerusi kehilangan lebih 69 peratus potensi habitatnya dalam tempoh 25 tahun lalu - iaitu sejajar dengan satu generasi.
Data Kementerian Perhutanan dan Sekitaran Indonesia menunjukkan bahawa bilangan gajah Sumatera merosot dari 1,300 pada 2014 kepada 693, iaitu kemerosotan hampir 50 peratus sepanjang tujuh tahun lalu.
Gajah Sumatera merupakan subspesis kepada gajah Asia, iaitu salah satu daripada dua spesis mamalia terbesar di dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.